Feeds:
Posts
Comments

M-A-L-A-S

Assalamualaikum.

Setelah beberapa orang bertanya kepada saya, bila nak kemas kini dan menulis artikel baru di dalam blog saya….. walaupun banyak alasan duniawi yang boleh diberikan, akan tetapi hakikatnya, alasan utama ialah malas. Bacalah doa ini, moga Allah membantu kita untuk menghilangkan rasa malas.

Menyambut Kelahiran

Nabi Muhammad berbangga dengan ramainya umat baginda di hari akhirat kelak. Justeru, kelahiran bayi adalah sesuatu yang perlu disambut dengan adab Islam sebagai permulaan terhadap proses pembentukan mereka menjadi insan yang berguna. Sebagai nota khususnya untuk diri sendiri serta barangkali boleh dijadikan perkongsian dengan pengunjung blog saya, saya akan menulis secara ringkas adab dan cadangan Islam untuk menyambut bayi.

1. PENYAMBUT BAYI.

Orang yang terbaik untuk menyambut bayi ialah bidan atau doktor Muslimah. Sekiranya tiada, maka keutamaannya boleh diserahkan kepada perempuan non-Muslim, seterusnya kepada Muslim, dan akhir sekali kepada lelaki non-Muslim. Ini semua adalah merujuk kepada fiqh aurat wanita di dalam Islam.

2. PERSEKITARAN TEMPAT BERSALIN

Bilik bersalin adalah tempat si ibu berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan anak. Justeru, pastikan tempat tersebut bersih. Selain itu, galakkan si bapa untuk berada sekali semasa persalinan sebagai sokongan moral. Si bapa bolehlah memainkan peranan mengurangkan kesakitan si ibu, dan juga membaca doa atau sekadar memasang alunan bacaan al-Quran. Biar si ibu sentiasa teringat Allah, dan biarlah si bayi mendengar kalam Allah sebagai kalimah pertama ketika mula mengunjungi alam dunia ini.

3. MENGHEBAHKAN DAN UCAPAN TAHNIAH TANDA GEMBIRA

Adalah disunatkan untuk menghebahkan kelahiran anak terutama kepada si bapa dan juga kepada kaum keluarga dan rakan taulan. Dalam a-Quran, ketika Allah mengkhabarkan cerita mengenai kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan menggembirakan atau memberitakan berita gembira (rujuk Ali Imran:39 dan Maryam:7)

Abu Lahab adalah antara orang yang amat gembira, bahkan memerdekakan hambanya Thuwaibah ketika mendengar berita kelahiran nabi Muhammad. Menurut hadith sahih riwayat al-Bukhari, walaupun status Abu Lahab itu sehingga dikutuk secara kekal di dalam satu surah al-Masad di dalam al-Quran, akan tetapi kegembiraan beliau mendengar berita kelahiran nabi Muhammad melayakkan Abu Lahab mendapat minuman setelah mati daripada celah ibu jari dan telunjuk nabi. Menurut riwayat daripada al-Abbas, Abu Lahab akan mendapat minuman tersebut setelah mati pada setiap hari Isnin, iaitu hari kelahiran nabi.

Di dalam kitab Tuhfatul Maudud karangan Ibn al-Qayyim, dilaporkan yang Hasan al-Basri mencadangkan ucapan doa tahniah kepada ibu bapa yang baru mendapat anak. Sebahagian menyatakan doa ini adalah riwayat Imam al-Hasan r.a. Doanya seperti berikut: Continue Reading »

Dalam masa beberapa minggu lagi, isteri saya dijadualkan untuk melahirkan anak kami yang keempat. Segala-galanya atas ketentuan Allah, insyaAllah. Pada waktu begini, seperti biasa sebagai suami dan bapa, antara tanggungjawab saya ialah kerap mendoakan kesejahteraan isteri dan anak di dalam kandungan. Sama seperti saya semasa emak melahirkan saya dahulu, anak di dalam kandungan berada di dalam kedudukan songsang dan melintang. Esok, insyaAllah isteri akan bertemu dengan doktor pakar untuk membetulkan posisi anak di dalam rahim.

Sekiranya di Malaysia, biasanya si ibu akan mencari air selusuh untuk memudahkan bersalin. Kami tiada pengalaman melahirkan anak di tanah air, justeru segala-galanya perlu dibuat sendiri. Saya rasa bersyukur kerana masih ada salinan nota zikir untuk memudahkan bersalin. Antaranya ialah dengan membaca ayat-ayat al-Quran di bawah, kemudian dihembuskan kepada air yang terbaik, sama ada air zam zam atau sekadar air kosong biasa: Continue Reading »

Hari ini seperti yang dilaporkan oleh BBC, kerajaan British dan Irish akan memanggil duta Israel di negara masing-masing untuk menjawab tuduhan Mossad sebagai dalang di sebalik pembunuhan terancang Mahmoud al-Mabhouh, salah seorang pemimpin kanan pergerakan Hamas dalam sebuah hotel di Dubai bulan lepas. Pasukan pembunuh Mahmoud dikatakan mencuri identiti orang awam Israel selain menggunakan pasport beberapa negara termasuklah Britain dan Ireland untuk menyembunyikan identiti mereka.

Kerajaan Israel hanya sekadar menyatakan tiada bukti mereka terlibat, akan tetapi sehingga hari ini masih belum berani membuat kenyataan rasmi bagi menafikan agensi risikan sulit Mossad menjadi dalang pembunuhan.

Tahniah diucapkan kepada pihak polis dan agensi keselamatan Dubai kerana mendedahkan video perancangan untuk membunuh Mahmoud hanya dalam tempoh 24 jam selepas kejadian berlaku. Sebijak-bijak mereka merancang, mereka tidak sedar bahawa Allah adalah sebaik perancang.

Sekarang, dunia perlu memberikan tekanan kepada pihak Israel dan juga negara-negara yang dituduh mengeluarkan pasport kepada pasukan pembunuh profesional ini untuk menjawab kezaliman yang mereka lakukan ke atas seorang rakyat Palestin, yang berseorangan, dan berjuang untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Zionist.

Tahniah kepada pihak keselamatan Dubai atas pendedahan ini. Doakan agar para pejuang al-Aqsa sentiasa dinaungi perlindungan Allah.

Alahai Zinoist, untuk membunuh seorang manusia tanpa pengawal pun memerlukan lebih sepuluh orang pengecut daripada kalangan kamu. Walau pun al-Syahid Mahmoud telah pergi, akan tetapi hakikatnya beliau dan pejuang al-Aqsa telah menang daripada sudut moral mereka.

Dia Kekasihku

Tidak pernah kulihat insan sesempurna dia. Sesiapa yang melihat wajahnya pasti kan teruja. Orangnya peramah dan merendah diri. Pandai melayan rakan-rakan. Barangsiapa yang berada di sekelilingnya, pasti merasakan dirinya yang paling mendapat perhatian.

Dia bertubuh sederhana, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Berkulit cerah, tidak terlalu putih pucat dan tidak pula terlalu gelap. Rambutnya amat terurus, tidak terlalu kerinting dan tidak pula terlalu lurus. Mencecah bahu tersikat kemas, di bahagian tepi rambutnya hampir mencecah cuping telinga. Dikatakan terdapat hampir 20 urat uban di rambut kepalanya, kerana selalu memikirkan orang lain. Matanya besar, tumitnya tipis. Dahinya luas, bidang dadanya lebar. Continue Reading »

Jiwa mati

Anda mengaku Allah itu sebagai Tuhan yang Maha Agung. Akan tetapi anda berjalan di muka bumi ini dalam keadaan bongkak seolah-olah tidak bertuhan. Tiada langsung rasa diperhatikan. Membuat apa sahaja sesuka hati. Tidak pernah rasa bergetar jiwa apabila menyebut nama Allah.

Anda mengaku Muhammad itu sebagai Rasulullah. Akan tetapi tiada langsung keinginan untuk mematuhi sunnah murni baginda. Tiada langsung usaha untuk berselawat kepada baginda. Tiada langsung rasa rindu untuk bertemu baginda bagi mendapatkan syafa’at di hari Akhirat kelak.

Anda mengaku al-Quran sebagai kitab panduan wahyu Ilahi. Akan tetapi anda tidak pernah berusaha untuk melazimi bacaannya. Seminggu sekali pun agak payah. Al-Quran, terjemahan serta aplikasi al-Quran dalam komputer, laptop dan smart phone jarang dibuka. Apatah lagi untuk menghayati maknanya. Apatah lagi untuk merasai kemanisan membacanya. Kemuncaknya ialah anda menjadikannya sebagai hiasan sahaja. Tiada langsung keinginan untuk melaksanakan undang-undang yang termaktub di dalamnya.

Anda mengaku Islam sebagai agama. Akan tetapi anda tidak pernah menjadikannya sistem hidup. Tidak pula menjadikannya sebagai dasar dan kayu neraca membuat keputusan di dalam diri anda. Walaupun mengaku Islam, dan tidak memeluk agama lain, tetapi lebih selesa dengan cara hidup penganut Kristian, Yahudi atau masyarakat tanpa agama.

Anda mengaku umat Islam yang lain sebagai saudaramu. Akan tetapi kamu selalu menzalimi mereka. Sedang anda tidur lena, dibiarkan sahaja saudaramu yang di dalam kesusahan. Sedang saudaramu pergi berjuang, anda membiarkan sahaja mereka keseorangan, bahkan membuat kerja yang menyusahkan mereka. Hidup di dalam kebencian dan permusuhan. Suka sangat mencari kesalahan orang.

Itu semua merupakan sebahagian tanda yang jiwa kita yang sudah mati.

Ibarat badan manusia, matinya kerana terpisah antara roh dengan jasad. Roh itulah merupakan sebab mengapa manusia itu bernyawa. Tanpa roh, manusia itu mati. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hijr ayat 29, ketika mencerita penggabungan roh dan jasad:

فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي فَقَعُواْ لَهُ سَاجِدِي

Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanku) maka hendaklah kamu sujud kepadanya.

Dalam surah al-Waqi’ah ayat 83, Allah menceritakan mengenai kematian, iaitulah ketika roh terpisah daripada jasad.

فَلَوْلاَ إِذَا بَلَغَتِ ٱلْحُلْقُومَ

Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya.

Manusia sekiranya mati, maka perginya takkan kembali. Apa yang mampu ialah menunggu saat untuk dikembalikan nanti.

Akan tetapi jiwa, sekiranya mati, matinya bukan kekal. Matinya sementara. Kerana roh manusia itu boleh dibangunkan kembali, walau seteruk mana ‘kematian’ yang dialami.

Mencari roh jiwa tidak memerlukan anda untuk duduk bertapa di gua. Tidak memerlukan anda untuk meninggalkan kerja dunia.

Ini kerana roh jiwa itu ada di sisi anda. Roh jiwa itu sebenarnya, ialah al-Quran. Dengan mendekati al-Quran, jiwa yang mati akan dihidupkan semula. Yang gelap akan kembali terang. Yang pudar akan kembali sinar. Yang muram akan kembali tertawa.

Firman Allah di dalam surah al-Syura ayat 52:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ رُوحاً مِّنْ أَمْرِنَا
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami)


Begitulah hebatnya al-Quran itu sehingga dianggap sebagai roh. Roh yang menghidupkan jiwa. Mengapakah demikian? Jawapannya mudah sahaja, siapa yang tidak mahu berlafaz dengan kalam Allah. Kalam Allah, iaitulah kata-kata Allah. Ayat yang dilafazkan oleh Tuhan yang menciptakan kita. Sudah tentu kesannya hebat sekali. Bahkan yang menjadi pengantara al-Quran antara Allah dengan nabi Muhammad pun turut dipanggil sebagai roh al-Amin, roh yang amanah. Firman Allah SWT dalam surah al-Syu’ara’ ayat 193:

نَزَلَ بِهِ ٱلرُّوحُ ٱلأَمين

Ia dibawa turun oleh Roh al-Amin (malaikat Jibril yang amanah)

Justeru, aduhai jiwa yang tenat. Kembalikanlah dirimu mendekati al-Quran. Baca, fahami, dan hayatilah isi kandungannya. Moga jiwa yang mati akan hidup kembali, dengna penuh ketenangan, dalam mendamba rahmat-Nya.

Membaca status rakan-rakan di Facebook sejak dua hari lepas agak memualkan. Begitu juga dengan media elektronik dan cetak yang lain. Saya bukan mahu bicara politik kepartian di sini. Tapi yang saya ingin bicarakan ialah politik kendiri. Politik sahsiah dan harga diri.

Anak-anak perlu dibiasakan dengan persekitaran yang soleh

Saya bersyukur kerana anak-anak saya masih kecil dan belum membaca laju lagi. Ketika inilah saya teringat kawalan ketat arwah abah kepada kami adik-beradik semasa kecil. Setiap hari Ahad, biasanya ada surat khabar sisipan berunsur hiburan. Arwah abah akan sorok awal-awal lagi supaya kami tidak terdedah dengan gambar artis dan berita gosip kurang bermoral.

Akan tetapi sekarang, bayangkan yang kisah dan adegan hangat itu boleh dibaca di muka surat hadapan akhbar utama. Tidak perlu membeli tabloid murahan, anak-anak kita sudah didedahkan dengan pelbagai istilah dewasa. Gambar di kamar tidur pun didedahkan. Apalah agaknya yang digambarkan oleh anak-anak nanti bila melihat bilik tidur ibu bapa mereka. Semuanya ini kerana gara-gara dakwaan seorang pemuda yang tidak mampu melawan permintaan meliwat seorang yang berumur lebih 60 tahun di sebuah kondominium.

Cukuplah mereka-mereka di sana berpolitik kepartian dengan cara yang agak keji sekarang ini. Sekiranya anda ingin berpolitik kepartian, silakan, akan tetapi janganlah sampai menjejaskan politik sahsiah kami sebagai rakyat marhaen untuk menjaga peribadi anak-anak kami. Sampai bila budaya ini ingin diteruskan di Malaysia. Saya tidak akan redha sama sekali sekiranya kamu semua, politikus dan pengamal media yang tidak beretika, mencemari politik sahsiah kami. Kalau ada saham dan sumbangan anda merosakkan anak-anak saya, tunggulah nanti perbicaraan di hari akhirat.

Memang manusia akhir zaman semakin tipis rasa malu mereka. Di manakah harga kehidupan mereka? Nampak gaya, media perdana di Malaysia perlu diklasifikasikan sebagai 18sx sekarang.

Malu dan kehidupan..

Saya telah lama draf entri ini. Akan tetapi rasa segan pula untuk menerbitkannya. Semuanya berpunca daripada kelas renang anak pertama saya, Raed, di Linksfield. Sebagai menepati sunnah, saya ingin anak saya belajar berenang. Kelas dan modulnya memang menarik. Saya pun kena terjun sekali ke dalam kolam mandi. Akan tetapi satu perkara sahaja yang saya kurang selesa, iaitu di bilik persalinan.

Pertama kali saya di bilik persalinan selepas selesai kelas renang, mula-mulanya biasa sahaja. Bilik persalinan di Linksfield adalah terbuka, tiada bilik peribadi untuk penggunanya. Saya dan Raed pergi ke tempat paling hujung di bilik tersebut.

Alangkah terkejutnya kami, apabila melihat mat saleh semuanya telanjang tanpa seurat benang. Langsung tiada perasaan malu antara satu sama lain. Dengan selamba sahaja mereka menyembang sesama mereka sementara menunggu badan kering. Raed yang baru berumur 4 tahun pun terkejut dan berkata kepada saya eiii maluu. Dia pun pandai untuk menutup badannya dengan tuala. Continue Reading »

Dalam kelam-kabut selepas gempa bumi Haiti, dunia terkejut apabila mendengar berita mengenai dakwaan cubaan beberapa kumpulan kebajikan yang menculik kanak-kanak untuk dijual di Amerika Syarikat.

Sebelum itu, dunia juga digemparkan dengan tuduhan petugas kemanusiaan Israel mencuri organ manusia untuk dijual di negara mereka. Saya ada mengulas ringkas tuduhan tersebut di dalam entri sebelum ini.

Sebagai yang melihat dari jauh sahaja, sudah tentu saya tidak boleh 100% percaya dengan tuduhan tersebut. Akan tetapi, kedua-dua tuduhan itu telah membuka mata dunia yang aktiviti menculik dan menjual kanak-kanak Haiti, serta mencuri dan menjual organ manusia yang dibunuh tentera Israel di Palestin, memang telah lama berlaku.

Rakan-rakan Palestin saya yang pernah turun ke medan, memberitahu saya bahawa jenazah rakan-rakan mereka yang gugur syahid dalam pertempuran, ada yang telah dibedah dan dicuri organ mereka seperti jantung dan buah pinggang.

Akan tetapi, dunia dibutakan daripada kezaliman ini. Mata manusia telah diabui dengan ‘kehebatan, kebajikan dan keterbukaan’ mereka. Beginilah teruknya akhlak mereka, ketika berlagak seperti polis dunia, akan tetapi realiti sebenarnya ialah mereka tidak langsung menghargai nilai kemanuniaan, sehingga ianya menjadi bahan dagangan.

Ada satu email menarik yang saya terima, meminta saya untuk bertaubat kerana menyatakan yang penganut Kristian zaman sekarang sebagai ahlul kitab. Email itu turut meminta saya bertaubat kerana tidak merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Menurut penghantar email itu, tidak ada lagi di zaman moden ini golongan yang dikatakan sebagai ahli kitab.

Oleh kerana permintaan untuk bertaubat dan merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah itu adalah seruan wajib dalam Islam, maka saya pun mengambil sedikit masa untuk merujuk ayat-ayat al-Quran mengenai ahli kitab.

Kesimpulannya, mudah sahaja. Yang dinamakan ahlul kitab itu, ialah orang Yahudi dan Kristian tanpa mengira mereka mengikuti mazhab mana, atau hidup di zaman bila. Kerana mereka berkongsi satu perkara, iaitu mensyirikkan Allah, dalam keadaan mereka pernah didatangkan dengan kitab Allah terdahulu. Semua ahlul kitab itu kafir, dan tiada langsung di dalam nass yang menyatakan ahlul kitab yang kafir itu hanyalah ketika di zaman nabi sahaja. Ini adalah perkara yang termaktub di dalam nas. Ulamak bersepakat terhadap perkara ini. Cuma yang menjadi perselisihan ialah status pengikut Majusi, kerana terdapat riwayat lemah yang menganggap mereka sebahagian ahli kitab juga.

Implikasinya mudah sahaja. Bagi mereka yang mengaku Kristian baik Orthodox, Catholics atau Protestant, dan juga Yahudi baik zaman dahulu atau zaman sekarang, baik yang menyokong Zionisme atau yang menyokong Palestin, selagi mana hidup mereka secara beragama dan menolak sekular atheisme, maka mereka adalah ahlul kitab. Daging sembelihan mereka adalah halal buat kita. Wanita mereka juga halal bagi Muslim lelaki. Kenapa perlu kita berlebih-lebihan untuk mengharamkan yang halal? Sekiranya hati tidak mahu untuk makan makanan mereka, atau berkahwin dengan wanita mereka, janganlah pula menolak status mereka sebagai ahlul kitab.

Cuma sekiranya anda tinggal di negara mat saleh, anda perlu berhati-hati kerana kebanyakan mat saleh sekarang ini ialah masyarakat sekular yang tidak beragama. Golongan begini bukannya termasuk di dalam ahli kitab, justeru tiada keistimewaan mereka dalam aspek haiwan sembelihan serta wanita mereka. Akan tetapi sekiranya anda ternampak tanda Kosher sebagai contohnya, maka ianya halal untuk dimakan oleh kita. Pastinya, makanan halal Muslim itu adalah yang utama untuk dipilih.

Syeikh al-Hanooti

Dalam tahun 1991, Syeikh Muhammad al-Hanooti, ulamak Palestin lepasan al-Azhar yang pernah dituduh terlibat dalam serangan WTC tahun 1993 pernah mengeluarkan fatwa menyatakan semua daging di Amerika Syarikat dan Canada adalah halal kecuali khinzir. Beliau juga penah menyatakan bahawa semua gelatin walaupun asasnya khinzir, adalah halal. Syeikh al-Hanooti amat dihormati sebagai rujukan Muslim di Amerika Utara. Saya kurang bersetuju dengan pandangan beliau kerana implikasinya ialah menghalalkan semua daging tanpa mengira ianya disembelih oleh ahlul kitab atau sekadar di’mati’kan oleh manusia tidak beragama.

Untuk memudah rujukan pembaca, saya sertakan sekadar dua contoh ayat al-Quran yang boleh membantu pendefinisian ahli kitab yang sebenar.

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آمَنَ تَبْغُونَهَا عِوَجًا وَأَنْتُمْ شُهَدَاءُ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Katakanlah: “Wahai ahli Kitab! mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? “Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
(Ali Imran:99)

لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنْفَكِّينَ حَتَّى تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ
Oorang-orang yang kafir dari ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.
(Al-Bayyinah:1)

Adalah jelas di dalam ayat di atas, golongan ahlul kitab itu adalah kafir belaka, tanpa mengira mereka dari zaman atau mazhab mana. Mereka mempunyai status yang istimewa dalam konteks hubungan dengan Muslim. Tetapi tidak pula bermakna Islam mendiskriminasi mereka yang bukan ahli kitab.

Allahua’lam bis sowab.

« Newer Posts - Older Posts »