Ilmu fiqh bukan ilmu yang kering. Ia ilmu dinamik, bukan sahaja membabitkan persoalan undang-undang, pantang larang, hukuman dan lain-lain, tetapi turut dilatari dengan persoalan adab.
Asatizah yang kerap mengajar, biasanya akan diajukan dengan pelbagai solan fiqh. Kadang-kadang, kita boleh mengagak tujuan soalan itu diajukan. Ada yang terpancar keikhlasannya. Ada yang ingin menguji. Ada yang ingin mencari persetujuan dengan pandangan peribadinya. Ada yang ingin menyindir.
Dalam Kitab al-Majmu’, Imam Abu Zakariyya Muhyiddin Yahya bin Sharaf al-Nawawi (m.676H), selain menggariskan adab yang perlu diikuti oleh seorang Mufti, beliau turut memberikan penekanan kepada aspek adab yang perlu dipamerkan oleh al-Mustafti, iaitu orang yang ingin meminta fatwa, seperti pelajar, pentadbir urusan agama, orang awam yang ingin mengetahui masalah hukum, dan lain-lain yang tidak mencapai martabat seorang Mufti. Antaranya, dipilih dan diringkaskan seperti berikut:
- Perlu bersungguh-sungguh mendapatkan fatwa sekiranya berlaku satu perkara baru berkaitan hukum, walaupun terpaksa bermusafir jauh bagi berjumpa dengan mufti bagi mengetahui hukumnya.
- Wajib bersungguh-sungguh mengenalpasti kepakaran bidang Mufti atau orang yang ingin ditanya soalan hukum daripadanya. Mutaakhkhirin Shafi’iyyah menyatakan, memadai dengan pengakuan kepakaran Mufti berkenaan dan pengiktirafan secara beramai-ramai mengenai kepakarannya, bukannya semata-mata dengan popularitinya. Populariti membawa kepada talbis!
- Adakah orang awam boleh meminta fatwa daripada sesiapa sahaja termasuk yang bukan dari mazhab ikutannya? Perbahasan al-Nawawi agak panjang. Kesimpulannya, bagi orang awam, mazhab mereka ialah taqlid dan ittiba’ mazhab Fiqh sedia ada.
- Sekiranya ada 2 fatwa yang kelihatan bercanggah, maka pilihannya:
- Pandangan yang paling berat (Aghlaz)
- Pandangan paling ringan (Akhaf)
- Pandangan mufti yang lebih alim dan wara’
- Ambil pandangan mufti ketiga, dan ikuti pandangan yang dipersetujui pertama atau kedua.
- Boleh pilih mana-mana pandangan
- Sekiranya hanya seorang Mufti sahaja yang paling berkelayakan untuk berfatwa dalam sesuatu isu, maka perlu dengar akan pandangannya.
- Beradab dengan Mufti daripada sudut bicara dan kelakuan. Contohnya, jangan ditanya kamu mazhab apa, jangan disebut mufti lain ada menyatakan (bagi tujuan perbandingan), dan lain-lain lagi.
- Sekiranya ada yang ingin menulis soal jawab fatwa, maka perlu dilantik jurutulis yang berilmu.
- Orang awam perlu mengelakkan diri daripada bertanya kepada Mufti, apa dalil jawapan kamu, walau pun ada sebahagian ulamak membenarkannya.
Ini hanya ringkasan sahaja. Tajuk ini memerlukan kupasan lanjut. Apa kata anda minta tok guru anda untuk bacakan dan ulas adab al-Mustafti ini.
Rujukan:
al-Nawawi, al-Majmu’ fi Sharh al-Muhazzab, Jilid 1, Dar al-Fikr, mukasurat 54-58.