Gerhana bulan adalah salah satu daripada tanda kebesaran Allah. Secara umum, ia berlaku apabila bumi berada antara matahari dan bulan dalam satu barisan, lalu menyebabkan bayang-bayang bumi jatuh di permukaan bulan, dengan konfigurasi dan variasi tertentu yang menatijahkan beberapa jenis gerhana bulan.

aa1
Gerhana bulan separa pada 7/8 Ogos nanti. Baca timeanddate [klik]
aa2
Gerhana bulan separa pada 7/8 Ogos nanti. Baca timeanddate [klik]
Secara umum, terdapat 3 jenis gerhana bulan:

  1. Gerhana bulan penumbra (خسوف شبه الظل )
  2. Gerhana bulan penuh (خسوف القمر الكلي)
  3. Gerhana bulan separa (خسوف القمر الجزئي)

Bacaan lanjut mengenai gerhana bulan separa di timeanddate serta falakonline.

Menurut panduan ḥadīth, solat khusūf adalah disunatkan kepada penduduk sesebuah negeri yang dapat menyaksikan gerhana bulan penuh dan separa sahaja. Sementara ia tidak disunatkan kepada penduduk negeri lain yang tidak dapat menyaksikan fenomena itu di negara berkenaan kerana faktor siang hari dan seumpamanya. Solat khusūf  juga tidak disunatkan ketika fenomena gerhana bulan penumbra.

Ini adalah berdasarkan ḥadīth yang menyatakan ‘illah solat tersebut, iaitu berlakunya rukyah. Dalam ḥadīth yang dikeluarkan oleh al-Imām al-Bukhārī, nabi Muḥammad SAW bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا، وَادْعُوا، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ ‏”‏‏.

… Sesungguhnya matahari dan bulan tidak gerhana dengan sebab kematian salah seorang dalam kalangan kamu. Sekiranya kamu melihat (merukyah) kedua-duanya (gerhana bulan atau matahari), solatlah kamu, dan berdoalah kamu, sehingga terdedah semula langit seperti sebelumnya (tamat gerhana).  (Ṣaḥīḥ al-Bukhārī: 1040)

InshaAllah pada 8 Ogos 2017 nanti, akan berlaku fenomena gerhana bulan separa yang dapat disaksikan oleh penduduk Malaysia. Fasa gerhana seperti yang telah dihitung oleh pakar astronomi dalam laporan di laman timeanddate.com mengikut waktu dan lokaliti Kuala Lumpur adalah seperti berikut:

  • Isnin 7 Ogos jam 23:50:01  – Gerhana penumbra – tidak boleh mula solat khusūf
  • Selasa 8 Ogos jam 01:22:56 – Gerhana bulan separa bermula – boleh mula solat khusūf  
  • Selasa 8 Ogos jam 02:20:29 – Kemuncak gerhana bulan separa – boleh solat khusūf
  • Selasa 8 Ogos jam 03:18:09 – Gerhana bulan separa tamat – mulai detik ini, waktu solat khusuf tamat. Andai ingin solat, sila niat qada’. 
  • Selasa 8 Ogos jam 04:50:56 – Gerhana penumbra tamat.

Ramai ‘ulamā’ kontemporari menyatakan pandangan tidak disunatkan untuk solat khusūf  semasa gerhana bulan penumbra. Ini kerana adalah sukar untuk melihat perbezaan (bayang-bayang penumbra bumi) pada permukaan bulan semasa fenomena ini berlaku, justeru ‘illah disunatkan solat khusūf iaitu rukyah tidak berlaku.

Berbeza dengan gerhana bulan penuh dan separa. Ia dapat dirukyah oleh penduduk negeri yang tertentu. Walau pun elemen ḥisāb dilakukan, tetapi pengiraan itu adalah berdasarkan kebolehnampakan sebenar, bukannya ramalan munajjimīn. Maka ḥisāb gerhana bulan diterima.

Untuk itu, umat Islām yang berkemampuan untuk berjaga tengah malam, antara jam 1:22 pagi hingga 3:18 pagi pada Selasa 8 Ogos 2017, adalah disunatkan untuk mendirikan solat khusūf  al-qamar ini, kerana wujudnya illah kebolehnampakan gerhana pada waktu berkenaan.

Adapun khutbah, hukumnya adalah sunat sahaja.

p/s ini adalah panduan umum sahaja. Sila dapatkan nasihat daripada pihak berkuasa agama di setiap negeri.

Allahua’lam
Irfan

 

Advertisement