Minggu lepas, saya diundang berforum di Perpustakaan UMP Pekan dengan tajuk “Fenomena Perubahan Iklim: Kiamat Sudah Dekat”. Saya beruntung kerana digandingkan dengan panelis pakar meteorologi, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia.
Di dalam forum berkenaan, kami bersungguh-sungguh bermujahadah untuk memperbetulkan banyak kepercayaan karut-marut yang kerap disebarkan rakyat Malaysia terhadap fenomena alam ciptaan Allah, seperti perubahan suhu mendadak, kutub akan beralih dan seumpamanya. Sehinggakan saya mencadangkan kepada Dr Hisham, supaya ditubuhkan satu lagi jabatan baru di dalam pejabat beliau iaitu Jabatan Mythology (Jabatan Kisah Dongeng).
Alhamdulillah, pada 9 Mac nanti, Allah mentaqdirkan akan berlakunya gerhana matahari. Pada zaman dahulu, gerhana matahari agak sukar diramalkan, kerana kurangnya formula pengiraan astronomi mengenai fenomena tersebut.
Apabila berlakunya gerhana matahari penuh sehingga sebahagian kawasan bumi tertentu bergelap, masyarakat pada zaman dahulu akan percaya kepada elemen tahyul.
Sebagai contohnya, orang Greek mempercayai gerhana matahari adalah tanda kemurkaan dewa-dewa mereka serta permulaan kepada berlakunya bencana.
Orang-orang Cina dahulu kala pula percaya bahawa ada naga di langit yang sedang makan matahari menyebabkan gerhana berlaku. Kebetulan, gerhana di dalam bahasa pertuturan mereka disebut dengan ‘chih’, yang turut berkongsi makna ‘gerhana’.
Menurut dongeng Hindu pula, dewa Rahu telah dipancung oleh tuhan-tuhan kepercayaan mereka kerana meminum ambrosia, lalu kepalanya berterbangan di langit dan menelan matahari, lalu terjadilah gerhana.
Manusia di zaman moden juga tidak terlepas daripada elemen kepercayaan dongeng semasa gerhana matahari. Contohnya, banyak pihak mendakwa gerhana matahari bahaya kepada ibu yang sedang mengandung dan juga bayi kandunganya, lalu digalakkan untuk duduk di dalam rumah. Sementara banyak kawasan di negara India menggalakkan untuk berpuasa semasa hari berlakunya gerhana kerana percaya makanan yang dimasak pada tempoh fenomena itu berlaku akan beracun. Ada juga kepercayaan dongeng yang agak positif, seperti sebahagian penduduk Itali yang percaya pokok bunga yang ditanam semasa gerhana matahari akan lebih ceria warnanya.
Pada tahun 11 Jun 1983, rakyat Indonesia dilarang keluar dari rumah semasa berlakunya fenomena gerhana matahari atas arahan Presiden Suharto, kerana kepercayaan bahawa sesuatu yang buruk bakal menimpa sekiranya mereka keluar untuk melihat fenomena itu. Ramai yang marah, dan memanggil hari itu sebagai Hari Pembodohan Nasional.
Pada zaman awal kebangkitan Islam, semasa berlakunya gerhana matahari pada 29 Syawal 10 H / 27 Januari 632 M, nabi Muhammad telah kehilangan putera baginda tersayang daripada isterinya Mariah al-Qibtiyyah, bernama Ibrahim bin Muhammad. Sebahagian manusia pada waktu itu mempercayai bahawa kematian Ibrahim adalah disebabkan gerhana matahari. Nabi walaupun dalam keadaan kesedihan kerana kehilangan putera tersayang, menegur manusia bahawa semua fenomena alam adalah tanda kebesaran Allah yang boleh difahami mengikut rasional sains, dan tiada kaitan dengan kematian, kelahiran dan juga kepercaaan karut yang lain. Sabda nabi:
صحيح البخاري ٩٨٥: عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ
كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ فَقَالَ النَّاسُ كَسَفَتْ الشَّمْسُ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ
Sahih Bukhari 985: Daripada Al Mughirah bin Shu’bah berkata, “Pada masa Rasulullah pernah terjadi gerhana Matahari, iaitu di hari meninggalnya putera beliau, Ibrahim. Orang-orang lalu berkata, “Gerhana Matahari ini terjadi kerana meninggalnya Ibrahim!” Maka Rasulullah pun bersabda: “Sesungguhnya Matahari dan bulan tidak akan mengalami gerhana disebabkan kerana mati atau hidupnya seseorang. Jika kalian melihat gerhana, maka solat dan berdoalah kalian kepada Allah.”
Di negara kita, pakar falak sejak zaman pra-kemerdekaan telah berjaya membuat hitungan yang tepat terhadap masa dan tarikh berlakunya gerhana matahari. Sebagai contohnya, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin pernah menghitung akan berlakunya gerhana pada Isnin 29 Rabi’ al-Akhir 1353 H / 21 Ogos 1933. Ulama’ telah membuat hebahan mengenai fenomena tersebut, seperti yang boleh dimuat turun di capaian ini.
Antara petikan hebahan tersebut ialah:

Petikan ini mencadangkan seolah-olah orang Melayu pada waktu dahulu memukul gendang besar (beleq) semasa fenomena gerhana matahari. Kepercayaan ini mungkin boleh diperjelaskan, seolah-olah ianya kerana pengaruh kepercayaan karut-marut, seperti naga yang sedang berada di langit menelan matahari, lalu dibunyikan gendang itu bagi menakutkannya dan menghalau naga keluar dari langit bumi.
Maka ulama’ zaman dahulu bekerja keras memberikan penjelasan terhadap kepercayaan karut tersebut, dan diseru kepada seluruh manusia supaya menghubungkan fenomena ini dengan kebesaran Allah, dengan cara berhimpun melaksanakan solat.
Seluruh tamadun manusia sebenarnya berhutang budi dengan peninggalan sunnah Rasulullah, yang meluruskan kembali rasional manusia bertaraf hamba Allah dengan menyatakan bahawa fenonema gerhana matahari hanyalah salah satu daripada tanda kebesaran Allah, melalui perjalanan dan sunnatullah alam yang pada zaman sekarang boleh dihitung dengan tepat. Lalu, tiada keperluan untuk mengheret manusia kepada kepercayaan yang karut.
Marilah bersama-sama seluruh rakyat Malaysia, melaksanakan sunnah nabi dengan menganjurkan solat sunat kusuf dan khutbah gerhana matahari pada 9 Mac 2016, sekitar antara jam 7:30 sehingga 9:30 pagi (waktu berbeza mengikut tempat). Waktu kemuncak gerhana matahari separa di Malaysia ialah sekitar jam 8:25 pagi. Malaysia tidak akan bergelap pada waktu itu, kerana hanya gerhana matahari separa sahaja. Elakkan melihat matahari di langit dengan mata, sebaliknya gunakan filter khas atau lihat biasan di permukaan air sahaja. Melihat matahari dengan mata kasar walaupun seketika, akan menyebabkan anda buta kekal.
Kepada ketua jabatan, guru besar sekolah, majikan di syarikat swasta, saya merayu agar belilah peluang kepada umat Islam di Malaysia melaksanakan sunnah nabi yang mulia ini.
Elakkan diri daripada kepercayaan yang karut semasa gerhana tersebut. Juga, tidak dianjurkan puasa khusus semasa gerhana matahari, kerana tiada pedoman sunnah yang mengenai galakannya. Tetapi secara umum, nabi menganjurkan kepada kita untuk melakukan amalan soleh. Nabi sendiri membebaskan hamba, dan bersedekah semasa gerhana matahari berdasarkan kepada hadith sahih.
Saya diberikan amanah untuk menyediakan khutbah gerhana matahari rasmi bagi negeri Pahang. Ianya boleh dimuat turun di: khutbah pertama dan khutbah kedua.
Sangat menarik kupasannya dan seronok membacanya. Tq ustaz…teruskan memberi pencerahan berkenaan fenomena alam yang rumit ini. Moga diberkati Allah Azza Wajalla…