FALAK ALAM MELAYU DAN KOSMOLOGI MODEN: ULASAN RINGKAS SYARAHAN DAN BUKU TERBARU DR MAT ROFA

Pertama kali saya menyelami pemikiran Dr Mat Rofa (pesara Prof Madya Matematik UPM) adalah ketika mula menjinakkan diri di dalam wacana falsafah sains dalam Islam. Bersesuaian dengan cabaran di tempat kerja, pada tahun 2010 saya telah membeli buku Falsafah Sains: Pendekatan Kualitatif bagi memahami subjek yang baru bagi saya.

IMG_7489

IMG_7475
Bersama Dr Mat Rofa dan Shahrin Falak Online, dalam majlis syarahan wacana Ilmiah di Perpustakaan Negara Malaysia pada 9 Mac 2017
Pembacaan buku ini telah menitipkan minat beransur-ansur untuk mempelajari falak. Alhamdulillah saya berada di negeri yang agak aktif dalam penganjuran kursus-kursus falak tradisional dan moden, melalui Jabatan Mufti Negeri Pahang. Di sinilah saya mula menuntut ilmu dengan malim-malim kosmos bermula dengan Ustaz Hanafiah dan Sifu Shahrin. Kemudian kembara berikutnya membawa saya mengenali tokoh lain seperti PM Dr Baharrudin, Us Md Nor Husain, Prof Dato’ Zamberi dan ramai lagi.
FullSizeRender 24
Dua orang malim kosmos yang amat berjasa kepada saya, Shahrin Falak Online dan PM Dr Baharrudin Zainal (selepas sesi wawancara untuk kajian saya)
Dr Mat Rofa adalah sarjana yang agak berani mencabar status kuo kepercayaan dan pengamalan akademik, bukan sahaja dalam bidang sains dan matematik, tetapi di dalam bidang sejarah dan agama. Walaupun saya percaya ramai yang tidak bersetuju dengan beberapa pegangan beliau, menariknya tidak pernah ditutup pintu untuk berbincang secara harmoni untuk mendengar pandangan berbeza. Ketika ada sekolah pengajian lain yang membicarakan falsafah sains Islam menerusi kacamata pasca modernis atau pasca tradisionalis, Dr Mat Rofa berada di dalam kelas yang tersendiri.
Dalam wacana beliau di PNM semalam, slide pertama pembentangan sahaja telah mula mengocak sel otak saya, melalui istilah ‘Falak Islam’. Cantik aturan Allah, baru sahaja semalam membincangkan peristilahan akademik seputar astronomi dengan Cikgu Bahar dan Shahrin di Putrajaya. Pemurnian dan penapisan korpus astronomi, barangkali. Alhamdulillah, ada modal baru diskusi lanjutan untuk kajian saya.
Beliau juga berjaya mewacanakan topik berat berkaitan astronomi daripada sudut sejarah perkembangan, pengamalan dan perkembangan di Tanah Melayu khususnya menerusi karya Sheikh Ahmad al-Khatib al-Minangkabawi, menyanggah pendekatan sains barat dan lain-lain, dengan laras bahasa rakyat yang mudah difahami. Menerobos minda setiap peringkat audien, adalah satu skil yang jarang dimiliki oleh sarjana. Baik pelajar sekolah, orang yang baru mengenali ilmu falak, ahli sejarah, bahkan pengkaji lanjutan astronomi dan kuantum fizik, ada bahagian masing-masing di dalam wacana beliau.
Dapatkanlah buku terbaru Dr Mat Rofa bertajuk Biografi Sheikh Ahmad al-Khatib al-Minangkabawi. Walau pun tajuk buku ini mencadangkan genre biografi, tetapi hakikatnya, merentasi bidang. Di dalamnya, ada:
1. Biografi Sheikh Ahmad al-Khatib
2. Biografi dan sejarah ulamak Melayu terawal.
3. Sejarah gerakan Islam dan mata rantainya di alam Melayu.
4. Politik Islam.
5. Diari dan pengalaman penulis di dalam politik kampus dan pejabat.
6. Sejarah Falak
7. Perkembangan falak.
8. Rahsia sarjana dahulu yang mahir dalam agama dan sains, menerusi pendekatan ulul albab; zikir dan fikir.
9. Contoh aplikasi matematik al-Khatib yang dikembangkan untuk tujuan falak.
Untuk menulis buku ini, beliau telah berkunjung sendiri ke rumah dan peninggalan Sheikh Ahmad al-Khatib di kampung halamannya. Semuanya, dari sumber primer..
Belilah buku ini, sama ada anda seorang sarjana matematik, peminat manuskrip lama, pengamal astronomi dan falak, seoang ahli gerakan Islam, politikus, ada bahagian masing-masing di dalam buku ini.
Kenyang….
Catatan 10 Mac 2017…
Advertisements