Ketika saat entri ini ditulis, telah lebih 48 jam berlalu tragedi kehilangan pesawat MH370. Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga, rakan mangsa, warga kerja MAS, dan seluruh rakyat Malaysia. Sepanjang tempoh yang lama ini, kita dapat memerhatikan bagaimana respon dan reaksi rakyat Malaysia ketika berhadapan dengan berita tragedi ini. Sebagai sebuah negara yang relatifnya agak aman, serta jarang diuji dengan krisis yang besar, rakyat Malaysia masih terkial-kial dalam mencari rentak, atau lebih mudah, masih belajar, untuk berinteraksi dengan peristiwa tersebut. Dalam tulisan ini, saya akan cuba untuk memberikan beberapa pandangan Islam, bagaimana kita ‘bermuamalah’ dengan berita seumpama itu.
1. Serahkan kepada pihak berkuasa.
Sejak daripada hari pertama kejadian, ramai pihak mula bersikap bengang dan marah dengan pihak berkuasa dan kakitangan MAS, kerana kononnya gagal untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat. Kadang-kadang agak keterlaluan juga sikap seumpama ini, walaupun mereka itu bukannya keluarga dan rakan mangsa. Rasa perihatin dan simpati memang baik, tetapi ianya perlu dikawal dengan akhlak. Lantaran itu, ramai yang kecewa, dan ditambah pula dengan ketidaksabaran untuk mendapatkan maklumat, akhirnya mereka bertindak sewenang-wenang percaya kepada berita palsu.
Sebenarnya, Allah mengajar kita apabila kita didatangi dengan berita sama ada yang bersifat aman, atau bersifat krisis, letakkan kepercayaan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa. Mereka lebih mengerti. Taktala mereka dimarahi, saya yakin tiada seorang pun antara mereka yang bersikap berdiam diri dan tidak menjalankan tugas. Taktala kita sedang tidur nyenyak, saya yakin petugas-petugas terlibat sedang bersekang mata untuk mencari penyelesaian. Firman Allah:
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)
Al-Nisa’:83
Malaysia masih belajar. Kita semua masih belajar. Pemimpin juga masih belajar. Tidak perlulah terpengaruh dengan amalan beberapa negara luar, asal berlaku tragedi, beberapa orang menteri ‘bertanggungjawab’ meletakkan jawatan. Bagi saya, itu bukan bertanggungjawab, tetapi itu lari daripada tanggungjawab. Berikanlah ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.
2. Berita palsu dan spekulasi.
Tidak sampai beberapa jam selepas MAS mengeluarkan kenyataan rasmi pertama mengenai kehilangan pesawat MH370, agak pelik sekali kerana ada beberapa kelompok dalam masyarakat Malaysia yang terlebih kreatif, mencipta riwayat yang palsu, dengan kononnya pesawat itu telah selamat mendarat di sebuah lapangan terbang di selatan China. Ramai yang ketika itu, kerana harapan yang tinggi agar pesawat itu selamat, percaya dan menyebarkan berita tersebut. Malang sekali, harapan yang diberikan menerusi berita palsu itu adalah mengecewakan. Ianya berita palsu. Bayangkan bagaimanakah emosi keluarga mangsa dipermainkan dengan penyebaran berita seumpama ini.
Dengan sebab itulah, Allah meletakkan asas yang kukuh apabila kita didatangkan dengan mana-mana berita yang sumbernya daripada elemen ‘fisq’. Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Al-Hujurat:6)
Saya juga berpendapat, walaupun sikap mencipta berita palsu itu dan menyebarkannya adalah amat salah, akan tetapi wacana untuk membincangkan teori kehilangan pesawat itu, adalah satu keperluan. Perlu dibezakan antara berita palsu dan juga teori kehilangan pesawat. Berita palsu adalah tetap palsu, ianya nyata salah, dan membawa penyesalan kepada ramai pihak. Teori atau spekulasi kehilangan pula, kadang-kadang menjadi keperluan untuk membantu pasukan penyiasat dan penyelamat menjalankan tugas mereka.
3. Numerologi lagi.
Menarik juga, hanya sehari selepas kehilangan pesawat, ramai Muslim Malaysia yang mula menyebarkan berita ramalan numerologi, mengaitkan waktu, nombor pesawat dan tarikh kejadian, dengan ayat-ayat tertentu di dalam al-Quran. Sama juga seperti ramalan berasaskan numerologi ke atas kejadian 9/11, atau pun ramalan qiamat akan berlaku pada 2012. Kali ini, yang menjadi mangsa ialah surah ke 36 dalam al-Quran, iaitu surah Yaasin, dengan ayat yang menjadi mangsa ialah ayat 41-42 dan ayat 83.
Al-Quran datang sebagai petunjuk yang jelas. Bukannya petunjuk dalam kesamaran. Al-Quran tidak mempunyai fungsi seperti sebuah peti rahsia yang penuh dengan papan kekunci nombor yang perlu diselesaikan dengan penyelesaian andaian matematik.
Secara turutan, Allah telah menetapkan turutan surah Yaasin itu pada kedudukan yang ke-36, dan mempunyai 83 ayat. Tiada kaitan dengan 8/3/2014. Dalam ayat ke-41, Allah berfirman:
Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat
(Yaasin:41)
Bukalah mana-mana kitab tafsir sekali pun, kita akan mendapati yang dimaksudkan denagn bahtera yang belayar itu ialah bahtera nabi Nuh.
Justeru, sikap ramalan dan tafsiran berasaskan numerologi ini ialah satu sampah. Ianya sikap yang perlu dihentikan segera. Jika tidak, tiada beza kita dengan idola gerakan anti hadith, Dr Rashad Khalifa yang mengasaskan ajaran kod 19 berasaskan formula matematik di dalam meramalkan banyak kejadian di bumi ini. Dengan hanya maklumat 19 huruf di dalam lafaz basmalah, habis semua perkara di dalam al-Quran dan kehidupan dikaitkan dengan angka 19.
Kesimpulan
Dengan melihat respon manusia terhadap tragedi kehilangan MH370 ini, kita dapat melihat dan belajar sendiri pengenai perangai manusia yang tidak akan henti-henti mencipta, mempercayai, dan menyebar kepalsuan. Memang tidak tergambar, bagaimana ada manusia yang sanggup menghabiskan masa, mengerahkan idea, untuk merekacipta maklumat yang palsu, digubah dalam bentuk yang kreatif supaya dapat menarik kepercayaan manusia yang lain. Tidak hairanlah dalam disiplin ilmu Islam, hadith-hadith dan amalan-amalan palsu kerap dicipta supaya dapat meraih kepercayaan pengikut dan manusia yang lain. Moga Allah pelihara kita semua daripada kepalsuan.
Dan moga Allah mengurniakan kesabaran kepada semua ahli keluarga dan rakan mangsa pesawat MH370. Ya Allah, Kau temukanlah pesawat itu, sama di lautan atau di daratan, kepada kami semua. Amin ya Rabbal Alamin.
mohon untuk share poster doa. Terima kasih