Agak sukar untuk membincangkan persoalan hukum jual beli yang saya sendiri sudah terlibat di dalamnya. Ya Allah, berikanku kekuatan dan faham dalam agama.

11888136_10153653112036037_2168591110693902508_o
Anak Kucing British Short Hair saya….

Secara ringkas, hukum menjual dan membeli kucing adalah khilaf.

Majoriti ulamak, termasuk daripada empat mazhab yang utama, mengharuskan jual beli kucing.

Sementara sebahagian ulama’ mengharamkannya. Antara mereka ialah Mazhab Zahiri, Ibn Qayyim, Tawus, Mujahid, Jabir bin Zaid dan lain-lain yang cenderung dengan mazhab ahlul hadith dan salaf.

Puncak khilaf pendapat ini adalah bertitik tolak kepada hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

صحيح مسلم ٢٩٣٣: حَدَّثَنِي سَلَمَةُ بْنُ شَبِيبٍ حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ أَعْيَنَ حَدَّثَنَا مَعْقِلٌ عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ قَالَ

سَأَلْتُ جَابِرًا عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ قَالَ زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ

Sahih Muslim 2933: Telah menceritakan kepadaku Salamah bin Syabib telah menceritakan kepada kami Al Hasan bin A’yan telah menceritakan kepada kami Ma’qil dari Abu Az Zubair dia berkata; saya bertanya kepada Jabir mengenai wang hasil usaha jual beli anjing dan kucing, dia menjawab, “Nabi SAW melarang perbuatan seperti itu.”

Hadith yang sama turut diriwayatkan di dalam Abu Daud (3018), Ahmad (14615), Nasa’ie (4589) dan Tirmizi (1200).

Sebahagian ulama’ seperti Ibn Munzir dan al-Khitabi menyatakan hadith itu adalah dha’if. Tetapi ada ulamak menolak dakwaan ini, seperti yang dilaporkan oleh Imam al-Nawawi dalam Al-Majmu’, kerana ianya diriwayatkan oleh Muslim, dan secara umumnya semua hadith Muslim adalah sahih.

Al-Baihaqi pula berpandangan bahawa hadith di atas hanya terpakai sekiranya kucing itu liar dan sukar untuk menyerahkannya kepada pembeli.

Sementara sebahagian ulamak menyatakan hadith di atas berlaku semasa zaman awal Islam, yang masa pada waktu itu hukum sisa makan atau minum kucing adalah najis. Tetapi hukum itu telah berubah selepas beberapa ketika, setelah nabi menyatakan hukumnya adalah harus.

Allahua’lam bis sowab, melihat realiti:

  1. Pandangan jumhur ulamak muktabar yang menyatakan ianya adalah harus, dan
  2. Kos penjagaan kucing, terutamanya yang eksotik adalah tinggi,

saya pohon keampunan dari Allah andai melakukan kesalahan, saya berpandangan bahawa jual beli kucing yang jinak adalah harus, sementara yang liar seperti ALC adalah haram. Ini berdasarkan:

  1. Di dalam Bahasa Arab, kalimah (السِّنَّوْرِ) seperti di dalam hadith di atas merujuk kepada spesis kucing hutan/liar, yang tidak sesuai untuk peliharaan.
  2. Pandangan yang dibawa oleh Imam al-Nawawi dalam Majmu’ yang menyatakan ianya adalah harus (بيع الهرة الأهلية جائز بلا خلاف عندنا : menjual kucing jinak adalah harus tanpa khilaf di sisi mazhab kami)
  3. Semua syarat jual beli kucing yang jinak adalah sah.
  4. Hadith yang melarang, merujuk kepada kucing liar, atau sekadar makruh sahaja.

Akan tetapi sekiranya jual beli kucing itu agak bermewah-mewahan, seperti yang berlaku dalam industri kucing sekarang, dan tidak sepadan dengan kos penjagaan dan lain-lain, maka jual beli tersebut perlu dikaji semula. Allahua’lam.

Advertisement