poundPelik barangkali tajuk entri kali ini. Akan tetapi itulah sebenarnya realiti yang berlaku di dalam kehidupan kita. Menyimpan, tetapi membazir.

Islam mengajar kita supaya berjimat cermat. Gunakan apa yang perlu, walaupun ianya mudah diperolehi. Sehinggakan dalam bab berwudu’ sekalipun, nabi Muhammad SAW melarang sahabatnya daripada membazir, seperti di dalam sepotong hadith hasan (mengikut al-Albani) seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibn Majah:

عن عبدالله بن عمرو بن العاص أن النبي صلى الله عليه وسلم مر بسعد وهو يتوضأ فقال ما هذا السرف يا سعد قال أفي الوضوء سرف قال نعم وإن كنت على نهر جار

Dan daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As sesungguhnya Rasulullah lalu berhampiran Sa’ad ketika beliau sedang berwudu’, lalu baginda bertanya, “Apakah (mengapakah berlaku) pembaziran ini wahai Sa’ad?” Sa’ad menjawab, “adakah di dalam wudu’ ada pembaziran?” Nabi bersabda, “Ya, walaupun berwudu’ di dalam sungai yang mengalir.”

Dalam sepotong hadith lain yang telah disahihkan oleh Ibn Khuzaimah:

وعن عبد الله بن زيد قال : (إن النبي صلى الله عليه وسلم أتي بثلثي مد فجعل يدلك ذراعيه) أخرجه أحمد

Dan daripada Abdullah bin Zaid, katanya, Nabi SAW mengambil dua pertiga mud (sukatan) air, lalu menghulurkan tangannya (untuk mengambil wudu’) – Riwayat Imam Ahmad.

Wudu’ adalah pra-syarat sah solat. Ramai Muslim yang bersungguh-sungguh mengejar kesempurnaan wudu’, lalu kadang-kadang berlebihan di dalam melaksanakannya. Apatah lagi di zaman serba moden ini, bekalan air mudah didapati di kebanyakan tempat, walaupun kawasan itu asalnya kering kontang. Pun demikian, Islam tetap menyatakan bahawa di dalam wudu’, ada ruang pembaziran, walaupun air wudu’ itu mudah diperolehi secara percuma di mana-mana.

Bagi sesetengah rakyat Malaysia yang pernah berada di negara barat dan Arab, ramai yang sering mengata penduduk tempatan jarang mandi. Semasa saya di Mesir, orang tempatan dikatakan hanya mandi seminggu sekali, terutamanya pada musim sejuk. Begitu juga di negara barat, jarang yang mandi setiap hari. Bernard Lewis pernah menyatakan bahawa antara sumbangan kerajaan Othmaniyyah ke atas barat ialah galakan mandi setiap hari, dengan memperkenalkan sistem bilik air yang teratur. Persoalannya, wajarnya kita terus mengata mereka, sedangkan mungkin amalan mereka itu adalah amalan yang paling menepati sunnah?

Ini bukan seruan kepada anda untuk mandi seminggu sekali. Ini merupakan seruan supaya kita berjimat cermat dalam semua konteks kehidupan.

Sebagai contoh, di UK, masyarakat British amat saya sanjungi dengan sikap berjimat cermat. Seorang rakan saya, penduduk tempatan yang telah berumur 50-an menceritakan yang orang British memang agak konservatif termasuklah di dalam hal membeli barang. Semasa dicipta pelbagai peralatan rumah moden, terutamanya dapur memasak sekitar tahun 70-an, masih ramai lagi yang tidak mahu menukar dapur lama zaman perang mereka. Mereka akan menggunakan dapur itu selagi boleh digunakan. Cermat dan berjimat.

Sekiranya mereka terdetik hati untuk ‘menaiktaraf’ barangan baru sekalipun, barangan lama itu mereka tidak akan simpan dalam stor, sebaliknya dijual dengan harga yang amat murah atau diberikan secara percuma kepada sesiapa yang memerlukan. Kerana itulah pertubuhan kebajikan dan komuniti freecycle boleh berkembang di sini. Saya masih ingat semasa masuk ke unfurnished flat saya sekarang ini, kebanyakan perabot dan kelengkapan rumah kami perolehi secara percuma pemberian rakan penduduk tempatan dan juga pertubuhan kebajikan. Beberapa barangan seperti mesin basuh, dapur dan peti sejuk kami beli secara terus daripada penduduk tempatan yang menjual barangan terpakai mereka. Saya membeli peti sejuk besar yang masih dalam kondisi yang amat baik dengan harga £10 sahaja. Hanya karpet sahaja barangan baru yang kami beli semasa awal memasuki rumah.

Mari berjimat dengan 3R
Mari berjimat dengan 3R

Sekiranya dibandingkan dengan sikap orang Melayu, terutamanya diri saya, kita masih cenderung untuk menyimpan barang-barang lama di dalam stor. Saya kurang pasti apakah jenis sikap sebegini, adakah berjimat atau kedekut? Yang pasti, saya kurang setuju kalau sikap ini dinamakan berjimat. Inilah contohnya menyimpan, tetapi membazir. Membazir kerana kita menyimpan barang yang kemudiannya tidak digunakan langsung.

Tidak kurang bagi mereka yang baru datang ke UK, akan jadi rambang mata dengan sikap penduduk tempatan yang suka memberi barangan terpakai percuma atau menjual dengan harga murah. Pantang ada tawaran barangan percuma maka ramailah yang berebut-rebut untuk memilikinya, walaupun tiada keperluan untuk kita mendapatkannya. Walaupun percuma, tapi ambillah apa yang perlu sahaja. Sekiranya anda tidak menggunakannya lagi, mari kita kitar semula penggunaannya. Jangan menyimpan dan membazir.

car-boot-sale
Budaya car boot sale di UK; antara bukti mereka tidak suka membazir

Sikap sebegini sekaligus akan mengurangkan carbon print kita yang boleh mencemarkan alam. Selain tidak membazir, kita juga akan mendapat pahala menjaga hubungan dengan alam.

Moga dengan kejayaan mengawal sikap menyimpan tetapi membazir ini, kita akan dapat mengelak diri daripada menjadi rakan syaitan. Ingatlah firman Allah:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya (Al-Isra’:27).

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini melaporkan yang Imam al-Shafi’e berkata membazir itu ialah menggunakan harta pada bukan haknya, sementara Imam Malik pula berkata membazir itu ialah mendapatkan harta dari tempat yang sepatutnya, tetapi menguruskannya pada tempat yang bukan sepatutnya.

Muhasabahlah diri kita, sejauh mana kita menguruskan nikmat yang Allah berikan itu itu pada tempat yang sepatutnya.

Advertisement