PERLUKAH WAKTU IMSAK?
Persoalan keperluan waktu imsak di dalam taqwim solat dan jadual sahur/iftar Ramadan sering dibincangkan khasnya pada bulan yang barakah ini. Umum mengetahui bahawa puasa itu bermaksud:
التعبد لله سبحانه وتعالى بالإمساك عن الأكل والشرب وسائر المفطرات من طلوع الفجر وإلى غروب الشمس
Penyembahan diri kepada Allah dengan menahan diri (imsak) daripada makan, minum, serta semua yang membatalkan puasa, daripada terbitnya fajar sehingga tenggelamnya matahari.
Berdasarkan takrif puasa di atas, sebahagian sarjana seperti Tuan Guru Abu Anas Al-Madani menyatakan tiada keperluan untuk meletakkan waktu imsak di dalam jadual solat, sahur dan iftar.
Dengan rendah diri, saya mempunyai pandangan berbeza. Saya berpegang kepada perlunya waktu imsak dipaparkan di dalam jadual solat. Pun demikian, waktu imsak tersebut bukanlah al-imsak al-shar’iy, akan tetapi lebih bersifat al-imsak al-ihtiyati, iaitu waktu imsak berhati-hati.
SEBAB PERTAMA – ZON WAKTU
Jadual waktu yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam setiap negeri adalah berdasarkan zon tertentu mengikut daerah. Ada sebahagian zon membabitkan kawasan yang luas, merentasi timur ke barat. Contohnya, Zon 2 di Pahang (Kuantan, Pekan, Rompin, Muadzam Shah), meliputi kawasan paling timur di Pekan, dan semakin ke tengah / ke barat di Rompin. Pada 23 Jun 2015, waktu Fajar Zon 2 ialah 5:38 pagi. Waktu 5:38 pagi itu adalah waktu sebenar Zon 2 yang paling barat, iaitu Felda Cempaka atau Rompin Barat. Sedangkan waktu Fajar sebenar di kawasan paling timur seperti di Pekan, telah masuk seawal jam 5:36 pagi lagi, kerana putaran bumi atas paksi barat ke timur yang menatijahkan pergerakan jasad samawi dari timur terlebih dahulu berbanding barat.


Mengapa zon waktu ini diamalkan? Kerana ia membabitkan pengurusan yang tidak dapat dielakkan. Jadual waktu solat adalah satu perkara daruriy dalam kehidupan Muslim zaman sekarang. Adalah menyukarkan bagi pihak berkuasa agama untuk menyediakan waktu solat yang terlalu spesifik mengikut taman atau kampung. Justeru, ijtihad telah dikeluarkan supaya waktu solat itu mengikut zon, dengan memastikan waktu solat yang rasmi ialah merujuk kepada kawasan paling barat dalam zon berkenaan, supaya memastikan semua yang menunaikan solat pada waktu rasmi itu, solat pada waktu yang TELAH MASUK secara syara’.
Justeru, sekiranya anda duduk di kawasan paling timur dalam mana-mana zon solat, kemungkinan waktu solat, dan waktu bermulanya puasa anda, adalah lebih awal, seawal 3 minit berbanding waktu yang dipaparkan dalam jadual rasmi.
SEBAB KEDUA – BUNDAR
Apabila pihak berkuasa agama negeri membuat hitungan waktu solat, dengan kemajuan ilmu falak dan matematik zaman sekarang, waktu itu kebiasaannya adalah terlalu tepat, membabitkan jam:minit:saat. Justeru, sekiranya ketepatannya membabitkan saat, seperti masuk waktu Subuh pada Jam 5, Minit 35, Saat 01, pihak berkuasa akan membundarkan ia kepada jam 5:36 pagi, bukannya 5:35 pagi, bagi memastikan kita solat DI DALAM waktu syara’.
SEBAB KETIGA – WAKTU BERHATI-HATI
Selain itu, semasa membuat hitungan waktu solat, pihak berkuasa falak setiap negeri juga akan menambah waktu tersebut dengan waktu berhati-hati, kebiasannya seminit lebih. Ini bagi memastikan semua penduduk zon tersebut solat DI DALAM waktu syara’ tanpa keraguan dan kesilapan.
Berhati-hati (ihtiyati) juga adalah selari dengan laporan sahabat mengenai sunnah nabi berhenti makan sahur sebelum masuk waktu fajar, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:
صحيح البخاري ٥٤١: حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَاصِمٍ قَالَ حَدَّثَنَا هَمَّامٌ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ حَدَّثَهُ
أَنَّهُمْ تَسَحَّرُوا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ بَيْنَهُمَا قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ أَوْ سِتِّينَ يَعْنِي آيَةً
Sahih Bukhari 541: Telah menceritakan kepada kami ‘Amru bin ‘Ashim berkata, telah menceritakan kepada kami Hammam dari Qatadah dari Anas bin Malik bahwa Zaid bin Tsabit telah menceritakan kepadanya, bahawa mereka pernah sahur bersama Nabi SAW, kemudian mereka berdiri untuk melaksanakan solat.” Aku bertanya, “Berapa jarak antara sahur dengan solat subuh?” Dia menjawab, “Antara lima puluh hingga enam puluh ayat.“
KESIMPULAN
Berdasarkan 3 sebab di atas, kita perlu memahami bahawa waktu mula berpuasa sebenar, iaitu waktu fajar/subuh, mungkin berlaku 5 minit lebih awal daripada waktu solat subuh rasmi, berdasarkan kepada lokasi kita.
Justeru, sebagai memenuhi tuntutan taqwa di dalam menunaikan ibadah siyam di dalam bulan Ramadan, saya berpandangan adalah perlu bagi umat Islam di Malaysia supaya mematuhi waktu imsak rasmi di dalam jadual yang dikeluarkan, sebagai tanda kita berhati-hati dan bersungguh-sungguh di dalam mengejar kesempurnaan puasa. Mematuhinya tidak akan mengurangkan barakah dan pahala melewatkan sahur, kerana kebiasannya umat Islam yang bertaqwa selepas makan sahur, mereka akan bersiap sedia seperti bersiwak dan membersihkan diri untuk solat Subuh pada waktunya, dan itu sendiri memakan masa beberapa minit. Lihatlah waktu imsak rasmi itu sebagai waktu imsak ihtiyati (berhati-hati), kerana secara tepatnya kita tiada kemampuan untuk mengetahui waktu imsa’ shar’iy yang bermula pada waktu fajar sebenar. Secara peribadi, saya akan berhenti makan dan minum, 5 minit selepas waktu imsak atau 5 minit sebelum waktu fajar.
Moga bermanfaat, dan diberkati ibadah Ramadan kita semua.
Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham,
AJK Falak Negeri Pahang