Adakah anda mencari rujukan yang ringkas tetapi padat mengenai ibadah Ramadhan?

Bagi yang boleh membaca di dalam Bahasa Arab, antara kitab yang ringkas dan padat membicarakan mengenai ibadah Ramadan ialah kitab yang dikarang oleh Imam ’Izz bin Abdul Salam, bertajuk Maqasid Al-Saum. Buku ini telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan.

Versi Bahasa Arab boleh dimuat turun di sini: https://ia801407.us.archive.org/15/items/sesasesa/mksa.pdf

Saya amat menggalakkan kitab cetakan di atas kerana ianya telah ditahqiq oleh Iyyad Khalid Al-Toba’.

13321855_10209800565515740_3571597627378473834_n.jpg
Kitab yang telah diterjemah (gambar ihsan Us Nazri Samsudin)

Imam ‘Izz bin Abdul Salam ialah seorang ulamak yang tegas dan berani dalam menegakkan perkara yang ma’ruf di dalam masyarakat, termasuklah di hadapan pemerintah. Meninggal pada tahun 660H, beliau banyak menghabiskan rehlah ilmiah di Sham dan Mesir. Ketegasan beliau telah menyebabkan beliau mendapat gelaran Sultan Ulama’ dan Penjual Raja-raja.

Kitab setebal sekitar 60 mukasurat ini mempunyai 10 bab, antaranya menceritakan mengenai kewajiban berpuasa, fadhilat, adab dan perkara-perkara yang berkaitan.

Kekuatan kitab ini ialah ianya dikarang secara ringkas, tetapi padat. Banyak hadith yang telah dipetik dan disyarahkan dengan jelas di dalam karya ini. Antara kekuatan cetakan ini ialah ianya telah melalui proses tahqiq yang mana Iyyad telah membuat verifikasi status hadith dan juga sedikit penjelasan makna.

Jelas sekali, hadith dan athar yang dipetik dalam kitab ini, menggambarkan betapa mendalamnya ilmu Sultan Ulama’ ini dalam memberikan penjelasan yang padat tetapi penuh makna kepada pembaca. Beliau langsung tidak memetik hadith maudu’, sebaliknya menerima hadith dai’f di dalam menceritakan bab fadhilat berpuasa, seperti yang diperakui di dalam tradisi ilmu turath.

Antara kekuatan cetakan ini juga ialah ianya mempunyai indeks carian hadith mengikut pangkal matan, indeks tempat dan tokoh, indeks syair yang digunakan oleh pengarang kitab dan indeks rujukan tahqiq yang digunakan oleh pentahqiq kitab.

Saya amat menggalakkan para asatizah untuk merujuk kitab ini di dalam memberikan kefahaman yang tepat mengenai objektif ibadah berpuasa di bulan Ramadan berdasarkan kepada sumber yang sahih dan penjelasan yang betul.

Advertisement