Kami sekeluarga telah tinggal di teratak buruk 80GMC Tillydrone hampir selama 3 tahun. Tiada keluarga Melayu yang tinggal berhampiran rumah kami. Majoritinya adalah penduduk tempatan. Ada juga beberapa penduduk berketurunan Afrika dan juga pendatang Eropah Timur, terutamanya dari Poland. Kejiranan Tillydrone agak sinonim dengan kawasan yang bermasalah. Kebanyakan rumah di sini disewakan kepada penduduk tempatan yang kurang berpendapatan, justeru kadar jenayahnya agak tinggi juga. Daripada serbuan ke rumah pengedar dadah, sehinggalah ke cubaan membunuh diri, semuanya telah kami saksikan di depan mata. Cuma alhamdulillah jiran terdekat kami baik-baik belaka.

Di flat kecil inilah kami membesarkan anak-anak. Bermula dengan seorang anak, sehinggalah insyaAllah yang keempat beberapa bulan lagi. Anak-anak kami membesar dalam suasana tiada halaman rumah. Flat kami pula letaknya di tingkat empat, tanpa lif. Setiap hari, senaman kami ialah dengan turun naik tangga. Kasihan kepada isteri, turun naik tangga ketika sarat mengandung. Kadang-kadang sambil mendukung anak ketiga.

Di UK, dinding rumah dibuat daripada chip board, sementara lantainya pula dibuat daripada kayu. Justeru, tidak kedap bunyi. Saya boleh mendengar apa yang jiran di bawah rumah saya perbualkan. Begitu juga sebaliknya.

Mula-mula pindah ke sini, risau juga kami, kerana memikirkan anak-anak yang agak rapat umur mereka berbuat bising, menjerit bermain serta melompat riang. Cuma kami agak lega, kerana jiran di bawah rumah kami pernah menampal satu notis di depan pintu rumahnya yang berbunyi,

“Dear postman, please knock and buzz couple of time loudly. I’m always home, with hearing difficulty.” 😉

Notis itu membuat kami lega. Justeru tidaklah risau sangat kalau berbuat bising dalam rumah. Sama ada ketika anak bermain, atau ketika tetamu datang, atau pun ketika majlis ilmu dan usrah serta membaca al-Quran beramai-ramai.

Cuma pada hari Ahad lepas, ketika anak-anak saya tengah naik syeh bermain, melompat dan berlari, tiba-tiba pintu rumah saya diketuk. Jiran bawah rumah saya rupanya. Perempuan dewasa yang tinggal dengan seorang lagi rakan sebaya dan juga seekor anjing.

Dia menegur kami kerana membuat bising. Nasib kami baik, kerana kami tidak dimarahinya. Jiran kami itu menegur dengan amat baik dan lembut sekali. Dia kata, bertahun-tahun lamanya dia sudah rasa ok mendengar bising dari rumah saya, kerana faham itu adalah kerenah anak-anak saya. Beliau juga mengaku kadang-kadang membuat bising, membuka radio dan televisyen sekuat-kuatnya, serta kerap juga anjingnya yang ditinggalkan menyalak semalaman. Akan tetapi kebetulan pada hari itu, agaknya bergegar siling rumah beliau dikerjakan oleh anak-anak saya, sehingga beliau yang mempunyai masalah pendengaran pun rasa terganggu.

Saya sekadar meminta maaf, dan meminta anak-anak saya diam. Sekurang-kurangnya, pada hari tersebut. Dan harapnya, anak-anak saya dapat mengawal diri ketika bermain.

Dan nampaknya, selepas ini tetamu-tetamu yang hadir ke rumah saya, dapatlah mengawal suara terutamanya ketika menaiki tangga hendaknya 🙂

Marilah membenarkan sabda nabi Muhammad yang sedia benar, seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lainnya yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hormatilah jirannya.”

Bila kena tegur baik-baik begini pasal buat bising, serta kesian kepada anak-anak yang kebanyakan masa mereka di dalam bangunan sahaja, rasa teringin sangat nak pulang. InsyaAllah, diperkenankan jua akhirnya nanti.

Advertisement