HIDAYAH PERASAAN BERASASKAN HIDAYAH AL-QURAN
Melihat telatah Raed, Hakim dan Atif, menjadikan saya melihat kebesaran dan pemurahnya Allah kepada diri manusia. Anak-anak kecil, perangai mereka sama sahaja. Bermain gembira, kemudian bergaduh marah, yang kalah akan menangis kesedihan. Apabila lapar, makan. Apabila kenyang, tidur. Begitulah pusingan hidup mereka. Perasaan dan emosi mereka sering bertukar silih berganti, kadang-kadang di dalam jangka waktu yang singkat.
Sebenarnya, Allah SWT telah memberikan, antara lain, hidayah perasaan kepada semua makhluk termasuklah manusia dan haiwan. Apabila kita mendapat hadiah setelah lulus cemerlang di dalam akademik sebagai contohnya, kita akan rasa bergembira. Sekiranya kita gagal dan perlu mengulang tahun, kita akan rasa bersedih. Sekiranya kita diejek oleh sahabat, kita akan rasa marah. Hidayah perasaan ini ada pada semua manusia. Allah memberikan hidayah perasaan ini bukannya semberono sahaja, tetapi ianya perlu digunakan berdasarkan hidayah teragung, iaitulah al-Quran dan al-Sunnah. Mereka yang dipimpin al-Quran dan al-Sunnah akan mengetahui bagaimanakah mengawal dan menggunakan hidayah perasaan ini supaya digunakan kena pada tempatnya.
Contohnya, ketika membaca al-Quran, sekiranya mendengar ayat syurga, sepatutnya perasaan kita perlulah rasa gembira melihat pemurahnya Allah kepada manusia. Sekiranya mendengar ayat mengenai neraka, sepatutnya perasaan takut perlu menyelubungi jiwa. Sekiranya mendengar ayat mengenai Rasulullah SAW, maka perasaan rindu untuk bersama baginda, itulah setepatnya. Justeru, sekiranya kita bersedih dengan perkara kemunkaran, seperti menangis tersingkirnya peserta siri realiti daripada pertandingan berteraskan maksiat, maka itu khianat dan zalim namanya. Begitu juga sekiranya kita bergembira melihat rakan kita dianiaya dan dizalimi, atau tidak merasa apa-apa langsung ketika mendengar berita musibah yang menimpa penduduk Pakistan dan Palestin, itu juga khianat dan zalim ke atas hidayah perasaan tadi.
RAMADHAN DAN SYAWAL MEDAN TARBIAH MENGAWAL PERASAAN
Ramai memahami bahawa Ramadan itu, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi. Selain itu, semua bersetuju bahawa ketibaan Syawal perlu dirai. Gembira, bersedih dan seterusnya bergembira, seolah-olah itulah aturannya. Pertukaran perasaan dan emosi sebegini hakikatnya adalah satu seni dan tarbiah buat diri manusia. Tidak ada produk atau formula saintifik yang boleh mengawal perasaan ini, kerana ianya adalah seni. Seni inilah yang mendidik jiwa hamba supaya tahu meletakkan hidayah perasaan kurniaan Ilahi kena pada tempatnya.
MENANGISI PEMERGIAN RAMADHAN
Di penghujung Ramadhan ini, renungilah bagaimana perasaan para sahabat di saat perpisahan ini. Mereka akan menangisi pemergiannya. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa di mana sifat Pemurah dan Penerima Taubat Allah itu berlipat ganda. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat di mana bala syaitan itu digari. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat pintu syurga dibuka seluasnya, dan pintu neraka itu ditutup serapatnya. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa khusus untuk melahirkan generasi bertaqwa, berasaskan kepada hidayah al-Quran. Semua ganjaran ini, hanya ditawarkan terhad sepanjang Ramadhan sahaja. Mereka akan berdoa supaya diterima amalan mereka sepanjang bulan barakah ini, serta dikurniakan lagi Ramadhan untuk tahun akan datang.
Saya tertarik dengan doa yang dibaca oleh Imam al-Sudaisi, yang sewajarnya kita baca di senja Ramadhan ini:
اللهم اوصلنا الى رمضان كريم اعواما عديدة
Allahumma ausilna ila Ramadan Karim a’waman adidah.
Ya Allah, sampaikanlah (usia kami) hingga ke Ramadan Karim tahun-tahun mendatang.
Akan tetapi agak malang, ramai umat Islam yang keliru perasaan mereka di penghujung Ramadhan ini. Yang mereka nampak, ialah kegembiraan menyambut hari Raya. Mata hati mereka buta daripada merasai kesedihan pemergian Ramadhan.
Di Kuantan sebagai contohnya, di penghujung Ramadhan ini saya diberikan kesempatan masa beberapa kali untuk solat tarawih di Masjid Sultan Ahmad Shah yang merupakan masjid negeri Pahang. Kadang-kadang saya sampai agak lewat. Kecewa dan geram apabila melihat kelibat anak-anak muda yang berkeliaran mundar-mandir di padang MPK di sebelah masjid. Ketika bilal dan imam mengumandangkan ayat-ayat suci Allah, bagaimana tergamak mereka memekakkan telinga, tanpa rasa sedikit bersalah pun untuk bersembang kosong, berdua-duaan, dan melakukan perbuatan sia-sia.
Belum ditinjau lagi aktiviti membeli-belah di waktu malam. Malam Ramadhan, khususnya di sepuluh malam terakhir adalah malam di mana nabi memutuskan hubungan duniawi baginda semata-mata untuk fokus bersama Allah. Di sepuluh malam terakhir ini, nabi tidak bergaul dengan isteri baginda. Itu tahap nabi, seorang yang maksum. Bagaimana pula dengan kita umat akhir zaman, mengapa tidak rasa terpanggil untuk melakukan aktiviti membeli-belah pada waktu yang lebih sesuai, supaya malam akhir Ramadhan adalah malam kita bersama Tuhan. Masuk masjid, kita diajar berdoa supaya dibuka pintu rahmat. Masuk pasar dan kedai, kita diajar supaya dijauhi daripada syaitan, nafsu jahat dan juga maksiat. Mengapa lebih memilih untuk masuk ke dalam pasaraya ketika sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk kita masuk ke dalam rumah Allah.
Melihat senario inilah menyebabkan saya rindu dengan suasana Ramadhan di Mesir. Pada sepuluh malam terakhir, masjid-masjid akan dipenuhi dengan lautan manusia. Di Masjid Amru bin al-As, menjadi rutin yang Imam Jibril akan mengepalai solat tarawih dan qiyam pada sepuluh malam terakhir. Umat Islam di sana biasanya akan mula menempah tempat duduk mereka sejak waktu zohor lagi untuk duduk di saf hadapan. Mereka akan membawa sekali bekalan makanan untuk iftar dan sahur, dan tidak akan berganjak sedikit pun sehingga ke waktu subuh.
Senario ini juga menyebabkan saya sebak dan rindu dengan suasana Ramadhan di UK. Saya rasa terharu, betapa bersungguhnya umat Islam di sana menghabiskan sepuluh malam terakhir. Kebanyakan golongan eskpat dan profesional akan bercuti sepanjang hari terakhir Ramadhan semata-mata untuk beri’tikaf di masjid. Terutamanya pada malam ke-27, seluruh masjid akan dipenuhi dengan umat Islam. Amat jauh sekali bezanya dengan suasana masjid di Malaysia.
Semua ini dilakukan kerana sayu mereka berpisah dengan Ramadan. Dan mereka cakna untuk mengambil seluruh peluang yang ditawarkan Allah pada bulan mulia ini. Mereka bersungguh-sungguh merebut tawaran untuk menjadi graduan taqwa kepada Allah.
MERAIKAN KETIBAAN SYAWAL DENGAN MEMAHAMI FALSAFAH EIDUL FITRI
Dalam masa yang sama, orang Islam yang soleh juga mampu untuk meletakkan perasaan gembira menjelang Syawal supaya kena pada tempatnya. Semua ini akan dapat dirasai sekiranya kita dapat memahami falsafah Eidul Fitri yang sebenarnya.
Islam mempunyai falsafah tersendiri terhadap sambutan hari raya. Ianya jelas termaktub di dalam surah Al-Baqarah ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥)
185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Ringkasnya, Allah mengajar manusia supaya membesarkanNya dengan bertakbir serta bersyukur, yang mana takbir dan syukur itu adalah simbol kepada kegembiraan. Bergembira dan menggembirakan orang lain adalah sunnah yang amat dituntut semasa sambutan Eidul Fitri.
Amat penting sebelum kita menggunakan hidayah perasaan gembira kita pada hari lebaran ini, untuk memahami hakikat Eidul Fitri itu sendiri.
Di dalam Lisan al-Arab, Ibn A’rabi menyatakan yang dinamakan Eid itu kerana umat Islam merayakannya secara berulang setiap tahun (Eid daripada perkataan ‘Ada yang bermaksud kembali/berulang).
Ibn ‘Abidin pula menyatakan dinamakan hari raya itu sebagai Eid, kerana Allah mengembalikan pelbagai jenis kebaikan untuk hamba-Nya di setiap hari, seperti berbuka setelah menahan diri daripada makan, zakat fitrah, korban, tawaf haji dan seumpamanya.
Selain itu, tidak kurang juga ulamak yang menyatakan kita bergembira di hari raya kerana meraikan kejayaan kita setelah menundukkan nafsu sepanjang siang hari Ramadhan. Menundukkan nafsu adalah seperti madrasah para malaikat yang Allah tidak berikan nafsu kepada mereka, dan mereka sentiasa taat kepada Allah. Manusia menjadi insan terbaik, lebih baik daripada malaikat kerana kita mempunyai unsur ruh dan nafsu. Kalau ruh kita boleh mengawal dan menundukkan nafsu, ketika itulah kita menepati ciri-ciri ahsani taqwim.
Ada juga ulamak yang menyandarkan kegembiraan itu kepada beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang Ramadhan, seperti penurunan al-Quran, kemenangan Badar al-Kubro, pembebasan kota Makkah, kemenangan Tabuk, diskaun hebat pesta ibadah dan lain-lain.
Amat jelas di sini, bahawa kegembiraan Syawal, adalah kerana kecemerlangan Ramadhan. Bukannya semata-mata kerana bebasnya diri mereka daripada pantang-larang Ramadhan, atau kerana semata-mata dapat memakai pakaian baru, cuti panjang, dapat duit raya, atau bertemu sanak saudara serta taulan.
Selain itu, terdapat beberapa falsafah penting yang perlu disemat oleh Islam sepanjang sambutan kegembiraan Eidul Fitri ini:
a. Eidul Fitri adalah seperti sambutan perayaan berasaskan agama, dan bukannya budaya semata-mata. Bila disebut sambutan agama, maka tiada masalah untuk meraikannya bersesuaian dengan budaya kita, kerana Islam meraikan budaya selagi mana tidak bercanggah dengan syariat. Kita khuatir sekiranya sambutan Eidul Fitri itu lambat-laun akan menjadi sambutan budaya, seperti yang dialami oleh penganut agama Kristian terhadap sambutan Krismas mereka. Saya melontarkan kekhuatiran ini pada tahun lepas, dan agak malang kerana kelibatnya telah mula kelihatan, kemuncaknya dengan iklan raya kononnya ala 1Malaysia di saluran TV3. Alhamdulillah, TV3 menerima teguran dan menarik kembali iklan tersebut. Justeru, pastikan kita meraikannya sebagai perayaan agama. Jagalah adab dan falsafahnya.
b. Eidul Fitri adalah hari untuk bergembira dan menggembirakan orang lain. Akan tetapi ianya juga berpotensi menyimpangkan perasaan gembira itu supaya bercampur baur dengan perasaan sedih yang melampau. Sebahagian umat Islam melayan hari raya semata-mata untuk bersedih. Perhatikanlah sejak zaman filem hitam putih lagi, kebanyakan lagu raya Melayu adalah lagi yang menjurus kepada kesedihan. Jika dicari lagu raya Melayu di dalam youtube, majoritinya adalah bertemakan kesedihan. Sedangkan di dalam budaya beraya di dalam masyarakat bukan Melayu, bukan setakat sedikit sahaja lagi raya yang dinyanyikan, yang ada itu pun tidak langsung menjurus kepada kesedihan. Belum bicara lagi mengenai ‘lagu’ takbir raya versi Melayu. Tidak salah kita bersedih ketika beraya. Bersedih kerana beraya tanpa orang tersayang. Bersedih kerana Ramadhan meninggalkan kita, itu dituntut. Menangis kerana bimbang adakah dikurniakan lagi Ramadhan tahun akan datang, itu amal salafussoleh. Akan tetapi jangalah suasana sedih itu melatari kegembiraan yang sepatutnya perlu dizahirkan semasa Eidul Fitri.
c. Ada juga yang ketika bergembira di hari raya, tetapi dalam masa yang sama membuat dosa. Baru sahaja Allah melatih kita sebulan berpuasa tanpa syaitan, bila diuji pada hari pertama Syawal, ada yang kecundang. Sebagai contoh, ramai yang merayakan Eidul Fitri dengan tidak menjaga aurat serta batas hubungan lelaki dan perempuan. Ada juga yang sibuk beraya dari rumah ke rumah, sehingga meninggalkan solat. Ada yang sibuk masak di malam raya, akhirnya subuh dan solat sunat Eidul Fitri entah ke mana.
Justeru, amat penting kita berhati-hati dalam bergembira di hari raya. Untuk memastikan yang kita berhati-hati, perlulah menjaga beberapa adab penting sepanjang Eidul Fitri, seperti:
a. Mandi sunat hari raya di awal pagi.
b. Memakai wangian dan pakaian paling bagus, dan tidak semestinya baru.
c. Makan sebelum berangkat menuju ke tempat solat sunat Eidul Fitri.
d. Sepanjang perjalanan ke tempat solat sunat Eidul Fitri, pada waktu inilah sebenarnya waktu terbaik untuk melafazkan takbir raya. Ini tidaklah bermakna ada larangan untuk kita bertakbir pada waktu sebelumnya, seperti yang diamalkan di Malaysia, bertakbir dari rumah ke rumah selagi mana tidak menyusahkan tuan rumah.
e. Sebaik-baik tempat solat Eidul Fitri ialah di tempat terbuka seperti di padang atau dewan besar, di mana dibolehkan perhimpunan besar diadakan. Sekiranya keadaan mengizinkan di Malaysia, budaya solat sunat Eid di surau-surau kecil perlu dikurangkan secara beransur-ansur, dengan memilih tempat yang besar seperti dewan atau padang, dengan bacaan imam terbaik, serta khutbah raya terbaik.
f. Semua disunatkan pergi ke tempat solat tersebut, termasuklah bagi wanita yang haid. Bagi yang terlambat, atau keseorangan di kejauhan, maka bolehlah dibuat secara bersendirian.
g. Pulang mengikuti jalan yang lain berbanding jalan pergi ke tempat solat. Ini bagi membolehkan kita bertemu dengan lebih ramai umat Islam.
h. Mengucapkan tahniah dan doa kepada umat Islam lain. Selain ucapan-ucapan raya yang biasa diamalkan, ada sepotong hadith hasan yang menyebut nabi memberikan ucapan ‘Taqaballahu minna wa minka’ yang bermaksud semoga Allah menerima amalan kita semua.
i. Membuat apa sahaja simbol gembira dan menggembirakan orang lain, asalkan tidak melanggar syariat. Nabi sendiri mengizinkan dua budak perempuan daripada bani Aus menyanyikan lagu kaum mereka di rumah baginda ketika Aishah berada di rumah.
Akhirnya, persoalan apa bestnya raya hanya mempunyai satu jawapan sahaja, iaitu best raya sekiranya kita best menunaikan ibadah Ramadhan, serta memahami falsafah Eidul Fitri.
Selamat hari raya saya ucapkan kepada semua yang mengenali saya sekeluarga. Maaf zahir dan batin. Manfaatkan akhir Ramadhan untuk mengejar ganjaran yang berbaki di bulan barokah ini. Tiada jaminan yang kita akan menemuinya pada tahun-tahun mendatang.
Taqaballahu minna wa minkum.
Ikhwanukum fillah,
Irfan, Raed Kifah, Aiman Hakim dan Atif Abqariy @ Malaysia.
Najat & Sofea Helwana @ Scotland.
salam ya ustaz…
kaifahalukal aan?
ta’rifuni?
akheerul kalam..
salam eidul fitri..kullu aam wa antum bikhair.
http://abuaiman786.blogspot.com/
وعليكم السلام يا اخي الكريم
كيف انساك و انت داءما في قلبي
عيد مبارك