Saya harap tulisan ini tidak dilihat sebagai membangga diri. Saya memakai iPhone di UK kerana sistem di UK membolehkan saya mendapatkan telefon tersebut secara percuma dengan mengikat kontrak tertentu. Kebetulan saya memang kerap membuat panggilan keluar, justeru saya layak untuk mendapatkannya secara percuma. Kalau saya di Malaysia, saya rasa saya tidak mampu untuk menggunakannya.

Tujuan saya menulis ialah sebagai perkongsian terhadap kelebihan iPhone berbanding handphone lain dalam konteks sebagai pengguna Muslim. Dalam masa yang sama, bagi pengguna iPhone Muslim, harapnya entri ini dapat memberikan idea, dan menghasilkan perkongsian serta perbincangan, tentang bagaimana kita boleh memaksimumkan penggunaan iPhone. Jika ditanya saya mengapa saya memakai iPhone, maka jawapannya ialah:

1. Saya boleh mendapatkannya percuma dengan pakej kontrak panggilan tertentu.

2. iPhone adalah smart phone terbaik pada pandangan saya. Apabila saya menyebut smart phone, ini bermaksud saya memang menggunakan secara maksimum kelebihan yang ada di dalam iPhone. Kalau anda hanya menggunakan telefon hanya untuk membuat panggilan, saya rasa tidak perlulah membazir memakai smart phone. Urusan email, menonton video, sembang maya, diari dan seumpamanya yang biasanya dilakukan dengan menggunakan komputer, boleh dilakukan dengan pantas menggunakan iPhone. Masa saya di hadapan komputer berkurangan secara drastik selepas menggunakan telefon ini. Mengapa saya menyatakan ianya terbaik berbanding smart phone yang lain, antaranya ialah kerana kestabilan sistem iPhone, sistem operasinya yang begitu simplistik, kelajuan memproses grafik, selain Apple selalu mengemas kini sistem operasi berdasarkan feedback pengguna mereka.

3. Saya juga hampir menggunakan blackberry. Akan tetapi, oleh kerana saya kerap menggunakan huruf Arab, maka saya memilih iPhone berbanding blackberry. Keyboard blackberry adalah tetap dengan huruf ruminya. Sekiranya ingin mendapat keyboard dwi-bahasa, maka saya perlu membelinya barangkali di negara Arab. Sedangkan iPhone, penggunanya bebas untuk memilih keyboard dengan bahasa masing-masing, terutamanya selepas Apple melancarkan OS 3.0 tahun lepas.

4. OS 3.0 membolehkan pengguna iPhone membaca tulisan Arab. Maka, mudahlah saya membaca laman web berbahasa Arab untuk rujukan dan bacaan saya.

5. Aplikasi untuk Muslim juga amat banyak, sama ada yang berbayar atau percuma. Taip sahaja islam atau arab di dalam iTunes atau AppStore, maka akan disenaraikan aplikasi yang amat bermanfaat untuk Muslim. Antara yang amat memanfaatkan saya ialah:

a. iQuran. Ianya boleh didapati sama ada dalam versi percuma atau pro berbayar. Antara keistimewaan aplikasi ini ialah ianya meliputi bacaan al-Quran dari qari terkemuka, selain menawarkan terjemahan penuh al-Quran pelbagai bahasa sekiranya anda memilih versi pro.Yang lebih menarik lagi ialah kita boleh membuat carian (search) mana-mana ayat al-Quran yang kita inginkan. Dengan erti kata lain, sebagai contoh, kita boleh tahu berapa banyak kalimah al-Rahman di dalam al-Quran, serta lokasi ayat dan surahnya. Sebelum ini proses carian kalimah atau ayat ini agak memakan masa dengan menggunakan mu’jam. Tetapi dengan aplikasi ini, cariannya pantas sekali.

b. Quran Reader dan Al-Mus’haf. Quran Reader ialah aplikasi berbayar, sementara al-Mus’haf pula aplikasi percuma. Kedua-dua aplikasi ini membolehkan kita membaca al-Quran sama seperti tulisan rasm Uthmani. Amat bermanfaat kepada mereka yang suka menghafal al-Quran dengan pemetaan hafalan minda mereka merujuk kepada mashaf Uthamni tersebut. Dalam masa yang sama, kita boleh membaca al-Quran di mana-mana sahaja, sama ada ketika sedang menidurkan anak, atau ketika di atas katil sebelum beradu.

c. Guidance. Aplikasi berbayar ini membolehkan pengguna Muslim mengetahui waktu solat di tempat kita berada menerusi GPS. Setiap kali waktu solat, azan akan berkumandang. Sekurang-kurangnya bagi saya dan keluarga yang tinggal di UK ini, tidaklah kesunyian mendengar azan. Anak-anak yang lahir sini pun dibiasakan dengan mendengar azan. Selain itu, kita juga boleh mengetahui arah kiblat. Bagi iPhone 3g, aplikasi ini akan menggunakan peta Google dan GPS untuk menunjuk arah kiblat berdasarkan imej peta tersebut. Bagi iPhone 3gs, aplikasi ini menawarkan arah kiblat menerusi kompas yang ada di dalam telefon tersebut.

d. Islamic Lib. Aplikasi percuma inilah yang kerap saya gunakan sekarang untuk rujukan. Banyak e-kitab rujukan sama ada berbahasa Arab, Melayu atau Inggeris boleh dimuat turun percuma di dalam aplikasi ini, justeru boleh dicapai secara offline. Antara kitab yang ada ialah termasuklah kitab tafsir muktabar, kitab hadith termasuklah Fathul Bari (lengkap), kitab feqh, isu semasa dan lain-lain. Saya telah membuat perbandingan beberapa e-kitab dengan kitab sebenar, setakat ini tiada perbezaan. Cuma bagi pengguna Muslim Sunni, perlu berhati-hati dalam menerima sumber kerana banyak juga kitab Syi’ah di dalam aplikasi ini.

e. حصن المسلم atau terjemahannya perisai Muslim. Di dalam aplikasi percuma ini, terkandung ratusan doa dan zikir ma’thur. Kekurangannya ialah semua paparannya di dalam Bahasa Arab, dan doanya tanpa baris. Justeru mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada pengguna Muslim yang tidak mengetahui Bahasa Arab.

6. Perkhidmatan selepas jualan Apple, tiada tandingannya. Alhamdulillah di Aberdeen, ada cawangan Apple. Saya sengaja mencuba nasib untuk mengadu satu masalah yang banyak melanda iPhone, iaitu yellow tint screen. Apabila saya pergi ke Apple, terkejut saya melihat pelanggan yang ramai. Pekerja mereka juga ramai. Untuk membuat aduan, kena buat temujanji. Macam jumpa doktor pula. Saya dapat temujanji pada keesokan harinya. Amat berbaloi, kerana dengan menyatakan yang saya kurang berpuas hati dengan yellow tint screen iPhone saya, mereka menukarkannya secara percuma sahaja, tanpa banyak soal. Alhamdulillah dapat handset yang baru.

Cuma saya tidak nafikan, ada juga kekurangan iPhone. Antaranya:

1. OS mereka tidak membenarkan multi-tasking. Bagi yang kerap multi-tasking, mungkin akan menimbulkan masalah kepada mereka. Palm-Pre adalah smart phone terbaik pada pandangan saya untuk multi-tasking. Amat laju. Saya juga tahu yang multi-tasking iPhone boleh dibuat dengan menggunakan software jailbreak tertentu. Jadi masalah ini boleh diatasi. Selain itu, ada juga khabar angin yang menyatakan OS 4.0 akan datang akan membenarkan iPhone melakukan multi-tasking.

2. Semua aplikasi perlu dimuat turun menerusi iTunes. Ini bermakna Apple memang mengawal iPhone dengan cara mereka sendiri. Ribuan aplikasi juga bermaksud Apple mendapat keuntungan mudah. Masalah ini boleh diatasi dengan jailbreak. Cuma kena berhati-hati, jailbreak akan membatalkan waranti iPhone dan juga AppleCare extended warranty. Jailbreak juga menyebabkan kita akan memuat turut aplikasi berbayar secara percuma. Atau dengan erti kata lain, mencuri la kan? Saya rasa dah bertahun-tahun membesar dengan software pirate dalam komputer kita. Kalau tidak kekufuran Bill Gates (setakat ini), mungkin beliau orang paling kaya di mahkamah akhirat kelak kerana banyak orang curi produk dia.  Apa kata untuk iPhone, kita hidup dengan cara bersih? 😉

3. Ada satu artikel yang saya baca, menyatakan salah satu komponen cip kecil dalam iPhone, kilangnya terletak di Israel. Tetapi saya hilang artikel tersebut dan tidak dapat mencarinya semula. Justeru tidak dapat dipastikan adakah kilang itu menyokong Zionis atau tidak.

Harapnya, pengguna iPhone Muslim dapat memanfaatkan telefon canggih mereka ini untuk kebaikan. Tidak sabar rasanya pengumuman iPhone 4g baru, dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.

Advertisement