InsyaAllah mulai esok, mahasiswa baru akan mula berdaftar di Universiti Malaysia Pahang dan seluruh IPT di tanah air. Sebagai staf akademik di UMP, secara peribadi saya mengucapkan selamat datang kepada anda semua ke bahtera perjuangan ilmu.
Walaupun masih baru, saya percaya yang UMP mempunyai keunikan tersendiri. Keunikan ini terserlah melalui mental model yang telah diterapkan sejak dari awal penubuhannya lagi dengan nama KUKTEM.
Falsafah UMP digariskan seperti berikut:
Kepercayaan bahawa ilmu adalah amanah Allah kepada manusia sebagai khalifah untuk dimanfaatkan. Penekanan kepada ilmu gunaan yang dipraktikkan oleh insan berakhlak akan menyumbang ke arah keharmonian dan kemakmuran sejagat.
Berdasarkan falsafah ini, mahasiswa baru sepatutnya perlu jelas orientasi mereka sepanjang permukiman di bumi ilmu ini. Mereka perlu menyedari betapa permukiman mereka di sini adalah merupakan amanah Allah kepada mereka yang terpilih, untuk mempelajari ilmu-ilmu kejuruteraan yang bakal digunakan untuk kebaikan alam seluruhnya.
Mereka sepatutnya perlu meniru semangat yang dimiliki oleh Sultan Muhammad al-Fateh, yang berjaya menewaskan kerajaan Rom Timur di Constantinople ketika umurnya masih 26 tahun. Antara resepi kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh ialah memiliki hubungan yang amat kuat dengan Allah SWT. Semua misi perjuangan sentiasa diiringi dengan bimbingan ulamak, serta tidak pernah lekang daripada ibadah. Hasilnya, lahirlah ketumbukan tentera yang mempunyai pergantungan yang kuat terhadap kuasa Allah SWT.
Akan tetapi, bergantung harap dengan kuasa Allah semata-mata belum lagi melayakkan kita menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang. Selanjutnya, perlulah berikhtiar untuk menjadi mereka yang mempunyai strategi dan perancangan yang mantap dengan segala material dan alat yang ada. Sultan Muhammad al-Fateh memenuhi pra-syarat ini. Beliau sanggup untuk belajar teknologi yang dicipta bangsa lain. Contohnya, meriam yang digunakan untuk merobohkan kota Byzantium itu sendiri adalah ciptaan seorang warga Hungary bernama Urban. Bahkan penasihat strategi ketenteraan serta barisan tenteranya juga terdiri daripada masyarakat pelbagai bangsa dan agama.
Dengan sebab kesungguhan memenuhi pra-syarat kemenangan itulah melayakkan beliau menewaskan kuasa besar dunia pada waktu tersebut di usia mudanya.
Justeru, bagi mahasiswa baru di UMP, hiasilah hari-hari pertama anda di bumi ilmu ini dengan keikhlasan. Keikhlasan menuntut ilmu Allah SWT untuk kebaikan alam seluruhnya. Keikhlasan yang disulami keinsafan, betapa hadir ke sini bukannya semata-mata untuk meneruskan agenda kehidupan tanpa sebarang matlamat, atau sekadar suka-suka. Hadir mereka ialah hadir seorang khalifah, yang akan mempelajari ilmu kejuruteraan, seterusnya berusaha menjadi seorang teknokrat Muslim yang berguna.
Hadir mereka di bumi ilmu ini perlu diiringi dengan kesungguhan. Kesungguhan untuk belajar dan menimba ilmu kejuruteraan sebanyak yang mungkin. Kesungguhan untuk bersedia belajar ilmu kejuruteraan walau dari mana sumbernya. Kesungguhan untuk menjadi mahasiswa yang terbaik di dalam setiap lapangan, terutamanya di dalam bidang akademik, dan tidak dilupakan juga kecemerlangan di dalam aspek sahsiah diri. Anda beruntung mendapat tempat di dalam UMP, kerana kepakaran yang dimiliki oleh ahli akademik di sini, serta pengamalan Kemahiran Insaniah (Soft Skills) yang diterapkan di dalam kehidupan mahasiswa secara menyeluruh sama ada di dalam bidang akademik atau bukan akademik.
Peganglah pesanan Imam al-Shafie kepada semua penuntut ilmu di dalam syairnya:
أخي لن تنال العلم إلا بستةٍ سأنـبـيـك عـــن تفصيـلـهـا بـبـيـان |
ذكاء وحرص واجتهاد وبلغةٍ وصحبـة استـاذٍ وطـول زمــان |
Saudaraku, engkau tidak akan berjaya menuntut ilmu melainkan dengan enam (syarat)
Aku akan jelaskan (syarat-syarat tersebut) dengan terperinci,
1. Kecerdikan. 2. Pro-aktif mencari ilmu. 3. Ketekunan.,
4. Logistik dan sumber perbelanjaan. 4. Hubungan baik dengan tenaga pengajar. 5. Masa yang panjang (untuk menuntut ilmu).
Penuhilah syarat-syarat ini, insyaAllah anda akan menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang. Sekiranya anda datang ke sini semata-mata untuk menjadi seorang graduan sahaja, maka samalah anda semua dengan graduan lain di luar sana. Jadilah mahasiswa yang berkualiti, punya hubungan yang kuat dengan Maha Pencipta, sentiasa siap-siaga peranan sebagai seorang khalifah, bersedia untuk memperbaiki sahsiah diri, dan bersungguh-sungguh menjadi yang terbaik.
InsyaAllah kita berjumpa di dalam bilik kuliah nanti.
rindunya kuliyyah ilmu setiap Jumaat malam di aberdeen. Baiti jannati…huhu..