Apabila melihat perbalahan sesama Muslim mengenai cadangan pindaan RUU35, ianya mengingatkan saya kepada tabiat manusia yang akan sentiasa berada dalam keadaan fitnah dan berpecah belah. Bahkan sejak zaman sahabat lagi, para sahabat ditaqdirkan pernah melalui suasana fitnah, khususnya bermula daripada zaman Saidina Othman bin Affan. Sejak cincin cop mohor nabi yang diwarisi Saidina Othman jatuh dan hilang di perigi Aris, bermulalah zaman fitnah.
Berlakunya pembunuhan Saidina Othman…
Berlakunya peperangan Jamal…
Berlakunya peperangan Siffin…
Pembunuhan Saidina Ali…
Kemuncaknya, ialah pembunuhan Saidina Husain bin Ali bin Muhammad…
Kesannya, kekal sehingga ke hari ini.
Ada beberapa orang sahabat Nabi yang bersikap, seolah-olah berkecuali, dan mengelakkan pergaduhan. Ini kerana bilangan mereka yang terkorban dalam peristiwa-peristiwa perpecahan di atas, lebih ramai daripada mereka yang terkorban syahid melawan jahiliyyah.
Saidina Hasan bin Ali sebagai contohnya, semasa dilantik menjadi pengganti sebagai Amirul Mu’minin ke-5, penduduk Kufah berbai’ah dengannya, dan dalam masa yang sama penduduk Sham pula berbai’ah dengan Mu’awiyah. Kali pertama dalam sejarah, 2 amir dalam satu masa. Setelah 6 bulan, Saidina Hasan bin Ali ambil keputusan untuk bersatu, dalam peristiwa yang dikenali sebagai ‘Am al-Jama’ah – tahun perpaduan. Lalu beliau balik semula ke Madinah. Nabi pernah meramalkan perkara ini akan terjadi ke atas Saidina Hasan bin Ali.
Semasa kemuncak perbalahan, adanya pula sahabat-sahabat senior, seperti tok guru para sahabat, Abdullah bin Umar, Muhammad bin Hanafiah (anak Saidina Ali) dan Abdullah bin Abbas. Mereka mengambil sikap berkecuali semasa klimaks permusuhan antara penyokong Yazid dengan penyokong Husain. Bahkan menasihati Husain supaya tidak keluar ke Kufah bagi mendapat bai’ah dan menentang Yazid.
Akhirnya, berlakulah apa yang telah berlaku. Saidina Husain dikhianati oleh orang-orang yang hanya tahu ‘MEMANASKAN SUASANA’ sahaja, daripada penduduk Kufah. Hanya pandai buat bising, hantar surat sokongan kepada Husain. Bila pertempuran berlaku, mereka hanya duduk diam, dan membiarkan ianya berlaku di kampung mereka sendiri, tanpa berbuat apa-apa.
Moga Allah merahmati para sahabat yang memilih untuk mengambil sikap berkecuali pada zaman tersebut.
Bagi yang mengenali diri saya, mungkin perasan ada masanya saya mengambil sikap berdiam diri, dalam tempoh masa yang lama. Janganlah terlalu bersangka buruk kepada mereka yang mengambil sikap berkecuali, tetapi dalam hatinya berpihak kepada kebenaran.