Ubai bin Ka’ab adalah qari yang amat disayangi nabi. Dipanggil manja oleh nabi sebagai Abu al-Munzir, dan oleh Umar sebagai Abu al-Tufail, beliau merupakan penulis pertama dan terakhir wahyu di zaman Nabi. Ramai suka berguru dengannya, kerana pengiktirafan nabi ke atas kesarjanaan beliau dalam al-Quran. Beliau menjadi ‘ustaz selebriti’ di zamannya.
Dalam Sunan al-Darimi, diriwayatkan daripada Sulaiman bin Hanzalah (salah seorang anak murid / follower Ubai) bahawa satu hari, mereka berbicara dengan Ubai bin Ka’ab. Semasa Ubai bangun, kami pun mengikuti beliau di belakangnya. Perbuatan kami mengikut belakang Ubai diperhatikan oleh Umar bin al-Khattab, lalu Umar memukul Ubai dengan cemetinya, lalu melarang perbuatan tersebut (ikut Ubai beramai-ramai) dengan isyarat tangannya. Ubai berkata, “Apa yang kami buat (sehingga engkau memukulku?” Umar menjawab, “Apa pandanganmu? (Perbuatan kultus/ramai follower/ikut selebriti ini) adalah merupakan fitnah kepada yang diikuti, memalukan/tidak elok bagi follower.”
Bertakwalah wahai diri, khususnya ustaz-ustaz selebriti.
عن سليمان بن حنظلة قال : أتينا أبيّ بن كعب لنتحدّث إليه، فلمّا قام قُمنا ونحن نمشي خلفه، فرآنا عمر نتبعه فضربه بالدرّة، قال : فاتقاه بذراعيه، فقال : يا أمير المؤمنين ! ما نصنع ؟ قال : أوما ترى؟ فتنة للمتبوع، مذلّة للتابع . ( سنن الدارمي )