аль.jpg
Tahukah anda, Bung Soekarno merupakan individu yang amat berjasa menemukan kembali maqam Imam Bukhari di Samarkand, semasa daerah ini dijajah oleh USSR? Beliau meletakkan syarat kepada USSR untuk mencari maqam ini sebelum bekerjasama dengan Moscow.  Sehingga sekarang, rakyat Indonesia dimuliakan apabila berkunjung ke sini. 

Pernahkah anda membaca hadith yang disandarkan kepada al-Bukhari, lalu anda menyemak nombor siri hadith berkenaan dengan kitab Sahih Bukhari di perpustakaan atau di rumah, tetapi anda kecewa kerana mendapati nombor hadith itu salah, atau berbeza? Atau anda kecewa kerana terdapat kesalahan tatabahasa Arab?

 

Bertenang, kerana ianya satu perkara yang biasa. Imam al-Bukhari, seorang yang bukan berbangsa Arab, menulis Sahih Bukhari sekitar 16 tahun. Beliau mempunyai beberapa orang anak murid yang setia, dan juga tukang catat. Ironinya, kebanyakan mereka bukan berbangsa Arab. Semasa pengumpulan hadith di dalam Sahih Bukhari, ada beberapa kali berlaku peperangan yang menyebabkan Imam al-Bukhari terpaksa meninggalkan rumah dan juga catatan Sahihnya.

Menulis dan mencetak pada zaman tersebut bukan seperti zaman ini. Semuanya dibuat secara manual, kadang-kadang mengharapkan catatan anak murid.

Dalam kembara ilmu saya kali ini, ada satu perkataan penting yang diperkenalkan kepada saya, sebagai syarat untuk berjaya. Perkataan itu ialah ‘METICULOUS’. Maksudnya, teliti dan rapi, melalui proses yang ‘menyeksakan’.

meti

Latar belakang pembukuan Sahih Bukhari adalah contoh terbaik untuk memahamkan saya erti ‘METICULOUS’. Bermula dengan ketatnya syarat yang dikenakan oleh beliau sendiri untuk memelihara keaslian sunnah nabawiyyah, sehinggalah kepada proses penerbitan moden yang sampai kepada kita sekarang ini. Semuanya, ‘METICULOUS’.

Salah seorang daripada hero yang tidak didendang dalam mengembang dan memperkaya Sahih Bukhari, ialah al-Hafiz Yunini. Siapakah Yunini?

Sebelum mengenali Yunini, kita perlu mengetahui bahawa Imam al-Bukhari mempunyai ramai anak murid. Ada riwayat menyatakan jumlah anak murid yang mendengar sendiri majlis Sahih Bukhari ialah seramai 90,000 orang. Akan tetapi, hanya sedikit sahaja antara mereka yang meriwayatkannya kepada generasi berikut. Antara anak murid perawi Imam Bukhari yang paling masyhur ialah al-Firabri. Selain beliau menurut Ibn Hajar, terdapat beberapa orang lagi anak murid Bukhari yang meriwayatkan, seperti Abu Ishaq al-Nasafi, Hammad al-Nasafi, Tahir al-Nasafi, al-Bazdawi dan al-Mahamili. Sementara itu, ada juga yang bertugas sebagai tukang catat (warraq), seperti Ibnu Hatim.

Al-Firabri dianggap paling masyhur. Beliau menyampaikan pula Sahih Bukhari itu kepada beberapa orang anak muridnya. Oleh kerana tiada lagi teknologi percetakan pada zaman itu, usaha menyebarkan dan menerbit Sahih Bukhari mengharapkan catatan anak-anak murid kepada perawi al-Bukhari sendiri. Yang menjadi persoalan, naskhah yang disalin oleh anak muridnya mempunyai perbezaan catatan, lalu menatijahkan versi yang pelbagai. Sebahagian, nombornya (tarqim) tidak sama. Ada versi yang bilangan hadithnya kurang. Ada mukasurat yang kosong, dan beberapa isu lain lagi.

Dengan latar belakang inilah, al-Hafiz Sharaf al-Din Abu al-Husain Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Isa al-Yunini, lebih dikenali sebagai al-Yunini, telah tampil. Sebagai catatan, al-Yunini (berbangsa Arab dari Sham) meninggal pada tahun 701 H, sementara al-Bukhari (berbangsa Parsi dari Uzbekistan) meninggal pada 256H.

Al-Yunini, seorang yang ‘METICULOUS’ dalam pengajian hadith. Apabila beliau mendapati terdapat banyak versi Sahih Bukhari pada zamannya, beliau telah mengumpul sekurang-kurangnya 14 versi yang ada, dan membuat kajian komparatif.

Pada zaman tanpa komputer apatah lagi internet, sudah tentu al-Yunini perlu teliti dalam kerja komparatifnya. Perlu diingatkan, variasi catatan Sahih Bukhari yang ada itu, bukannya bercanggah antara satu sama lain. Semuanya sama, tetapi gaya penulisannya sahaja yang berbeza.

Antara penelitian beliau, ialah aspek kecil seperti perbezaan kalimah (al-nabiy النبي) dengan (rasulullah رسول الله), (qola قال) dengan (fa qola فقال) , (haddathani حدثني) dengan (haddathana حدثنا) dan banyak lagi. Walaupun maknanya sama, tetapi al-Yunini membuat penelitian analitikal bagi menjamin autentisiti.

Selain itu, al-Yunini turut membuat kajian mengenai penggunaan Bahasa Arab dalam nuskhah Sahih Bukhari yang ada. Beliau bersama-sama dengan Ibnu Malik telah mengadakan 71 kali majlis pertemuan bagi menilai dan memperbetul penggunaan Bahasa Arab terutamanya di dalam penulisan bukan matan hadith, seperti nama bab dan lain-lain. Beberapa kesilapan kecil, kerana kebanyakan pencatat anak murid Imam al-Bukhari adalah bukan Arab, menyebabkan berlakunya beberapa pemilihan kata bahasa Arab yang kurang tepat dan sedikit kecacatan tatabahasa. Beberapa simbol telah digunakan oleh al-Yunini untuk membuat anotasi pembetulan.

Hasil penelitian dan kerja ‘METICULOUS’ al-Yunini, maka Sultan Abdul Hamid ke-2 semasa zaman pemerintahan Othmaniah, pada tahun 1311H, mengarahkan pencetakan Nuskhah Yunini tersebut. Ianya turut disemak oleh ulama’ lain, termasuklah Sheikul Azhar Sheikh Hassunah al-Nawawi.

Antara cetakan moden yang menggunakan nuskhah Yunini ialah sharah kepada Sahih Bukhari oleh Shihab al-Din al-Qastalani bertajuk Irshad al-Sari.

Ibn Hajar pula menggunakan nuskhah al-Sadafi sebagai rujukan sharah Sahih Bukhari beliau yang terkenal, iaitu Fath al-Bari, walaupun terdapat juga riwayat yang menyatakan Ibn Hajar turut merujuk kepada nuskhah al-Yunini.

Bila melihat kerja-kerja yang dibuat, sama ada oleh Imam al-Bukhari mahu pun oleh al-Hafiz al-Yunini, barulah seorang pelajar itu akan faham erti ‘METICULOUS’.

Oh ya, menarik juga kalau kita perhatikan keterbukaan orang dahulu dengan kerja-kerja memperbaiki kitab-kitab lama. Seperti yang dilakukan oleh al-Yunini ke atas kitab al-Bukhari, tiada pula al-Yunini mendapat celaan kerana kononnya menjatuhkan atau menghina al-Bukhari, seperti yang berlaku pada zaman sekarang.

Moga generasi moden akan terus mencontohi kegigihan dan keterbukaan generas terdahulu.

Advertisement