Islam adalah agama yang berasaskan keamanan. Malang sekali dalam sebahagian masyarakat moden, imej Islam tercalar sebagai agama yang mempromosi peperangan.

Hakikatnya, tidak pernah wujud istilah ‘perang suci’ dalam Islam. Yang ada dalam al-Quran, ialah perang itu disifatkan sebagai sesuatu yang dibenci oleh kamu (kurhun lakum).

Ada beberapa bangsa dengan sejarah tamadun silam yang amat sinonim dengan peperangan. Di zaman moden ini pun mereka masih terlibat dalam peperangan. Tetapi imej mereka tidak dilihat sebagai bangsa perang. Contohnya Tamadun Cina. Mereka tidak dilihat, pada kaca mata moden sekarang ini, sebagai ahli perang. Akan tetapi, ilmu perang mereka, seperti falsafah Sun Tzu, telah dikembangkan bahkan diaplikasi dalam bisnes dan kehidupan.

Dalam 23 tahun usia kenabian Muhammad SAW, baginda hanya terlibat dalam peperangan sekitar 10 tahun sahaja. Terdapat lebih 70 peperangan (kecil dan besar) yang dilancarkan, dan baginda memimpin 28 daripadanya. Semuanya berlaku selepas bermula era Madaniyyah. Sesungguhnya, siri peperangan nabi banyak mengajar erti strategi, hukum, falsafah hidup dan pelbagai lagi aspek kehidupan. Amat malang bagi Muslim yang mempelajarinya hanya daripada aspek kronologi sahaja, atau daripada aspek peperangan sahaja, tanpa melihat aspek fiqh yang lebih luas. Maka tidak hairanlah ramai ulama’ moden yang menulis buku dan analisis terperinci, sebahagian mengikut analisis tematik seperti sirah pendidikan dan sirah peperangan.

Tanpa menafikan sumbangan ilmu dalam penulisan ulama’ tersebut, anak-anak generasi baru semakin jauh daripada disiplin membaca kitab yang disusun gaya penulisannya secara tradisional. Orang zaman dahulu mungkin tiada masalah untuk membaca kitab jawi/kuning yang langsung tiada perenggan, berjela-jela. Generasi berikutnya mungkin mengalami kesukaran, maka ditulis semula karya silam mengikut perenggan dan bab. Tetapi generasi visual moden, ada antara mereka yang tidak terlalu minat membaca tulisan tanpa bantuan gambar dan info grafik. Maka inilah bagi saya, sumbangan terbesar karya terbaru al-Fadhil al-Ustaz Ahmad Adnan Fadzil yang bertajuk Ensiklopedia Perang Rasulullah terbitan Telaga Biru ini.

img_7969.jpg

Buku ini disusun berdasarkan tahun kenabian dengan fokus selepas hijrah, mengikut peristiwa berkaitan perang yang berlaku pada tahun berkenaan. Sasaran utama buku ini pada pandangan saya ialah pendahaga ilmu sirah dan falsafah peperangan nabi, yang sebelum ini hanya mengetahui kisah peperangan secara umum sahaja, tetapi ingin meningkatkan ilmu mereka ke tahap seterusnya.

IMG_7968

Dengan info grafik yang cantik, fakta yang telah diringkaskan dan dipadatkan dalam jadual, dipermudahkan pula dengan plan pergerakan dalam perang serta garismasa (timeline), serta gambar sebenar lokasi-lokasi di medan peperangan tersebut pada waktu sekarang, buku ini perlu dibeli oleh pencinta nabi.

Pembaca perlu memahami metodologi penulisan buku ini, berdasarkan kepada sasaran berstrategik untuk pemanfaatan ilmu yang lebih meluas. Apabila segmen sasarannya yang lebih terfokus, maka sudah tentu banyak ringkasan yang perlu dibuat, serta banyak perbahasan khilaf sirah, seperti tahun kejadian, bilangan tentera dan seumpamanya, tidak disentuh secara mendalam. Penulis dan penerbit amat terbuka dalam hal ini, bahkan menyediakan satu borang feedback dan teguran sekiranya ada khilaf yang perlu diperbetulkan dalam buku ini.

Bagi yang ingin mempelajari ilmu sirah nabi secara mendalam, karya moden karangan al-Syahid Said Ramadan al Buti, Sheikh Munir Ghadban, dan Sheikh Mustafa Siba’ie adalah merupakan satu kewajiban. Bagi yang ingin menyorot sirah nabi berdasarkan kacamata ahlulhadith, bagi mengetahui perbahasan sumber-sumber yang sahih dan sebaliknya, saya amat mencadangkan buku yang dikarang oleh Dr Akram Diya’ al-Umari, boleh dimuat turun di sini.

Walaupun tidak pernah bertemu beliau semasa pengajian di KISAS dan Al-Azhar Damanhur, nama Ustaz Ahmad Adnan memang dihormati oleh rakan-rakan dan juniornya. Saya mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk terus memberikan sumbangan kepada ummah. Selain buku ini, saya juga mencadangkan agar buku syarah kitab Shama’il Muhammadiyyah beliau (terbitan Telaga Biru) menjadi koleksi bagi setiap pencinta nabi.

IMG_7965.JPG