Disiarkan di dalam Berita Harian 19 Julai 2013.
Oleh: Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham
(Penyelaras TITAS UMP dan Penerima Anugerah Pengajaran Cemerlang UMP 2012).
Polemik subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sebagai wajib di IPT swasta bermula sejak pengumuman mengenainya oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat pada minggu lepas. Rentetan pengumuman ini, terdapat beberapa kenyataan yang dikeluarkan sebagai respon bantahan terhadap tindakan tersebut.
Antara yang terawal memberikan respon ialah Ahli Parlimen Kampar, Ko Chung Sen. Beliau menyatakan tidak adil bagi mewajibkan pelajar yang mempunyai latar belakang agama yang berbeza, serta mempunyai pegangan yang kukuh dengan kepercayaan masing-masing untuk mempelajari Islam. Ironinya, Ahli Parlimen DAP ini merujuk subjek ini dengan nama subjek Tamadun Islam sahaja, berbanding nama penuhnya Tamadun Islam dan Tamadun Asia, yang menurut beliau sudah dipelajari oleh pelajar Muslim sejak di bangku sekolah lagi.
Selain itu, Timbalan Presiden MCA Gan Ping Shieu turut menyifatkan langkah itu sebagai membelakangi usaha ke arah perpaduan negara. Pendirian beliau turut disokong oleh bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.
Satu himpunan NGO Emco, Buddhist Research Society of Malaysia (BRSM) dan Buddhist Missionary Society Malaysia (BMSM) turut menyatakan kekhuatiran mereka di atas tindakan ini, sambil menyifatkan ia sebagai usaha indoktrinasi, pendekatan sempit dan sektarian (berasaskan mazhab atau sekolah pemikiran) dan hanya menonjolkan tamadun satu agama sahaja.
Sebagai salah seorang tenaga pengajar subjek ini di salah sebuah IPTA, penulis beranggapan kebanyakan respon bantahan yang disampaikan itu adalah berasaskan kepada kekaburan mereka mengenai subjek TITAS itu sendiri. Bantahan itu rata-rata dibuat di atas premis kononnya TITAS ialah subjek Tamadun Islam (sahaja), atau turut merangkumi tamadun lain, tetapi menonjolkan Tamadun Islam sebagai asas utama.
Pada hakikatnya, di dalam subjek TITAS, Tamadun Islam hanyalah salah satu daripada enam topik utama yang diajar. Topik lain ialah Asas Tamadun Manusia, Tamadun Melayu, Tamadun India, Tamadun Cina dan Isu-isu ketamadunan. TITAS juga bukanlah merupakan subjek sejarah. Pelajar tidak perlu menghafal secara kronologi fakta sejarah yang telah dipelajari di bangku sekolah, tetapi yang perlu difahami oleh mereka menerusi subjek ini ialah pengajaran yang diperolehi dan kepentingannya untuk kelestarian tamadun manusia. Ini sekaligus dapat menjawab kekhuatiran yang diutarakan oleh Dr Ranjit Malhi Singh, yang menyatakan lima daripada sepuluh topik sejarah di dalam buku teks edisi baru Tingkatan Empat lebih berasaskan sejarah Melayu dan Muslim.
Selain itu, persoalan Tamadun Islam yang dibincangkan di dalam subjek ini pula bukanlah topik kitar semula yang telah dipelajari oleh pelajar Muslim khasnya di bangku sekolah. Ini bukan subjek agama, tetapi ianya lebih kepada persoalan jatuh dan bangun tamadun manusia, serta nilai sandaran sesebuah bangsa itu terhadap kehidupan yang bersistematik. Subjek ini juga membincangkan persoalan gaya hidup sesebuah tamadun, sistem kepercayaan, kosmologi, serta isu kontemporari yang berkaitan dengan ketamadunan.
Pada tahun pertama bekerja di dalam bidang akademik dan mengajar subjek ini di sebuah IPTA berasaskan kejuruteraan, penulis pernah beranggapan bahawa yang akan mengungguli subjek ini ialah pelajar Melayu. Akan tetapi, apabila melihat kandungan dan topik subjek, telahan penulis disanggah. Dan sanggahan itu menjadi kenyataan apabila di dalam kelas, pelajar pelbagai bangsa mempunyai peluang yang sama rata untuk menjadi cemerlang di dalam TITAS, kerana persoalan tamadun setiap bangsa utama di negara kita disentuh secara adil di dalam kelas, dan pelajar juga diajak, menerusi projek dan kerja kursus, supaya mengaitkan karier masa hadapan mereka sebagai jurutera, dengan persoalan asas ketamadunan manusia.
Walaupun dengan latar belakang pengajian Islam yang diperolehi di Timur Tengah dan Barat, penulis bersyukur kerana subjek ini ditawarkan sebagai subjek wajib di IPTA, kerana sekurang-kurangnya penulis perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai persoalan tamadun lain, khasnya Tamadun Cina dan Tamadun India. Penulis perlu memahami sistem kepercayaan di dalam Tamadun Cina dan Tamadun India, supaya dapat membina kerukunan sesebuah negara yang bersatu, serta mengelakkan pelajar daripada bangsa lain melangkaui sempadan sensitif di dalam kepercayaan bangsa berbeza.
Apabila mengajar sistem kosmologi Tamadun Cina, pelajar akan didedahkan, antara lain, dengan asas kepercayaan Buddhisme, Legalisme, Konfusianisme, Taoisme dan lain-lain. Apabila mengajar Tamadun India, pelajar perlu memahami asas kepercayaan Hinduisme, Sikhisme, Jainisme dan lain-lain. Bukannya untuk memurtadkan orang Melayu supaya keluar daripada agama mereka, akan tetapi supaya pelajar Muslim mengetahui dan menghormati agama daripada Tamadun Cina dan India.
Begitu juga dengan pelajar non-Muslim, apabila mereka mempelajari Tamadun Islam, mereka tidak akan diminta untuk belajar bacaan doa, sembahyang cara Islam, disuruh mengucap kalimah syahadah, diajak berpuasa dan lain-lain. Ini bukan kandungan kursus subjek ini. Sebaliknya yang diajar ialah mengenai sistem kepercayaan, sumber rujukan, keunikan dan karakteristik tamadun Islam, faktor jatuh dan bangun, yang mana rata-rata ianya satu perkara yang baru termasuklah kepada pelajar Melayu. Semuanya bagi memastikan semua pelajar akan didoktrinasi mengenai elemen positif yang universal dalam kesemua tamadun manusia, lantas melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan menghormati yang lain.
Berdasarkan pengalaman, fakta dan respon pelajar, tiada seorang pun pelajar non-Muslim yang memeluk agama Islam kerana subjek TITAS sejak ianya diperkenalkan lebih sedekad yang lalu di IPTA. Sebaliknya, ramai yang menghargai subjek ini kerana ianya dapat memperkenalkan semula mereka, ironinya, dengan tamadun asal mereka. Sebahagian pelajar berbangsa Cina mengakui inilah kali pertama mereka mengetahui asal usul kepercayaan di dalam tamadun mereka. Begitu juga dengan pelajar India. Yang pasti, kesemua mereka, walaupun di dalam bidang kejuruteraan, menghargai subjek ini kerana dengan kandungan dan pengendalian yang menarik, mampu untuk meningkatkan prestasi keseluruhan pencapaian mereka, serta mengasimilasi elemen kemanusiaan di dalam bidang pengajian utama mereka. Subjek ini berjaya memberikan nilai yang berharga dengan karier masa depan mereka.
Tuntas, ketika debat kewajaran mewajibkan subjek TITAS di IPTS adalah merupakan sesuatu yang dijamin di dalam perlembagaan negara, akan tetapi biarlah ianya berlaku dengan harmoni serta dengan asas kefahaman yang tepat terhadap subjek ini sendiri. Di IPTA, adalah terbukti subjek ini mampu menjadi elemen indoktrinasi perpaduan yang bersifat universal dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa.