Dato’ Seri Najib di dalam satu program di Tumpat minggu lepas telah mengeluarkan kenyataan yang menjadi berita utama di dada akhbar. Beliau mendakwa ramai pelajar dan pensyarat di institut pengajian tinggi tempatan terlibat di dalam JI dan sedang merekrut ahli kumpulan militan tersebut.
Pada minggu ini pula, nampaknya kenyataan itu telah dipanjangkan ‘echo’nya oleh seorang penceramah JAKIM, Ustaz Zamihan Mat Zin yang dilaporkan mendakwa Dato’ Seri Shahidan Kasim, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Dr Juanda dan Dr Mohd Asri Zainal Abidin terlibat sama di dalam JI. Ketika entri ini dibuat, saya masih belum mendapat sumber yang sahih adakah benar Ustaz Zamihan Mat Zin mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat tidak bertanggungjawab itu. Boleh jadi hanya media sahaja yang tersalah lapor. Apa yang pasti, kenyataan Ustaz Zamihan itu walau bagaimana jua cara gorengannya, telah menatijahkan kefahaman; sama ada benar atau tidak, bahawa keempat-empat tokoh itu adalah pengikut Wahabisme yang kononnya punya kaitan rapat dengan JI.
Saya melihat perkembangan ini dengan sedikit kekecewaan. Sekiranya benar ada insan-insan yang terlibat dengan keganasan seumpama ini, sila tangkap dan dakwa mereka. Tindakan menghebahkan dakwaan tanpa sebarang tindakan susulan adalah amat tidak bijak dan menggambarkan ketidakmatangan di dalam tindakan. Mengapa perlu takut untuk menangkap sekiranya mempunyai bukti, saksi dan maklumat perisikan yang cukup? Mengapa perlu menghebahkan tuduhan sehingga menyebabkan semua orang yang berada di institut pengajian tinggi berhadapan dengan risiko difitnah secara sembrono? Tidak terfikirkah perasaan ibu bapa kepada mahasiswa baru yang akan mendaftar pada awal bulan hadapan? Bagaimana pula dengan kebimbangan mahasiswa baru itu sendiri, dikhuatiri direkrut oleh JI, sehingga semua ajakan untuk terlibat di dalam upacara keagamaan, dakwah dan tarbiah ditolak oleh mereka nanti?
Hubungan pemimpin dengan rakyat, ibarat hubungan ibu bapa dengan anak-anaknya. Sekiranya terbukti sahih ada seorang anak melakukan kesalahan, adakah wajar untuk membiarkan sahaja anak itu tanpa tindakan, sebaliknya mengugut serta menakut-nakutkan adik-beradiknya yang lain?
Selain itu, saya turut kecewa dengan sesetengah pihak yang suka menangguk di air keruh. Memang tidak dapat disembunyikan lagi perbalahan antara “kaum tua” dan “kaum muda” di Malaysia sekarang ini. Saya yakin ramai cendiawakan melihat perselisihan ini sebagai satu debat akademik yang boleh diharmonikan. Akan tetapi mengapa perlu perbalahan ini diheret kepada gejala fitnah?
Mengapa perlu memfitnah Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebagai Wahabi dan JI? Bukankah mereka merupakan ahli politik, yang memilih saluran demokrasi yang aman tenteram untuk memenangkan ideologi masing-masing, bukannya dengan mengangkat senjata? Tidak sedarkah pemfitnah-pemfitnah sekalian, bahawa semua rangkaian militan ini, menolak untuk terlibat di dalam proses demokrasi?
Dato’ Seri Shahidan Kassim sendiri merupakan bekas Menteri Besar, dan banyak terlibat di dalam pertubuhan sukan dan NGO.
Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah dituduh menjadi orang ketiga rangkaian al-Qaedah. Tuduhan itu dibuat selepas penangkapan seorang yang dituduh menjadi dalang peristiwa 7/7 di London pada tahun 2005 bernama Omar Khyam. Abdul Hadi Awang dikatakan menjadi orang ketiga al-Qaeda dan sedang berada di pusat tahanan Guantanamo Bay. Berita itu, walaupun sebenarnya merupakan kesilapan wartawan suratkhabar Daily Mirror di United Kingdom, telah menyebabkan Abdul Hadi Awang dikaji secara teliti oleh barisan peguam British non-Muslim. Mereka mendapati Abdul Hadi Awang sebagai insan yang penuh berintegriti, menolak keganasan dan berperibadi mulia. Kesannya, beliau menang kes saman dengan mudah di Mahkamah British. Daily Mirror memohon maaf atas kesilapan tersebut, dan mengakui akan integriti Abdul Hadi Awang.

Dr Juanda dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula sekiranya diukur dengan penulisan serta ceramah mereka, dengan mudah kita akan dapati bahawa mereka berdua adalah ahli akademik yang menolak anasir keganasan.
Apa perlu dikaitkan mereka ini dengan sesuatu tuduhan yang kebudak-budakan? Adakah perlu diulang kembali peristiwa fitnah Mufti Johor terhadap “Kaum Muda” dengan menyatakan bahawa merekalah menjadi punca gejala Kristianisasi di Indonesia, kejatuhan Khilafah Uthmaniyah di Turki serta mengapa ramai yang menyokong perjuangan komunis.

Moga Allah menyelamatkan diri kita semua daripada terlibat di dalam gejala fitnah. Moga rakan-rakan yang cintakan Islam, bersetuju untuk tidak bersetuju di dalam semua perkara, dan melihat perbezaan pandangan itu dari aspek yang positif dan diharmonikan. Sekiranya anda mendakwa diri anda cintakan Islam, cintakan sunnah Rasulullah, tolonglah jangan bermain dengan strategi sama yang digunapakai oleh pihak musuh Islam seperti Amerika dan Zionist, dengan sewenang-wenangnya menuduh rakan-rakan seaqidah berlainan mazhab dengan anda sebagai pengganas.