Tiadalah yang paling mengguris emosi saya setiap kali membaca berita di tanah air melainkan paparan bayi dibuang ibu. Percaya atau tidak, hampir setiap hari ada sahaja berita mengenai jenayah binatang buas ini. Bertahun-tahun lamanya saya tinggal di ‘negara bukan Islam’, sekali pun tidak pernah saya terbaca berita seumpama ini. Sebagai seorang bapa yang sedang berjauhan dengan bayi bongsu di benua berlainan, hati saya amat tersentuh. Bagaimana sanggup hati seorang manusia, khususnya wanita, membuang anak yang telah dikandung selama 9 bulan? Apakah sejarah dan kronologi yang menjadikan hati mereka ini terlalu keras dan tidak berperikemanusiaan? Benarlah seperti yang dikatakan, di dalam alam haiwan, tiada manusia. Tetapi di dalam alam manusia, banyak haiwan!

Saya tidak pernah bergaul dengan ibu bapa yang sanggup membuang anak, justeru apa yang saya nukilkan barangkali kurang tepat. Akan tetapi saya percaya terdapat dua faktor mengapa mereka sanggup membuang anak mereka sendiri. Pertamanya, kerana anak tersebut dilahirkan tanpa perkahwinan yang sah, justeru untuk mengelak malu, dibuanglah anak yang tidak berdosa tersebut. Keduanya, mungkin tidak banyak, akan tetapi mungkin kerana faktor kemiskinan si suami dan isteri, dan tidak sanggup menjaga si anak, lalu dibuanglah makhluk kecil yang tidak berdosa tersebut.

Anak-anak kecil adalah insan yang amat istimewa di dalam hidup ini. Walau bagaimana cara jua pun mereka itu dilahirkan, sama ada daripada hubungan yang halal atau haram, anak-anak tersebut adalah sentiasa suci, halal dan murni. Istilah ‘anak haram’ di kalangan masyarakat Malaysia adalah suatu budaya negatif yang perlu ditukar sama sekali. Di dalam Islam, berbeza dengan agama lain, semua manusia dilahirkan di dalam keadaan fitrah dan suci. Walaupun ibu dan ayah mereka bukan beragama Islam, sekiranya mereka mati, mereka dijamin masuk syurga. Seorang dewasa yang kelihatan wara’ sekali pun tidak mendapat jaminan seumpama ini, semuanya bergantung kepada saat pemergiaan dan juga rahmat Allah ke atasnya.

Kesuciaan seorang anak menggambarkan kemuliaan generasi pelapis ini. Bayi dengan kesuciaannya, tidak pernah ternoda dengan dosa. Sekiranya anak-anak kecil kita sudah pandai berdoa, maka aminkanlah doa mereka. Atau sekiranya kita membaca doa, galakkan mereka mengaminkan doa kita. Amin itu bermaksud Allahumastajib (اللهم استجب), Ya Allah perkenankan. Masakan mungkin tertolak doa daripada anak-anak kecil yang masih suci ini.

Anak-anak kita juga merupakan pelaburan yang terjamin pulangannya. Sekiranya kita mati kelak, semua amalan akan terputus melainkan tiga perkara. Salah satunya ialah doa daripada anak yang soleh. Tidak kiralah status anak tersebut, sekiranya dia mendoakan ibu dan ayahnya selepas kematian mereka, doa tersebut dianggap sebagai amalan yang akan mengalir terus di dalam kubur mereka sehinggalah ke hari pertimbangan kelak. Ini ialah janji Allah, yang mustahil dimungkiri. Justeru mengapa perlu dibuang anak-anak yang tidak berdosa tersebut. Sekiranya malu dengan hubungan luar nikah, atau pun terlalu miskin untuk membesarkan anak, janganlah dibuang, tetapi serahkanlah kepada sanak saudara, taulan atau NGO seperti OrphanCare yang boleh membesarkan mereka. Mana tahu ketika besar nanti, ketika kita sudah pergi, doa merekalah yang akan menjadi penerus amalan baik kita kelak.

Yang terbaik, jagalah anak tersebut. Peliharalah mereka. Mereka tidak meminta untuk dilahirkan di dunia. Tetapi bila sudah dilahirkan, mereka mempunyai hak untuk meneruskan kehidupan. Bimbinglah mereka. Semua manusia membuat kesilapan. Sekiranya terlajak, janganlah menambah lagi kesilapan dengan kesilapan yang lain. Bertaubatlah, dan lihatlah anak kelahiran kita tersebut sebagai peluang untuk memperbaiki diri.

Selain itu, masyarakat di sekitar juga perlulah berperanan untuk membantu golongan ini. Berikan perlindungan, bukan tambah seksaan. Taboo ‘anak luar nikah’ adalah produk persepsi negatif masyarakat ke atas pasangan terlajak. Hentikan sikap pesimis kepada mereka. Berikan harapan. Berikan peluang. Semua kita adalah manusia, yang berpotensi melakukan kesilapan. Sedang Allah Maha Pencipta tidak pernah menutup peluang kemaafan, mengapa perlu kita melajak lebih daripada itu. Untuk sanak saudara terdekat yang mempunyai anak-anak pasangan terlajak ini, terimalah mereka di dalam keluarga anda.

Ya Allah, maafkan dosa-dosa kami. Kurniakanlah kesedaran kepada pasangan terlajak supaya berperikemanusiaan dan tidak membuang anak-anak mereka. Andai tiba masanya bala besar diturunkan, maka tangguhkanlah Ya Allah, berikanlah kami peluang memperbaiki diri, dan memperbaiki masyarakat kami. Amin.

Advertisement