Tahun ini adalah agak mencabar bagi keluarga kami. Terutamanya isteri saya yang sedang dalam peringkat terakhir pengajian doktor falsafahnya, serta cabaran pertambahan ahli keluarga baru yang agak rapat tanpa sebarang pembantu dari Malaysia benar-benar menguji kesabaran kami sepanjang di perantauan. Belum dikira dengan kesibukan memenuhi tanggungjawab dakwah dan komuniti tempatan, serta penangan serangan flu sepanjang 3 minggu lepas, kami jarang membuat perancangan yang bersungguh-sungguh untuk melancong. Kalau ada pun setakat ini ialah ketika isteri saya hadir ke mana-mana seminar di seluruh UK.
Kami memang amat bercita-cita untuk mengambil cuti ke Fort William dan Isle of Skye. Sebelum puasa lagi kami sudah berkira-kira untuk melancong ke salah satu tempat tumpuan pelancong di Scotland ini. Akan tetapi dengan kesibukan demi kesibukan melunaskan tanggungjawab masing-masing, serta setelah masing-masih ahli keluarga kami diuji dengan flu, perancangan itu tidak pernah kami laksanakan secara serius. Hinggalah pada hari Selasa lepas, setelah kami dapati yang semua kami terutamanya anak-anak agak sihat untuk berjalan jauh, kami membuat keputusan untuk pergi juga ke sana. Setelah saya dapati ada kekosongan di Hotel Premier Inn di Fort William, saya pun membuat tempahan dan terus membuat persiapan untuk bertolak pada keesokan harinya. Semua persiapan dibuat pada minit-minit terakhir.
Mengapa Fort William?
Kami memilih untuk pergi ke Fort William kerana lokasinya yang agak strategik. Dalam radius perjalanan satu jam setengah, anda boleh pergi ke tempat lain di sekitar West Scottish Highland seperti Mallaig, Oban, Aviemore, Inverness-shire, puluhan Loch, pergunungan, hutan simpan dan juga Isle of Skye. Fort William itu sendiri dipenuhi dengan daya tarikan pelancongan yang menarik, terutamanya bagi mereka yang suka aktiviti ‘berjalan kaki’, mendaki gunung atau sekadar menikmati keindahan alam semulajadi. Puncak tertinggi UK letaknya di Ben Nevis di Fort William. Dengan sebab itulah anda akan dapati pelancong di sekitar Fort William memakai suit berjalan kaki atau mendaki gunung, kerana itulah tujuan utama melancong ke Fort William. Tiada kemodenan dan pembangunan yang melampau, melainkan alam semulajadi yang indah. Dan pada pertengahan Oktoberlah waktu yang sesuai untuk menikmati tema musim luruh di sekitar Fort William yang benar-benar mengasyikkan pandangan.
Hari Pertama
Setelah menyediakan makanan untuk hari pertama perjalanan, dengan lafaz basmalah kami pun memulakan perjalanan ke Fort William. Cuaca agak mendung seperti yang diramalkan, cuma syukur tidaklah sejuk sangat. Sepanjang perjalanan, kami sudah mula menikmati pemandangan musim luruh dengan warna keperangan bersulamkan saki baki kehijauan pokok di sepanjang perjalanan. Kami memilih untuk melalui A96 dan sengaja mengambil jalan pintas ke A95 melalui jalan singkat di Huntly, tetapi jalan singkat ini agak sempit. Justeru, saya tidak begitu mencadangkan perjalanan ke barat Scotland melalui jalan singkat di Huntly ini. Menjelang tengahari, kami sampai di Aberlour dan singgah ke Walkers Scottish Shortbread Factory. Memang sudah lama saya ingin melawat ke kilang Walkers, sekurang-kurangnya untuk membeli biskut premium terkenal di Scotland yang dipanggil shortbread ini. Biasanya di universiti, shortbread Walkers dijamu hanya untuk tetamu istimewa universiti sahaja, dan biasanya saya akan mendapat saki-baki biskut ini selepas mesyuarat orang-orang kanan universiti. Memang sedap. Alhamdulillah sampai juga kami ke kilang Walkers ini. Mereka tidak menyediakan khidmat melancong di dalam kilang, sebaliknya hanya menyediakan kedai untuk pengunjung sahaja. Harga yang disediakan juga agak murah berbanding harga pasaran.

Perjalanan kami diteruskan dengan menyusuri A9. Jalan di sini agak selesa, sehinggalah sampai ke A86 apabila jalan menjadi sedikit sempit. Pun demikian, pemandangan musim luruh di kiri kanan jalan menyegarkan pandangan. Anda akan dapat melihat kawasan hutan dan gunung yang bersulam dengan warna kuning, perang dan hijau. Ditambah lagi dengan kabus di sekitar tasik (loch), ianya melengkapkan lagi pakej keindahan ciptaan Tuhan di musim luruh ini.

Kami sampai di Fort William sekitar jam 2 petang. Hotel Premier Inn terletak betul-betul di Retail Park utama di Fort William. Bersebelahan dengan hotel berkenaan, ialah pasaraya Morisson dan Lidl. Selain itu, ada juga leisure park bagi membolehkan anak-anak kecil bermain di Children Activity Centre dengan bayaran yang amat murah. Kawasan perumahan berhampiran juga menyediakan taman permainan untuk kanak-kanak. Berjalan dengan anak-anak kecil memerlukan kita merancang untuk menghiburkan hati anak-anak dengan aktiviti yang mereka minat, kerana kebanyakan aktiviti semasa kita berjalan mungkin agak membosankan mereka. Dalam 3 minit berkereta, anda akan sampai di town centre. Di situ, anda boleh membeli makanan halal di beberapa kedai takeaway dan fish & chip berhampiran.
Selepas solat, berehat dan makan, kami memulakan perjalanan ke Nevis Range. Nevis Range terletak berhampiran dengan Ben Nevis, iaitu puncak tertinggi di UK. Di situ, ada kereta kabel atau lebih dikenali sebagai gondola. Bayarannya amat berpatutan. Setiap kereta kabel boleh memuatkan sehingga 6 orang dewasa. Perjalanan ke puncak adalah sejauh 650 meter, dan memakan masa lebih kurang 15-20 minit. Di puncak, ada disediakan restoran, kedai cenderahati dan taman permainan kanak-kanak (kurang dijaga). Selain itu, ada juga trek berjalan, sama ada perjalanan yang memakan masa 40 minit atau sekadar 20 minit sahaja. Agak malang bagi kami kerana kabus amat tebal semasa kami sampai di atas, lantas mengehadkan pemandangan. Pun demikian, sepanjang perjalanan naik dan turun kereta kabel, anda akan dapat melihat keindahan landskap di musim luruh. Bagi yang pernah ke sini, anda akan dapat melihat perbezaan pemandangan yang ketara antara musim panas, luruh, bunga dan sejuk. Keindahannya mengingatkan kita kepada Tuhan Maha Pencipta. Subhanallah, hujung bulan hadapan kawasan yang keperang-perangan ini akan diliputi pula oleh salji yang memutih, dan bertukar menjadi pusat ski.

Selepas hampir dua jam kami berada di puncak, kami pun bergerak kembali ke Fort William. Destinasi seterusnya ialah di Glen Nevis. Saya hanya turun di sekitar lembah yang dikelilingi kawasan pergunungan dan aliran sungai ini untuk mengambil gambar kerana anak-anak yang sudah kepenatan. Kemudian kami menuju ke town centre. Pekannya kecil sahaja, dan masih mengekalkan identiti bandar highland. Kami berjalan di kawasan sekitar, dan selepas membawa anak bermain di taman permainan, kami pulang ke hotel penginapan untuk berehat.
Hari Kedua
Setelah sarapan, kami bertolak keluar dari hotel. Destinasi untuk hari ini ialah Isle of Skye. Kami memilih untuk pergi ke sana melalui feri di Mallaig, dan pulang melalui Skye Bridge. Ada beberapa sebab saya memilih route ini. Yang pertamanya ialah untuk keselesaan ketika memandu, kerana kita akan membelakangi cahaya matahari. Keduanya, ialah kerana perjalanan sejauh hampir 200 batu ini akan mengambil masa satu hari meliputi kawasan pergunungan, hutan simpan dan loch yang cantik. Ketiganya, ialah untuk membolehkan anak-anak saya merasa naik feri. Isle of Skye ialah sebahagian daripada gugusan pulau di Barat Scotland. Dianggap sebagai pulau tercantik di UK, ada yang berpandangan Isle of Skye bukan sebagai pulau lagi setelah pembinaan Syke Bridge. Justeru, pergi ke Skye menerusi feri akan membolehkan anda merasai suasana ‘kepulauan’ Isle of Skye.


Untuk ke Mallaig, kami menyusuri A830. Jalan di sini baru sahaja dinaiktaraf pada awal tahun ini, justeru agak selesa. Mengikut penduduk tempatan, sebelum ini jalan A830 agak sempit. Keindahan alam semulajadi di sini tidak adil untuk dinilai dengan penulisan. Bagi saya, inilah perjalanan yang paling indah pemandangannya di Scotland. Dengan sebab itulah salah satu babak penggambaran di dalam filem Harry Porter diambil di sini, iaitu di sebuah jambatan keretapi di Glenfinnan Monument Centre. Bagi peminat Harry Porter, ini merupakan destinasi wajib anda. Akan tetapi perlu diingatkan yang tiada papan tanda menunjukkan destinasi jambatan Harry Porter tersebut. Apa yang anda perlu cari ialah papan tanda Glenfinnan Monument Centre, dan berhentilah di tempat parkir kereta di sebelah kanan jalan. Dari tempat parkir kereta itu, sekiranya cuaca cerah, anda akan dapat melihat jambatan Harry Porter dengan jelas.


Selain jalan A830, untuk ke Mallaig, anda juga boleh menaiki keretapi berkuasa wap The Jacobite. Rel keretapi wap ini berjajaran dengan A830, akan tetapi menurut sahabat saya yang pernah menaiki keretapi ini, anda akan dapat melihat keindahan semulajadi di sepanjang perjalanan daripada perspektif berbeza. Keretapi juga akan berhenti di beberapa tempat untuk membolehkan anda mengambil gambar, termasuklah di jambatan Harry Porter berkenaan. Harganya agak mahal, dan tiada perkhidmatan ditawarkan semasa musim sejuk.
Mallaig pula hanyalah pekan perikanan kecil. Dikatakan fish and chips di sini memang sedap. Saya tidak sempat singah ke kedai makan kerana mengejar feri jam 10:30 pagi. Sebelumnya, ada feri yang bertolak jam 8:30 dan 9:30 pagi. Feri seterusnya ialah jam 12:30 tengahari. Justeru, anda perlu merancang perjalanan sebaiknya dari Fort William untuk tiba sekurang-kurangnya setengah jam sebelum feri bertolak. Untuk ke Isle of Skye, anda perlu menaiki feri ke Armadale, Skye. Tambangnya berpatutan, sekitar £27 untuk dua orang dewasa dan satu kereta. Perjalanan mengambil masa sekitar setengah jam. Kebetulan semasa kami naik feri berkenaan, angin agak kuat, justeru laut sedikit bergelora. Bagi yang tidak tahan, mungkin akan mabuk laut.

Di Armadale, saya terus menyusur kereta ke Portree. Sepanjang perjalanan, sekali lagi kami menjamu mata dengan keindahan alam ciptaan Tuhan. Isle of Skye, sama seperti Scottish Highland, ialah destinasi bagi peminat alam semulajadi sahaja. Inilah tempat untuk merehatkan minda. Jalan di Isle of Skye agak baik. Perkhidmatan bas juga agak kerap sepanjang pemerhatian saya. Setiap pekan kecil di pulau ini dihubungkan dengan baik oleh jalan dan pengangkutan awam yang efisyen. Di sepanjang perjalanan, seperti biasa saya banyak berhenti untuk mengambil gambar. Ada kalanya gambar kelam kerana cuaca mendung dan agak berkabus. Kami hampir pergi ke Dunvegan Castle di hujung Skye, akan tetapi memandangkan masa dan ragam anak yang tidak mengizinkan, kami hanya sekadar sampai ke Portree sahaja. Portree hanyalah pekan kecil. Seperti pekan lain, banyak hotel dan asrama pelancong di sini. Kedai untuk membeli barang seperti Co-op dan Summerfield juga boleh didapati di sepanjang perjalanan. Harga barangan sama seperti di tanah besar. Kalau mahal pun, mungkin harga minyak.

Setelah menghabiskan masa hampir 4 jam di Isle of Skye, kami pun bertolak pulang ke Fort William melalui Skye Bridge. Bergambar di pekan Kyle of Lochalsh adalah satu yang wajib bagi pengunjung Skye, kerana di sinilah letaknya Skye Bridge tersebut. Kami menyusuri A87 sebelum bertemu dengan A82 untuk ke Fort William. Perjalanan kali ini agak menarik kerana cuaca panas dan matahari bersinar terang, justeru membolehkan kami berhenti beberapa kali untuk mengambil gambar di Loch Alsh, Loch Duich, Loch Cluanie, Loch Gary dan juga di kawasan lembah gunung.


Kami sampai di Fort William pada lewat petang. Sempatlah juga membawa Raed dan Hakim untuk bermain di Children Activity Centre. Selepas makan malam, kami pun berehat.
Hari Ketiga
Selepas sarapan dan check out dari hotel, kami pun bertolak. Destinasi kali ini ialah, Aberdeen, balik ke rumah. Dalam kepala kami sudah mula memikirkan pelbagai persiapan untuk sumbangan program Riang Raya @ Rowett (RR@R) anjuan Persatuan Melayu Aberdeen. Pun demikian, kami sekali lagi menyusuri jalan A830 menuju ke Mallaig, tapi tidaklah sampai ke sana. Hanya sampai ke Glenfinnan sahaja untuk mengambil gambar jambatan Harry Porter ketika cuaca yang agak cerah. Selain itu, kami juga singgah ke Linnhe Holidays Caravan Park untuk meninjau lokasi penginapan yang menarik dengan harga yang murah ini. Sebenarnya, mengikut plan asal kami, di sinilah sasaran tempat penginapan kami selama 5 hari. Tetapi oleh kerana kesibukan dan beberapa aral, kami terpaksa tinggal di Premier Inn sahaja. Walaupun lokasinya sekitar 10 minit perjalanan kereta Fort William, tetapi Caravan Park ini memang cantik dan selesa. Ianya terletak betul-betul di tepi Loch Linnhe.

Destinasi seterusnya ialah Carrbridge. Sebenarnya sudah lama kami ingin ke sini, apatah lagi ketika beberapa kali diajak oleh Abang Md Noor dan Kak Nasyitah orang lama Aberdeen yang kini sudah pulang ke tanah air. Di Carrbridge, hanya ada dua tempat menarik. Yang pertama, jambatan lama Carrbridge. Dan yang kedua ialah Taman Tema Landmark. Raed dan Hakim amat suka bermain dengan bumper car di sini, dan saya juga sekali sekala menguji adrenalin saya dengan menyusuri water slide bersama Raed.



Alhamdulillah kami sampai ke Aberdeen menjelang Maghrib. Syukur kepada Allah kerana memudahkan perjalanan kami. Sesungguhnya, amat hebat ciptaan-Mu Ya Allah, dan rasa kerdil diri ini melihat bagaimana Engkau mempasak gunung yang indah, tasik yang tenang, hutan yang menarik, serta cuaca yang nyaman di sepanjang perjalanan kami ini. Kepada sahabat-sahabat, apa lagi, jom jalan Scotland.
Assalamualaikum Irfan,
Terima kasih kerana memperkenal tpt yg indah ini. Insha allah kalau ada kelapangan dan sihat tubuh badan nak juga ke sana.
W’salam. Datang jangan tak datang. Kalau datang musim panas, kena berhati-hati kerana belah barat Scotland ini akan dipenuhi dengan midges, especially di Skye. Katanya lebih ‘seksa’ daripada nyamuk. Siap ada forecast lagi di http://www.midgeforecast.co.uk/2008/
Assalamualaikum,
Subhanallah, memang indah ciptaan Tuhan. Kami sekeluarga dah sampai ke Lake District baru-baru ni. InsyaAllah, jika ada rezeki ingin ke Scotland pula nanti.
Fauzi
Cairo
w’salam. ahlan wa sahlan ke tempat kami di utara scotland.
Salam, ustaz..
Halal tak walkers shortbread tu? B4 dis selalu beli..tp kemudian tuh x beli lagi. coz rasa was2 bila takde tande halal JAKIM..
salam.
halal, tiada langsung kandungan daging haiwan atau haram yang lain 🙂