Hitung undur: 1 hari lagi (sebahagian sudah berpuasa)
Salam taqwa.
RAMADHAN KARIM: PESTA IBADAH TELAH BERMULA
Semasa menuntut di Mesir, ketika ketibaan Ramadhan, orang tempatan akan saling memberikan ucapan tahniah antara satu sama lain dengan ucapan Ramadhan Karim (lebih kurang maksudnya selamat menyambut Ramadhan yang mulia). Yang mendengar ucapan itu pula akan menjawab, Allahu Akram (Allah lebih mulia).
Saya pernah bertanya dengan salah seorang Syeikh di sana, apa signifikannya ucapan Ramadhan Karim dan Allahu Akram ini. Beliau menjawab, Ramadhan Karim adalah ucapan doa semangat, supaya umat Islam berjaya menunaikan ibadah Ramadhan dengan baik kerana bulan itu penuh dengan kemuliaan.
Ya, memang kemuliaan Ramadhan tiada tandingannya. Masuk Ramadhan adalah ibarat masuk ke tapak pesta, kita akan bersungguh-sungguh untuk mengejar ganjaran yang ditawarkan di dalam pesta tersebut tanpa mengira harga yang perlu dibayar. Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang disebut di dalam al-Quran. Di dalamnya diturunkan al-Quran. Di dalamnya dimenangkan 313 tentera Badar. Di dalamnya ada malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Macam-macam ada di pesta Ramadhan.
Untuk mendapat ganjaran-ganjaran Ramadhan, kita tidak boleh mengharapkan ‘bayaran’ puasa sahaja. Tidak cukup dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Tetapi yang dituntut untuk mendapat ganjaran itu ialah lebih daripada puasa. Dengan sebab itulah, orang Arab mengucapkan selamat menyambut Ramadhan yang mulia. Tidak seperti segelintir orang-orang Melayu yang memberikan ucapan ‘Selamat Berpuasa’, seolah-olah memberi faham yang Ramadhan itu hanya berpuasa semata-mata.
Tidak hairanlah, ramai umat Islam yang rugi ketika di bulan Ramadhan. Kerugian paling besar ialah, mendapat lapar dan dahaga tetapi pahala entah ke mana. Mana tidaknya, ketika berpuasa Ramadhan, mata masih memandang perkara munkar. Hati masih membenci si fulan dan si fulan. Mulut masih mengumpat dan mencerca. Telinga masih mendengar alunan lagha.
Lebih rugi lagi, ialah mereka yang tidak meletakkan prioriti terhadap nikmat masa lapang dan sihat yang Allah berikan di dalam kehidupan mereka. Allah berikan kita masa lapang antara lain supaya kita beribadah. Tetapi ketika di bulan Ramadhan, alasan ‘tidak cukup masa’ kerap dijadikan alasan untuk tidak menunaikan solat qiyam Ramadhan/tarawih. ‘Tidak cukup masa’ juga dijadikan sebab mengapa tidak mahu membaca atau menyertai tadarus al-Quran. Kalau tidak mampu sekali pun mengkhatam al-Quran sebanyak dua kali sehari seperti Imam al-Shafie ketika bulan Ramadhan, mengapa tidak ingin membaca walaupun sehelai sehari?
Dan yang paling rugi semasa Ramadhan, ialah mereka yang tidak rasa apa-apa dengan ketibaan Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan atau bukan Ramadhan adalah sama sahaja. Sikap ambil lewa ini seolah-oleh memperkecilkan tawaran tahunan besar-besaran yang Allah belikan kepada umat Islam. Cuba kita perhatikan rakan-rakan di negara Arab, sebagai contoh untuk menaikkan semangat dan kezaman kita. Ketika bulan Ramadhan inilah, terutamanya ketika 10 malam terakhir, mereka akan mengambil cuti kerja untuk beri’tikaf di masjid. Cuba kita perhatikan pula rakan-rakan India dan Pakistan yang kebanyakannya bekerja dari pagi sampai ke lewat malam di Aberdeen. Selepas penat bekerja, tepat jam 12 tengah malam, mereka akan menunaikan solat tarawih di Masjid, dan jumlah yang hadir pun agak ramai.
Justeru, tanamkanlah azam dan panjatkanlah doa supaya Allah menjauhkan kita daripada perasaan malas untuk beribadah khususnya di bulan Ramadhan.
ALLAHU AKRAM
Selanjutnya Syeikh saya itu mengulas lagi, mengapa dijawab Allah lebih mulia. Beliau menjawab yang ada sebahagian umat Islam yang rasa bertuhan hanya ketika bulan Ramadhan sahaja, tetapi selepas Ramadhan hidupnya akan lalai. Dengan sebab itulah diperingatkan yang walaupun Ramadhan itu bulan yang mulia, tetapi Allah, Tuhan Ramadhan itu lebih mulia dan kekal selama-lamanya.
Kepada semua saudara-mara dan rakan-rakan saya, sempena ketibaan Ramadhan ini, saya ucapkan Ramadhan Karim, selamat menunaikan ibadah Ramadhan kepada kita semua. Jadikanlah bulan Ramadhan pada tahun sebagai yang terbaik yang pernah kita lalui, lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
**************************
FAQ Siyam
Q: Saya di Ireland berpuasa hari Jumaat. Sedangkan ustaz di UK berpuasa hari Sabtu. Kawan di Germany, Sweden dan Turkey pun berpuasa hari Jumaat. Camne boleh berlaku perbezaan itu?
A: Masuk bulan Ramadhan perlu ditentukan dengan rukyah, iaitu melihat anak bulan. Perbezaan tarikh mula berpuasa mungkin kerana keputusan rukyah yang berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Dalam hal ini, oleh kerana kita berada di negara Muslim minoriti, maka rujuklah masjid tempat kita melazimi solat fardhu/Jumaat. Saya mendengar pengumuman Imam Masjid saya. Selepas pengumuman, sekadar untuk memuaskan hati, saya pergi ke tepi pantai di mana amat mudah untuk melihat anak bulan. Langit malam semalam adalah cerah tanpa awan, dan anak bulan tidak kelihatan. Amalan ru’yah adalah berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (Ramadhan). Dan berbukalah ketika melihat anak bulan (Syawal). Jika anak bulan terhalang dek awan, maka sempurnakanlah Sha’ban 30 hari”.
Di sana ada juga ulamak yang membenarkan penentuan tarikh puasa berdasarkan mengikut pandangan majoriti muslim. Ini berdasarkan hadith yang bermaksud, “Puasa kamu adalah hari ketika mana umat Islam berpuasa, Eidul Fitri kamu ketika mana umat Islam ber’eidul Fitri, dan Eidul Adha kamu adalah ketika mana Eidul Adha umat Islam”. Imam al-Tirmizi menyatakan hadith ini ialah hadith hasan gharib, sementara al-Albani pula menyatakan hadith ini sebagai hadith sahih.
Allahua’lam.