Ramai yang menyebarkan dakwaan bahawa amalan kencing berdiri bagi orang lelaki akan menyebabkan penyakit seperti kanser. Tambah dakwaan ini lagi, perbuatan kencing berdiri sebenarnya ditegah oleh nabi Muhammad SAW.
Tulisan saya kali ini hanya sekadar memberikan penjelasan, bukannya galakan untuk kencing berdiri. Penjelasan mengenai isu ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith nabi yang berkaitan.
Sebenarnya, terdapat hadith yang memberikan petunjuk bahawa nabi juga membuang air kecil dalam keadaan berdiri. Amalan ini langsung tidak merendahkan kehormatan nabi, bahkan menggambarkan sesuatu yang sebenarnya adalah diharuskan khususnya dalam situasi tertentu.
Di dalam hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Hudhaifah bin al-Yaman menceritakan bahawa:
أنه أَتى سُبَاطَةَ قومٍ فبالَ قائِماً
Sesungguhnya nabi Muhammad SAW (semasa di luar rumah dalam satu ekspedisi) pergi ke tempat kotoran (buang sampah) satu kampung kaum fulan, lalu membuang air kecil dalam keadaan berdiri.
Tetapi dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa hadith Aishah yang sahih, diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, seperti berikut:
مَن حدّثكم أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يَبُول قائما فلا تصَدِّقوه ، ما كان يبول إلا قاعداً
Kata Aishah: Sesiapa yang menceritakan kepada kamu bahawa nabi Muhammad SAW buang air kecil berdiri, maka jangan percaya dakwaan tersebut. Nabi tidak pernah buang air kecil melainkan dalam keadaan duduk.
Di dalam Kitab Sharh Sahih Muslim, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kebanyakan hadith larangan kencing berdiri adalah da’if dan tidak kuat untuk digunakan sebagai hujjah, kecuali hadith Aishah di atas.
Tambah Imam al-Nawawi lagi, hadith yang memberikan penjelasan keharusan (ithbat), adalah lebih utama berbanding hadith yang melarang (nafi). Dalam kes ini hadith Hudhaifah bin al-Yaman yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, mengenai perbuatan nabi kencing berdiri, adalah lebih kuat untuk penghujjahan, berbanding hadith Aishah yang sifatnya menafikan.
Pada hakikatnya, tiada pertembungan antara kedua-dua hadith tersebut. Hadith Hudhaifah menceritakan perbuatan nabi di luar rumah. Sebagai seorang lelaki, apatah lagi dengan berseluar dan dalam keadaan bermusafir, sebahagian lelaki akan berhadapan dengan kesukaran untuk kencing duduk, kerana faktor fizikal badan, kebersihan tandas dan seumpamanya.
Adapun hadith Aishah, ianya menceritakan kaedah membuang air kecil di dalam rumah, iaitu dalam keadaan duduk.
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, disebut bahawa:
Mengikut jumhur, adalah dimakruhkan orang lelaki kencing berdiri tanpa keuzuran berdasarkan hadith Aishah tadi. Ada pandangan lain di dalam mazhab Hanbali yang menyatakan tidak makruh walaupun tanpa keuzuran. Ini kerana keharusan berbuat demikian turut disebut dalam riwayat Omar, Ali, Abdullah bin Omar, Zaid bin Thabit dan ramai lagi sahabat lain.
Justeru, tidak perlulah berbalah mengenai hukum kencing berdiri. Apa yang pasti, dalam keadaan tenang khasnya di dalam rumah, kencing duduk adalah lebih utama kerana kebiasannya lebih bersih dan tidak memercik. Apa yang pasti, janganlah pula menyatakan dakwaan bahawa nabi pernah berkata kencing berdiri itu akan membawa penyakit, kerana dalam hadith yang sahih, para sahabat menjadi saksi bahawa nabi juga dalam keadaan tertentu, membuang air kecil secara berdiri, dengan menjaga adab dan juga kesucian.