Qurban Sebahagian Petunjuk Keislaman & Tawaran Qurban di Palestin.

korban1Beberapa hari lagi, umat Islam akan meraikan Aidul Adha. Terdapat beberapa perkara yang sinonim dengan sambutan ini. Antaranya ialah musim haji bagi umat Islam, selain ianya juga merupakan masa yang dituntut untuk menunaikan ibadah qurban.

Galakan berkorban disebut di dalam surah al-Kauthar ayat 2:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maka tunaikan solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah qurban.

Imam Abu Hanifah berpandangan yang ibadah qurban  adalah wajib bagi sesiapa yang mampu. Kewajiban berkorban menurut mazhab Hanafi adalah berlandaskan kepada sepotong hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Abu Hurairah:

من كان له سعة ولم يضح فلا يقربن مصلانا

Barangsiapa yang mempunyai kesenangan/kemampuan tetapi tidak menunaikan ibadah qurban, maka janganlah hampiri tempat solat kami.

Pun demikian, jumhur ulamak menyatakan yang ibadah qurban itu hukumnya sunat muakkad sahaja, berdasarkan sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Rasulullah menjawab ketika ditanya mengenai hukum berkorban:

سنة أبيكم إبراهيم

Ianya merupakan sunnah ayahanda kamu nabi Ibrahim.

Di dalam bahasa Arab, ibadah qurban tidak disebut dengan menggunakan perkataan ‘qurban’, akan tetapi ianya lebih dikenali sebagai al-Udhiyyah (الأضحية). Al-Udhiyyah secara literal bermaksud pengorbanan. Agak ironi di dalam masyarakat Melayu menamakan ibadah al-Udhiyyah ini dengan nama qurban, kerana antara hikmah besar ibadah ini ialah untuk mentaqarrubkan diri kita kepada Allah. Qurban sendiri adalah daripada bahasa Arab, daripada perkataan taqarrub yang membawa maksud mendekatkan. Ertinya, seseorang yang menunaikan ibadah qurban akan menghampirkan dirinya kepada Allah SWT. Indah sekali, Bahasa Melayu menghimpunkan makna perkataan korban itu dengan falsafah taqarrub dan pengorbanan.

Ibadah qurban bukanlah syariat yang baru di zaman nabi Muhammad SAW, sebaliknya ia adalah ibadah yang telah lama diperkenalkan sejak zaman nabi Adam sendiri, ketika peristiwa konflik antara Habil dan Qabil. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 34:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الأنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ

Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan Ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak Yang disembelih itu. kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.

Ibadah korban juga dicatatkan di dalam sejarah nabi Ibrahim dan nabi Ismail seperti di dalam surah al-Saffat ayat 102-107:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami),

وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ

Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!

قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاءُ الْمُبِينُ

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar

Kedua-dua petikan ayat Allah di atas menceritakan bagaimana ibadah qurban itu, seperti juga ibadah-ibadah penting lain, adalah ibadah warisan para nabi terdahulu. Agak menarik untuk diambil pengajaran di sini, iaitulah kedua-dua bentuk udhiyyah dalam ayat di atas, diiringi hikmahnya dengan menggunakan perkataan aslamaa/aslimu yang daripada perkataan inilah lahirnya perkataan Islam. Dengan erti kata lain, ibadah udhiyyah itu adalah lambang pengorbanan, dan juga sebahagian petunjuk keislaman kita.

Kesan daripada pengorbanan nabi Ibrahim dan nabi Ismail itu ialah lahirnya daripada keturunan mereka itu Muhammad nabi akhir zaman. Nabi Muhammad sendiri mempunyai sejarah yang sinonim dengan ibadah udhiyyah ini. Ayah baginda, Abdullah adalah mempunyai kisah yang yang hampir sinonim dengan nabi Ismail, apabila dipilih untuk dikorbankan sebagai nazar Abdul Mutallib. Dengan sebab itulah nabi Muhammad digelar sebagai Ibn Zabihain (anak dua orang yang dikorbankan).

Justeru perlu difahami bahawa Islam yang kita warisi hari ini adalah hasil daripada ibadah ‘udhiyyah sebagai simbolik kepada kerelaan untuk berkorban dan petunjukkan keIslaman yang tinggi. Maka tidak hairanlah umat Islam digalakkan untuk melaksanakannya setiap kali masuknya musim haji, selepas solat sunat Aidul Adha sehinggalah ke hari tasyriq (sebahagian ulamak menyatakan sehingga hari ke-12 Zulhijjah sahaja). Adalah penting kepada kita, khususnya generasi muda yang mampu, untuk membiasakan diri kita dengan ibadah qurban ini.

Bagi mereka yang baru memilih untuk melaksanakan ibadah ini, sebahagiannya mungkin tertanya-tanya bagaimanakah dengan menyembelih haiwan ternakan itu boleh mendekatkan kita dengan Allah? Persoalan ini boleh diringkaskan jawapannya seperti berikut:

1. Ibadah qurban adalah paparan semula kisah pengorbanan yang dilakukan oleh nabi-nabi terdahulu. Mengikuti amalan nabi adalah satu tindakan yang membawa hampirnya kita kepada Allah SWT.

2. Ketika menyembelih, kita akan menyebut Bismillah, Allahu Akbar. Di sini perlu kita faham mengapa perlu dilafazkan zikir tersebut. Seperti yang disebut oleh Syeikh Sha’rawi, dengan menyebut zikir tersebut ketika menyembelih, kita mengiktiraf yang ritual tersebut dilakukan kerana penyerahan kita kepada Allah SWT. Menyebut Allahu Akbar juga membawa falsafah bahawa kita mengiktiraf Allah itulah yang Maha Besar menentukan ajal setiap yang bernyawa.

3. Ibadah qurban kebiasaannya memerlukan gotong-royong di kalangan masyarakat Islam. Dengan bergotong-royong, ukhwah sesama Muslim akan terjalin dan jalinan ukhuwah adalah sebahagian petunjuk kita mendapat rahmat Allah SWT.

4. Daging qurban diagih tiga. Seperti kepada keluarga yang berkorban, sepertiga kepada jiran yang hampir manakala sepertiga lagi kepada golongan fakir. Dengan agihan seumpama ini, kita telah membuat kebajikan yang dianjurkan Allah dengan menggembirakan orang yang susah, sehingga mereka boleh merasa nikmatnya rezeki Allah seperti yang biasa kita rasa.

5. Menunaikan ibadah qurban memerlukan kita mengeluarkan sedikit wang. Di Aberdeen sebagai contohnya, masjid tempatan meletakkan harga antara £40 sehingga £60 untuk satu bahagian, bergantung kepada di negara mana ibadah itu ingin kita lakukan. Jumlah itu bukannya sedikit, justeru pengorbanan mengeluarkan wang sebanyak itu adalah merupakan pengorbanan yang mendekat diri kita kepada Allah SWT.

Gambar sindiran hiasan semata-mata
Gambar sindiran hiasan semata-mata

6. Bagi yang biasa melihat kerenah haiwan sembelihan ketika berkorban, anda akan dapati yang sebahagian haiwan dilihat menangis sejurus sebelum disembelih. Ini amat jelas dapat dilihat terutamanya unta. Kerenah ini seolah-olah menyindir manusia yang hidup, sedangkan haiwan yang tidak berakal pun sanggup tunduk patuh dan berkorban dengan arahan Tuhan, apatah lagi manusia yang merupakan sebaik-baik kejadian.

Justeru, kepada Muslim yang mampu, marilah kita menunaikan ibadah qurban pada tahun ini. Di dalam kesempatan ini, saya juga mengambil kesempatan untuk menawarkan peluang menunaikan ibadah qurban di Palestin dengan harga £60 (RM340+-). Tawaran ini  terbuka kepada semua Muslim di mana jua anda berada. Perlu diingatkan bahawa ibadah korban adalah ibadah individu, justeru satu bahagian qurban tidak boleh dikongsi dengan rakan yang lain. Bagi yang berminat, anda boleh hubungi saya untuk maklumat lanjut sebelum 25 November 2009.

Berfirman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

Advertisements

5 thoughts on “Qurban Sebahagian Petunjuk Keislaman & Tawaran Qurban di Palestin.

  1. assalamualaikum…abg irfan artikel menarik dengan pesta ibadah yang sedang menghampiri…

    pohon untuk berkongsi apa yang dimiliki…
    agar kelak hidup dapat berbakti…..
    pohon maaf kalau tak mengenali…
    sampai jumpa lagi…..

    rujuk….ayat 34 surah al Hajjj…display ayat 67….saya cari tak ketemui (cari tak jumpa daa….)

    assalamualaikum

    1. salam shukri.
      thanks for the correction. tersilap tulis nombor ayat 🙂 maklum lah dah kurang tengok hard copy, selalu guna soft copy sahaja, hence confusion.

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s