Q: Ustaz, apakah hukum melihat mushaf semasa solat?

A: Antara keistimewaan Ramadan ialah anjuran qiyam dan al-Quran. Lebih cantik sekiranya kedua-dua ibadah ini dapat dibuat serentak.
Di dalam banyak hadith, diriwayatkan bahawa nabi Muhammad SAW solat sunat malam sehingga bengkak-bengkak kakinya. Hadith juga menunjukkan bahawa nabi Muhammad suka memanjangkan qiyam/berdirinya semasa solat, dan inilah sunnah yang perlu diikuti oleh kita.
Untuk memanjangkan qiyam/berdiri semasa solat, kita tidak punya pilihan lain melainkan perlu membaca al-Quran sebanyak ayat yang mampu. Bagi mereka yang hafal al-Quran, maka tiada masalah bagi mereka. Akan tetapi bagi mereka yang tidak menghafal al-Quran, adakah mereka tidak berpeluang mendapatkan pahala sunnah ini?
Justeru, ramai yang bertanyakan soalan hukum membaca dan memegang mushaf al-Quran semasa solat.
Secara ringkasnya, perkara ini adalah khilaf.
Pendapat pertama – Mazhab Zahiriyah dan sebahagian pendapat Imam Abu Hanifah menyatakan ianya merosakkan solat. Ini berdasarkan kepada hadith:

صحيح البخاري ١١٤٠: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا ابْنُ فُضَيْلٍ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَلْقَمَةَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ
كُنْتُ أُسَلِّمُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ فَيَرُدُّ عَلَيَّ فَلَمَّا رَجَعْنَا سَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيَّ وَقَالَ إِنَّ فِي الصَّلَاةِ لَشُغْلًا

Shahih Bukhari 1140: Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Abu Syaibah telah menceritakan kepada kami Ibnu Fudhail dari Al A’masy dari Ibrahim dari ‘Alqamah dari ‘Abdullah radliallahu ‘anhu berkata: “Aku pernah memberi salam kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Beliau sedang shalat maka Beliau membalas salamku. Ketika kami kembali (dari negeri An-Najasyi), aku memberi salam kembali kepada Beliau namun Beliau tidak membalas salamku. Kemudian Beliau berkata: “Sesungguhnya dalam shalat terdapat kesibukan”.
Bagi mereka, membaca dan memegang mushaf melarikan seseorang itu daripada fokus semasa solat. Bagi yang tidak menghafal al-Quran, mereka tidak ditaklifkan untuk membaca selain daripada yang dihafal.

Pendapat kedua
– jumhur Ulamak termasuk Mazhab al-Shafi’iyyah menyatakan membaca, memegang bahkan menukar mukasurat Mushaf al-Quran tidak merosakaan solat. Keharusan ini tanpa mengira status solat sunat atau fardhu, atau solat seorang imam atau makmum, atau solat seorang hafiz atau yang bukan hafiz. 

Berkata Imam al-Nawawi:

“لو قرأ القرآن من المصحف لم تبطل صلاته ، سواء كان يحفظه أم لا ، بل يجب عليه ذلك إذا لم يحفظ الفاتحة ، ولو قلب أوراقه أحيانًا في صلاته لم تبطل
Andai dibaca al-Quran daripada Mushaf, maka tidak batal solatnya, sama ada beliau menghafal al-Quran atau tidak, bahkan diwajibkan andai dia tidak menghafal al-Fatihah. Sekiranya dia kadang-kadang menukar mukasurat Mushaf, solatnya tidak batal.  (Al-Majmu’, 4/27) 

Dalil yang mengharuskan: 

عن عائشة أم المؤمنين رضي الله عنها أنها كان يؤمها عبدها ذكوان ويقرأ من المصحف
Daripada Aishah, sesungguhnya dia telah diimamkan oleh budak suruhannya bernama Zakwan dalam keadaan Zakwan membaca daripada Mashaf (diriwayatkan secara mua’llaq oleh Imam Bukhari dalam Bab 436 Hukum Berimam Dengan Budak Suruhan/Maula. Turut diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Abi Shaibah. Menurut Imam Ibn Hajar, athar ini adalah sahih). 

Pendapat ketiga – Sebahagian imam Mazhab Malikiyyah menyatakan keharusan ini hanyalah pada solat sunat sahaja. Tetapi dimakruhkan untuk solat fardhu. 

Justeru, apa kata menjelang 10 malam terakhir Ramadan tahun ini, kita cuba dahulu solat sunat bersendirian di rumah, dengan melihat mushaf, sama ada yang bercetak atau yang digital di dalam smart phone (set sebagai flight mode), sehingga dirasai kemanisan memanjangkan berdiri di dalam solat. 

Selain itu, bagi imam hafiz yang dilantik mengimami solat di masjid sepanjang Ramadan, tidak akan berkurangan kredibiliti anda dengan membaca mushaf semasa solat. Bahkan ianya lebih elok berbanding anda terlupa, tergagap seterusnya membaca dengan bacaan yang salah. 
Advertisement