Melancong ke Aberdeen?

Sepanjang cuti musim sejuk 2009, saya dan isteri beberapa kali dihubungi oleh rakan yang meminta kami mencadangkan tempat menarik untuk dilawat di Aberdeen. Pertama sekali, kami minta maaf sekiranya tidak sempat untuk melayan sangat, kerana kami sendiri tiada di Aberdeen pada awal cuti musim sejuk. Kebetulan mak dan adik saya datang ke sini, sudah tentu saya sibuk untuk melayan syurga saya di dunia ini. Yang keduanya, cara terbaik untuk mendapatkan tips melancong ke Aberdeen ialah di capaian ini, ini dan ini. Anda boleh meminta brosur percuma daripada website berkenaan.

Ada orang berjalan ke Aberdeen kerana ingin bermain golf. Tidak dinafikan, memang banyak juga padang golf di sekitar Aberdeen. Ada juga yang datang ke sini kerana ingin berada di tempat paling utara komuniti Malaysia berhimpun. Ada yang datang ke sini untuk mencari kerja di dalam industri minyak dan gas. Ada yang datang ke sini kerana ingin melihat keunikan bangunan granit di sekitar Aberdeen. Ada yang datang ke sini untuk melihat keindahan semula jadi ciptaan Allah. Akan tetapi, sekiranya anda datang untuk membeli-belah, atau mencari hiburan sehebat England, maka Aberdeen bukan tempatnya. Ada yang berpandangan Aberdeen sebagai bandar yang agak ‘boring’, dan mempunyai persekitaran yang sesuai untuk belajar. Allahua’lam.

Aberdeen adalah bandar ketiga terbesar di Scotland. Terletak di North Sea, Aberdeen banyak bergantung kepada industri berasaskan sumber laut. Sekiranya dahulu bandar ini bergantung kepada industri perikanan, akan tetapi sejak penemuan minyak di North Sea pada tahun 70-an, bandar ini dianggap sebagai Oil and Gas Capital City of Europe. Dengan sebab itulah kos hidup agak tinggi di sini. Harga rumah dikatakan yang kedua termahal di United Kingdom selepas London. Ramai juga rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat minyak dan gas di Aberdeen.

Bandar ini juga turut dikenali sebagai granite city. Ini kerana kebanyakan bangunan di bandar ini dibina daripada batu granit. Dikatakan kadar radiasi Aberdeen adalah antara yang tertinggi di dunia, akan tetapi jangan risau, ianya masih berada di paras yang amat minimum dan tidak membahayakan manusia. Batu granit menjadikan bandar ini berkilauan dengan identiti kelabunya, sekiranya (mujur/beruntung) bandar ini dilimpahi dengan cahaya matahari. Walaupun berkongsi status dengan Dundee sebagai bandar yang paling banyak mendapat cahaya matahari (siangnya paling panjang), akan tetapi dalam banyak keadaan, cuaca Scotland – sejuk, hujan, mendung dan gerimis – biasanya dijuarai oleh Aberdeen. Beberapa kali saya melihat dokumentari yang menyatakan bangunan bandar ini sama cantik dengan bangunan di Bath. Allahua’lam.

Aberdeen mempunyai dua sungai utama, iaitu sungai Dee di belah selatan, dan sungai Don di belah utara. Nama Aberdeen dikatakan merupakan gabungan antara Dee dan Don = Deen.Walaupun semasa musim panas, cuaca Scotland yang tidak menentu menyebabkan jarang yang menjadikan kawasan sungai di sini sebagai tempat berkelah. Perlu diingatkan, Aberdeen letaknya lebih utara daripada Moscow!

Anda boleh melawat Aberdeen sama ada melalui kapal terbang, keretapi, bas atau memandu sendiri. Saya mencadangkan kepada pelawat di Aberdeen untuk memandu atau menyewa kereta apabila sampai di sini, kerana jaringan pengangkutan awam di sini tidaklah seefisyen bandar lain di UK walaupun syarikat First yang mengawal banyak bas dan keretapi awam di seluruh UK berasal daripada bandar ini (harga tiket bas di Aberdeen adalah termahal).

Untuk penginapan pula, sama sahaja dengan kebanyakan bandar di UK, banyak hotel atau B&B yang boleh disewa. Sebaiknya pilihlah hotel yang terletak di City Centre of Aberdeen untuk memudahkan anda membeli barangan dan makanan.

SEHARI DI BANDAR ABERDEEN

Sekiranya anda memperuntukkan masa selama satu hari di city of Aberdeen, saya mencadangkan anda untuk pergi ke destinasi seperti yang saya cadangkan di dalam peta ini. Pertamanya, melawatlah ke King’s College University of Aberdeen. Sekiranya anda mempunyai satellite navigator, cari High Street di Aberdeen atau pun Old Aberdeen. Di sinilah letaknya bangunan lama University of Aberdeen yang dibina pada tahun 1497. Anda boleh merujuk peta Old Aberdeen di sini dan sedikit panduan di sini.

King's College, University of Aberdeen

Destinasi seterusnya daripada Old Aberdeen ialah ke tepi pantai. Sekiranya anda memilih jalan seperti yang saya cadangkan di dalam peta di atas, anda akan dapat melihat Stadium Pittodrie yang dimiliki oleh Aberdeen FC, antara kelab bolasepak Scotland yang pernah dipimpin oleh Sir Alex Ferguson. Anda boleh meletak kereta anda di tepi pantai Aberdeen untuk bergambar. Terdapat kawasan hiburan di pantai ini.

Setelah puas bergambar di pantai, anda boleh meneruskan destinasi ke Union Street atau jalan utama untuk membeli-belah di Aberdeen. Di sini, anda akan dapat melihat sendiri karakter utama bandar Aberdeen dengan keunikan batu granitnya. Di sinilah juga terletaknya Marischal College yang merupakan binaan granit kedua terbesar di dunia. Terdapat juga beberapa tempat pelancongan menarik yang boleh dikunjungi di sepanjang Union Street.

Union Street

Kemudian, anda bolehlah meneruskan perjalanan ke Duthie Park. Taman ini sama sahaja dengan mana-mana taman di seluruh UK, cuma bezanya ialah di sini terletaknya Winter Garden atau rumah kaca. Bagi mereka yang ingin melihat pokok pisang, padi, kaktus, tanaman tropika dan tanaman musim lain di negara sejuk ini, maka inilah tempat yang wajar anda lawati.

Seterusnya, anda bolehlah meneruskan perjalanan untuk menikmati jalan persisiran pantai di sekitar Aberdeen. Anda boleh bergambar di rumah api Aberdeen / Girdleness Lighthouse dan melihat sendiri keindahan pemandangan di jalan persisiran pantai Aberdeen.

KE SELATAN ABERDEEN

Di dalam radius satu jam perjalanan ke luar city of Aberdeen, terdapat banyak lagi tempat menarik yang boleh dilawati. Bagi yang ingin pulang ke Selatan, saya mencadangkan agar anda tidak melalui motorway A90. Sebaliknya ikutlah jalan Dundee-Aberdeen Coastal Route. Nak mudah untuk melalui jalan ini, ialah pergi ke bandar Stonehaven terlebih dahulu. Anda boleh bersiar-siar di pekan kecil Stonehaven ini dan menikmati fish n chip yang terkenal di sini. Atau bagi yang memiliki satellite navigator, menujulah ke Dunnotar Castle, sekitar 20 minit sahaja ke selatan Aberdeen. Istana ini bagi saya ialah merupakan antara istana tercantik di Scotland, kerana keunikan lokasinya yang terletak di tebing laut.

Dunnotar Castle

Kemudian, ikutlah tourist coastal route ke Dundee. Dalam perjalanan, anda akan melalui Arbroath. Ada beberapa bangunan lama yang cantik di bandar ini. Selain itu, anda juga wajib membeli Arbroath smokies atau ikan salai (haddock atau salmon) yang amat sinonim dengan bandar ini.

Sampai di Dundee, setelah bersiar-siar di bandar ini dan menyusuri sungai Tay, seterusnya saya mencadangkan anda untuk pergi ke St Andrews, yang merupakan bandar universiti tertua di Scotland dan juga padang golf pertama di dunia. Jangan lupa untuk bergambar dan meletak kereta percuma di The Scores di tepi istana St Andrews dan berjalan kaki sahaja di sekitar bandar comel ini. Jangan lupa untuk makan aiskrim janetta yang terkenal di sini. Pilih perasa yang halal!

KE BARAT ABERDEEN

Ke barat Aberdeen bermaksud anda menuju ke Scottish Highland. Ada beberapa tempat menarik di sini. Bagi yang meminati salji dan sukan ski, daripada bulan Disember sehingga bulan Mac, anda boleh berkunjung ke The Lecht atau ke Glenshee yang terletak hanya satu jam perjalanan dari Aberdeen. Keadaan salji serta tempat menarik untuk bermain salji lain boleh dilihat di laman ini. Berhati-hati ketika memandu terutamanya di musim sejuk. Semasa cuaca ekstrim, jalan akan ditutup dan kadang-kadang air screen washer kereta anda boleh membeku walaupun menggunakan campuran yang khas!

Selain itu, anda juga boleh melalui Royal Deeside Road. Sepanjang laluan A93 di lembah sungai Dee yang menghubungkan Aberdeen hingga ke Scottish Highland ini, ada banyak tempat menarik untuk disinggahi, seperti Drum Castle dan Crathes Castle. Anda juga akan melalui beberapa pekan kecil yang cantik, seperti Ballater di mana terletaknya stesyen keretapi di-Raja yang pernah berfungsi sebagai stesyen keretapi keluarga diraja British untuk pergi ke istana persinggahan musim sejuk mereka di Balmoral Castle. Pemandangan di sekitar perjalanan juga amat menakjubkan. Karakternya berbeza mengikut musim. Musim kegemaran kami sekeluarga ialah ketika awal musim luruh, sebelum pokok menggugurkan daunnya yang kekuningan. Bagi mereka yang ingin ke Inverness, selain melalui A96, anda boleh juga melalui A93 untuk menikmati keindahan alam.

Royal Deeside di musim luruh

KE UTARA ABERDEEN

Sementara ke utara Aberdeen pula, saya mencadangkan anda untuk melalui Coastal Trail. Anda akan dapat melihat pemandangan tepi pantai yang unik di sepanjang perjalanan, selain beberapa tempat menarik untuk disinggahi seperti pekan Peterhead yang terkenal dengan industri perikanan dan juga restoran fish and chip, Fraserburgh yang terkenal dengan Museum of Scottish Lighhouses dan Banff/MacDuff yang terkenal dengan Haddo House dan Macduff Aquarium.

Selain cadangan di atas, anda boleh melihat banyak lagi tempat menarik seperti yang terdapat di dalam laman ini.

TEMPAT REKREASI KANAK-KANAK

Aberdeen City dan Aberdeenshire ialah tempat yang wajar dikunjungi bagi mereka yang ingin melihat keindahan alan semulajadi. Bukan semua pelancong mempunyai minat dengan tema ini. Khususnya bagi kanak-kanak, mungkin akan menyebabkan mereka sedikit kebosanan apabila melawat ke sekitar Aberdeen. Pun demikian, saya berpandangan menjadi kewajiban ibu bapa untuk mendidik anak-anak kecil kita menghargai alam sekitar. Selain itu, ada juga beberapa tempat menarik untuk kanak-kanak, seperti Codonas Amusement Park di pantai Aberdeen, playbarn Hoodles, Storybook Glen (taman bajet untuk melihat patung karakter kartun kanak-kanak) dan Arheolink Prehistory Park. Kecuali Codonas, saya pernah membawa anak-anak saya ke tempat di atas dan mereka amat menyukainya. Saya tidak mencadangkan anda pergi ke Satrosphere Science Centre berdekatan Codonas kerana tidak berbaloi dengan bayaran masuknya.

PELANCONG MUSLIM

Bagi pelancong muslim, tiada apa sepatutnya yang anda perlu risaukan sepanjang perjalanan anda ke sini. Islam adalah agama yang mudah, dan sewajarnya kita tidak boleh mengabaikan tuntutan agama selagi mana kita bernafas di muka bumi Allah ini. Di Aberdeen, tidak terdapat masjid dengan erti kata masjid dengan bangunan yang khusus. Akan tetapi 5000 Muslim di Aberdeen bersembahyang di dua masjid utama, pertamanya di Central Mosque berhampiran dengan University of Aberdeen (Old Aberdeen campus) dan juga masjid di Crown Terrace yang letaknya berhampiran dengan Union Street. Bagi yang inginkan makanan halal, terdapat banyak kedai take away dan juga restoran halal di sekitar Union Street, King Street dan George Street. Kedai kegemaran kami ialah di Lahore Karahi. Di hotel penginapan, anda boleh meminta brosur take away halal yang biasanya disimpan di kaunter utama. Bagi yang ingin membeli bahan mentah untuk memasak, terdapat beberapa kedai halal di George Street dan King Street, atau di Fair Deal Food Shop.

PENUTUP

Selamat berkunjung ke Aberdeen. Moga dengan entri ringkas ini akan memudahkan anda semua untuk mengetahu tempat-tempat menarik yang wajar dikunjungi di bandar granit ini.

Advertisements

8 thoughts on “Melancong ke Aberdeen?

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s