Apa bestnya raya?

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah raya tahun ini merupakan raya tahun kesembilan saya di perantauan; sepertiga usia saya. Selama sembilan tahun di perantauan inilah saya menimba ilmu dan pengalaman, berkongsi dan melihat bagaimana suasana beraya di tempat orang, baik di negara majoriti Muslim atau minoriti Muslim. Sepanjang sembilan tahun inilah perasaan gembira bercampur perasaan sedih kerana tidak dapat beraya bersama-sama dengan keluarga tersayang, apatah lagi ada antaranya yang pergi menemui Ilahi, seperti ayah saya yang kembali ke rahmatullah pada suasana raya semasa saya sedang menyiapkan thesis Master saya.

Allah mengurniakan kepada diri manusia hidayah yang paling utama sebagai petunjuk hidup di bumi-Nya, iaitu hidayah al-Quran. Selain itu, terdapat juga beberapa hidayah sokongan yang turut dipinjamkan Allah kepada manusia, antaranya ialah hidayah al-syu’ur atau petunjuk perasaan. Allah memberikan rasa gembira, sedih, marah, geram, kecewa pelbagai lagi perasaan, supaya manusia menggunakan perasaan itu tepat pada masa dan keadaannya.

Melewati usia 30 tahun, dengan berstatus bapa kepada 3 orang anak dan dikurniakan isteri yang amat dicintai, serta berjauhan dengan orang tua yang kesunyian menghabiskan usia tua, kadang-kadang saya tertanya juga apa bestnya raya. Saya lihat ramai juga kawan-kawan yang mengajukan soalan yang sama, walaupun berada di tanah air.

Islam mempunyai falsafah tersendiri terhadap sambutan hari raya. Ianya jelas termaktub di dalam surah Al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥)

185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Ringkasnya, Allah mengajar manusia supaya membesarkanNya dengan bertakbir serta bersyukur, yang mana takbir dan syukur itu adalah simbol kepada kegembiraan. Bergembira dan menggembirakan orang lain adalah sunnah yang amat dituntut semasa sambutan Eidul Fitri.

Amat penting sebelum kita menggunakan hidayah perasaan gembira kita pada hari lebaran ini, untuk memahami hakikat Eidul Fitri itu sendiri.

Di dalam Lisan al-Arab, Ibn A’rabi menyatakan yang dinamakan Eid itu kerana umat Islam merayakannya secara berulang setiap tahun (Eid daripada perkataan ‘Ada yang bermaksud kembali/berulang).

Ibn ‘Abidin pula menyatakan dinamakan hari raya itu sebagai Eid, kerana Allah mengembalikan pelbagai jenis kebaikan untuk hamba-Nya di setiap hari, seperti berbuka setelah menahan diri daripada makan, zakat fitrah, korban, tawaf haji dan seumpamanya.

Selain itu, tidak kurang juga ulamak yang menyatakan kita bergembira di hari raya kerana meraikan kejayaan kita setelah menundukkan nafsu sepanjang siang hari Ramadhan. Menundukkan nafsu adalah seperti madrasah para malaikat yang Allah tidak berikan nafsu kepada mereka, dan mereka sentiasa taat kepada Allah. Manusia menjadi insan terbaik, lebih baik daripada malaikat kerana kita mempunyai unsur ruh dan nafsu. Kalau ruh kita boleh mengawal dan menundukkan nafsu, ketika itulah kita menepati ciri-ciri ahsani taqwim.

Ada juga ulamak yang menyandarkan kegembiraan itu kepada beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang Ramadhan, seperti penurunan al-Quran, kemenangan Badar al-Kubro, pembebasan kota Makkah, kemenangan Tabuk, diskaun hebat pesta ibadah dan lain-lain.

Amat jelas di sini, bahawa kegembiraan Syawal, adalah kerana kecemerlangan Ramadhan.

Ada beberapa perkara yang saya perhatikan berlaku di kalangan masyarakat kita.

a. Alhamdulillah Eidul Fitri masih disambut seperti sambutan agama, dan bukannya budaya semata-mata. Bila disebut sambutan agama, maka tiada masalah untuk meraikannya bersesuaian dengan budaya kita, kerana Islam meraikan budaya selagi mana tidak bercanggah dengan syariat. Kita khuatir sekiranya sambutan Eidul Fitri itu lambat-laun akan menjadi sambutan budaya, seperti yang dialami oleh penganut agama Kristian terhadap sambutan Krismas mereka. Justeru, pastikan kita meraikannya sebagai perayaan agama. Jagalah adab dan falsafahnya.

b. Timbul kekhuatiran yang suasana raya mengatasi suasana Ramadhan. Jika diperhatikan, trend mengucapkan salam raya sejak minggu pertama bulan Ramadhan lagi telah mula diamalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Terutamanya rakyat Malaysia yang beraya di perantauan, mereka akan berebut-rebut menghantar ucapan raya dan gambar ke media akbar, walaupun mereka sendiri bercuti untuk meraikan Eidul Fitri di tanah air. Dikhuatiri sekiranya perkara ini terus diamalkan, akan berlaku penyimpangan fokus yang sepatutnya perlu diberikan sepanjang Ramadhan. Apatah lagi secara realitinya, usaha menggandakan ibadah di sepuluh malam terakhir Ramadhan di Malaysia masih terkebelakang berbanding usaha umat Islam di negara lain. Di Mesir sebagai contohnya, di 10 hari terakhir inilah umat Islam menghabiskan banyak masanya beri’tikaf di Masjid. Di Masjid Amru al-As, saf hadapan masjid tersebut biasanya telah ‘fully booked’ oleh hamba Allah yang soleh yang ingin mendamba bonus sepanjang Ramadhan. Mereka mengambil cuti kerja, meletakkan bag pakaian dan makanan mereka di tempat solat mereka. Mereka menangis beramai-ramai mendengar bacaan Syeikh Jibril. Adalah suasana ini wujud di Malaysia? Ataupun yang lebih menguasasi suasana, ialah promosi diskaun hari raya, atau diskusi aku tak beli lagi baju raya, atau aku tak buat kuih lagi untuk raya. Perlu dinyatakan, tidak salah berbuat demikian, bahkan ianya baik untuk menepati falsafah gembira dan menggembirakan. Yang penting, jangalah sampai melarikan fokus kita terhadap Ramadhan terutamanya pada hari-hari terakhir.

c. Berlaku juga penyimpangan perasaan. Eidul Fitri adalah hari untuk bergembira dan menggembirakan orang lain. Akan tetapi sebahagian melayan hari raya semata-mata untuk bersedih. Perhatikanlah sejak zaman filem hitam putih lagi, kebanyakan lagu raya Melayu adalah lagi yang menjurus kepada kesedihan. Jika dicari lagu raya Melayu di dalam youtube, majoritinya adalah bertemakan kesedihan. Sedangkan di dalam budaya beraya di dalam masyarakat bukan Melayu, bukan setakat sedikit sahaja lagi raya yang dinyanyikan, yang ada itu pun tidak langsung menjurus kepada kesedihan. Belum bicara lagi mengenai ‘lagu’ takbir raya versi Melayu. Tidak salah kita bersedih ketika beraya. Bersedih kerana beraya tanpa orang tersayang. Bersedih kerana Ramadhan meninggalkan kita, itu dituntut. Menangis kerana bimbang adakah dikurniakan lagi Ramadhan tahun akan datang, itu amal salafussoleh. Akan tetapi jangalah suasana sedih itu melatari kegembiraan yang sepatutnya perlu dizahirkan semasa Eidul Fitri.

d. Ada juga yang ketika bergembira di hari raya, tetapi dalam masa yang sama membuat dosa. Baru sahaja Allah melatih kita sebulan berpuasa tanpa syaitan, bila diuji pada hari pertama Syawal, ada yang kecundang. Sebagai contoh, ramai yang merayakan Eidul Fitri dengan tidak menjaga aurat serta batas hubungan lelaki dan perempuan. Ada juga yang sibuk beraya dari rumah ke rumah, sehingga meninggalkan solat. Ada yang sibuk masak di malam raya, akhirnya subuh dan solat sunat Eidul Fitri entah ke mana.

Justeru, amat penting kita berhati-hati dalam bergembira di hari raya. Untuk memastikan yang kita berhati-hati, perlulah menjaga beberapa adab penting sepanjang Eidul Fitri, seperti:

a. Mandi sunat hari raya di awal pagi.
b. Memakai wangian dan pakaian paling bagus, dan tidak semestinya baru.
c. Makan sebelum berangkat menuju ke tempat solat sunat Eidul Fitri.
d. Sepanjang perjalanan ke tempat solat sunat Eidul Fitri, pada waktu inilah sebenarnya waktu terbaik untuk melafazkan takbir raya. Ini tidaklah bermakna ada larangan untuk kita bertakbir pada waktu sebelumnya, seperti yang diamalkan di Malaysia, bertakbir dari rumah ke rumah selagi mana tidak menyusahkan tuan rumah.
e. Sebaik-baik tempat solat Eidul Fitri ialah di tempat terbuka seperti di padang atau dewan besar, di mana dibolehkan perhimpunan besar diadakan. Sekiranya keadaan mengizinkan di Malaysia, budaya solat sunat Eid di surau-surau kecil perlu dikurangkan secara beransur-ansur, dengan memilih tempat yang besar seperti dewan atau padang, dengan bacaan imam terbaik, serta khutbah raya terbaik.
f. Semua disunatkan pergi ke tempat solat tersebut, termasuklah bagi wanita yang haid. Bagi yang terlambat, atau keseorangan di kejauhan, maka bolehlah dibuat secara bersendirian.
g. Pulang mengikuti jalan yang lain berbanding jalan pergi ke tempat solat. Ini bagi membolehkan kita bertemu dengan lebih ramai umat Islam.
h. Mengucapkan tahniah dan doa kepada umat Islam lain. Selain ucapan-ucapan raya yang biasa diamalkan, ada sepotong hadith hasan yang menyebut nabi memberikan ucapan ‘Taqaballahu minna wa minka’ yang bermaksud semoga Allah menerima amalan kita semua.
i. Membuat apa sahaja simbol gembira dan menggembirakan orang lain, asalkan tidak melanggar syariat. Nabi sendiri mengizinkan dua budak perempuan daripada bani Aus menyanyikan lagu kaum mereka di rumah baginda ketika Aishah berada di rumah.

Akhirnya, persoalan apa bestnya raya hanya mempunyai satu jawapan sahaja, iaitu best raya sekiranya kita best menunaikan ibadah Ramadhan, serta memahami falsafah Eidul Fitri.

Selamat hari raya saya ucapkan kepada semua yang mengenali saya sekeluarga. Maaf zahir dan batin. Manfaatkan akhir Ramadhan untuk mengejar ganjaran yang berbaki di bulan barokah ini. Tiada jaminan yang kita akan menemuinya pada tahun-tahun mendatang.

Taqaballahu minna wa minkum.

Akhukum fillah,
Ahmad Irfan dan keluarga,
Granite City.

Advertisements

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s