Sebagai rakyat Malaysia yang membayar cukai, saya bertanggungjawab untuk menyampaikan pandangan terhadap undang-undang jalan raya. Bagi saya, kebanyakan undang-undang yang sedia ada sudah cukup cantik untuk memberikan perlindungan semaksimum mungkin kepada pengguna jalan raya. Patuh kepada undang-undang adalah sebahagian daripada ikhtiar dan tawakkal kita kepada Allah untuk bergerak dengan selamat di muka bumi ini. Penguatkuasaan terhadap undang-undang juga merupakan elemen yang penting supaya pengguna jalan raya yang degil akan belajar untuk patuh walaupun secara paksa.

Di tanah air, antara pihak yang menguatkuasakan undang-undang jalan raya ialah pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Dengan pendapatan yang dikatakan tidak berbaloi dengan kerja yang mereka lakukan, rakyat memang banyak terhutang budi dengan pengorbanan mereka. Akan tetapi, terdapat satu penguatkuasaan daripada pihak polis yang secara peribadi saya rasa perlu diperbaiki. Penguatkuasaan yang saya maksudkan ialah daripada aspek saman laju.

Saya hanya merujuk kepada Jalan Gambang. Jalan double lane yang tidak sibuk ini mempunyai had laju sebanyak 80 km/j sahaja. Dikhabarkan yang kamera perangkap laju biasanya diletakkan di kebun kelapa sawit dan longkang strategik terutamanya antara simpang besar Gambang sehingga ke Pengkalan TUDM. Ada yang menyindir had laju 80km/j di situ sebagai tidak kena pada tempatnya. Yang lebih teruk, ada yang berpandangan ianya merupakan satu penghinaan terhadap pembina jalan raya tersebut, dan juga jurutera yang mencipta teknologi kereta itu sendiri. Pun demikian, saya yakin ada asasnya mengapa pihak berkuasa meletakkan angka 80km/j itu, barangkali merujuk kepada permukaan jalan raya yang beralun atau merujuk kepada sikap pengguna jalan tersebut secara khusus.

Saya percaya bahawa undang-undang dunia perlu mempunyai elemen mengawal dan mendidik manusia. Adalah tidak wajar sekiranya penguatkuasaan undang-undang itu dilaksanakan semata-mata untuk menghukum sahaja. Penguatkuasaan yang bermatlamatkan hukuman semata-mata boleh membawa kepada korupsi dan sikap suka untuk berkuasa. Tambahan pula, ianya boleh membuka ruang untuk menzalimi rakyat, serta menafikan falsafah undang-undang sebagai elemen mendidik dan mengawal keselamatan pengguna jalan raya.

Saya tidak nampak kewajaran dan keperluan pihak polis meletakkan kamera perangkap laju di jalan yang sunyi seperti di kebanyakan kawasan kebun kelapa sawit sepanjang Jalan Gambang. Bukannya banyak sangat pengguna jalan raya di situ. Kereta pun tidak banyak. Saya yakin sekiranya diminta statistik kemalangan maut di kawasan tersebut, angkanya amat rendah.

Mengapa tidak mereka menumpukan operasi kamera laju di kawasan-kawasan yang sibuk,seperti di hadapan Taman Perumahan Mahkota Aman contohnya. Ramai pejalan kaki serta penunggang motosikal dan basikal berkeliaran di sekitar kawasan perumahan tersebut. Saya difahamkan yang sudah banyak kemalangan jiwa berlaku di situ. Bukankah lebih berkesan daripada aspek jaminan keselamatan kepada pengguna jalan raya di situ, serta berkesan juga daripada aspek mendidik pemandu kenderaan supaya menghormati pejalan kaki serta penunggang motor? Sekiranya sanggup meletakkan anggota polis biasa berpanas-panas di kawasan sunyi, mengapa tidak diletakkan sahaja mereka untuk mengawal dan menguatkuasakan undang-undang di kawasan yang lebih sibuk dengan pejalan kaki dan seumpamanya?

Di negara Barat, amat jarang sekali pihak polis memerangkap pengguna jalan raya dengan kamera laju tersembunyi. Susah sekali mendengar mangsa saman ekor. Di beberapa kawasan strategik, berbahaya, sibuk dan berisiko tinggi, terdapat kamera perangkap yang diletakkan secara kekal. Papan tanda kamera perangkap laju juga diletakkan secara terang-terangan. Pemandu kenderaan juga sedia maklum bahawa terdapat kamera perangkap di situ, lantas mereka terdidik untuk memperlahankan kenderaan untuk menghormati pengguna jalan raya yang lain. Tidak perlu mengarahkan pengawai polis berpanas atau bersejuk menyorok untuk menangkap gambar pemandu yang melebihi had laju. Kerja polis lebih senang, pengguna jalan raya pun terjamin keselamatan mereka.

Saya tidaklah sampai tahap menyeru pihak berkuasa untuk meniru seratus peratus undang-undang Barat. Mungkin kita masih tidak mempunyai peruntungan kewangan yang secukupnya untuk meletakkan kamera kekal di kawasan strategik seperti contoh di atas. Akan tetapi, perubahan perlu dilakukan sekarang. Tidak perlulah mengarahkan pegawai polis berpanas-panas lagi di kawasan sunyi, sebaliknya beralihlah ke kawasan yang patut diberikan keutamaan.

Advertisement