Utamakan Produk Muslim: Iktibar ARBA dan Pengalaman Pahang

Kempen membeli produk Muslim menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara kita. Seperti dalam mana-mana kempen kebaikan yang lain, kebiasaannya akan ada pihak yang tersasar daripada matlamat sebenar. Kesannya ialah kempen yang berbaur perkauman, yang akhirnya memberikan kesan negatif kepada agama Islam.

Secara umum, manusia perlu berbelanja untuk melangsungkan kehidupan dan membangunkan ekonomi negara. Manusia juga diminta untuk berkebajikan dengan orang lain, dan sudah tentu yang paling utama ialah dengan keluarga dan insan yang terdekat. Kempen mengutamakan produk Muslim adalah selari dengan tabiat agama dan manusia itu sendiri, selagi mana tidak menindas hak orang lain.

Allah berfirman dalam al-Quran, “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…” (Al-Maidah:2).

Dalam kalangan sahabat nabi, Abdul Rahman bin Auf merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Beliau merupakan antara sahabat yang terawal memeluk agama Islam. Ramai yang merujuk beliau sebagai seorang hartawan, tetapi umat Islam perlu melihat bagaimana Abdul Rahman bin Auf bangkit kembali untuk berniaga setelah menjadi sehelai sepinggang apabila berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Terdapat kisah yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari mengenai semangat keusahawanan yang ada dalam diri Abdul Rahman bin Auf. Sejurus selepas berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW mempersaudarakan beliau dengan seorang Ansar bernama Sa’ad bin al-Rabi’. Sa’ad merupakan penduduk asal Madinah yang kaya raya, serta berkahwin dengan beberapa orang wanita. Projek persaudaraan Nabi itu menyebabkan Sa’ad berhasrat menyumbangkan sebahagian hartanya bahkan menceraikan salah seorang isterinya untuk dikahwinkan dengan Abdul Rahman.

Bagi orang awam, tawaran ini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Tetapi Abdul Rahman bin Auf berpandangan, rezeki itu ibarat yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Beliau menolak dengan penuh penghormatan tawaran Sa’ad, sebaliknya meminta untuk ditunjukkan arah pasar yang sibuk di sekitar Madinah. Maka Sa’ad mencadangkan Pasar Qainuqa’, dan Abdul Rahman bin Auf tanpa lengah segera menjual yogurt dan minyak samin. Dalam riwayat masyhur yang lain, Abdul Rahman dikatakan pandai mencipta jenama dan pasaran sendiri, apabila memfokuskan perniagaan tali unta di saat ramai orang sudah terlibat dalam perniagaan unta. Akhirnya, beliau menjadi hartawan dalam masa yang singkat selepas berhijrah, dengan merungkai monopoli Yahudi serta memenuhi permintaan rakyat dengan menawarkan produk yang berkualiti di pasaran.

Selain mempunyai hati budi seorang dermawan, Abdul Rahman bin Auf juga menjaga hubungan yang baik dengan non-Muslim. Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari, bahawa Abdul Rahman bin Auf mempunyai pakatan dengan Umayyah bin Khalaf, salah seorang pemimpin Musyrikin Makkah yang kuat menentang perjuangan Islam. Pakatan tersebut bertujuan supaya Umayyah melindungi keluarga Abdul Rahman di Makkah selepas berhijrah, sementara Abdul Rahman pula melindungi kepentingan Umayyah di Madinah. Semasa Umayyah tewas di tangan tentera Islam dalam Perang Badar, Abdul Rahman bin Auf melindungi jenazah Umayyah daripada terus diserang oleh tentera Islam.

Umat Islam perlu melihat kempen mengutamakan produk Muslim dengan lebih positif. Memboikot atas dasar perkauman adalah tindakan yang kurang bijak, bukan sahaja untuk ekonomi, tetapi untuk dakwah dan imej Islam itu sendiri. Sedang Rasulullah SAW sendiri wafat ketika baju besi baginda masih dicagar di tangan orang Yahudi. Akan tetapi membantu perniagaan Muslim, dengan mengutamakan pembelian barangan daripada mereka, adalah perbuatan yang mulia dan memberikan kesan yang amat positif dalam meningkatkan ekonomi negara.

Sepatutnya kempen ini berlaku bukan dengan sentakan politik, sebaliknya di atas dasar bantu-membantu sesama Muslim. Di negeri Pahang, antara usaha yang dilakukan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) yang diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, telah memperkenalkan inisiatif membuka Pasaraya Darul Makmur bagi merancakkan perniagaan usahawan Muslim. Usaha ini mengisi kekosongan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Islam.

Selain itu, MUIP melalui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Negeri Pahang, selain bertanggungjawab menguruskan kutipan zakat, turut menjalankan kerja-kerja membantu usahawan Muslim dengan menghasilkan direktori senarai usahawan asnaf dan pembayar zakat. Direktori ini boleh ditelusuri di http://www.bizzakat.my atau boleh dimuat turun aplikasi ‘Bizzakat’ dalam telefon bimbit. Melalui direktori ini, semua usahawan berzakat, baik pembayar dan penerima, akan diiklankan perniagaan mereka. Umat Islam yang ingin membeli sebarang produk khusus atau perkhidmatan, digalakkan untuk melihat senarai usahawan berzakat yang ada dalam direktori ini.

Inilah bentuk kempen yang sepatutnya diberikan penumpuan. Utamakan inisiatif untuk melahirkan ramai usahawan Muslim dengan produk yang berkualiti. Sementara pengguna pula, elakkan ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan semangat bermusim sahaja, sebaliknya utamakanlah peniaga berzakat. Sekiranya didapati dalam kejiranan kita golongan asnaf yang berniaga, bantulah perniagaan mereka. Sekiranya melihat pembayar zakat berniaga, utamakan perniagaan mereka. Kerana akhirnya perbelanjaan kita ini akan berlegar manfaatnya dalam tujuan yang baik ke arah membangunkan ekonomi negara.

Dalam masa yang sama, jagalah hubungan dengan masyakat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama. Semoga dengan kempen yang murni ini, ramai peniaga-peniaga kecil dan usahawan Muslim diberikan peluang untuk menonjolkan potensi sebenar mereka dalam menawarkan produk yang berkualiti.

 

WhatsApp Image 2019-09-10 at 8.39.54 AM

Disunting dan diterbitkan dalam Harian Metro 10/9/2019

 



Categories: Adab Bermasyarakat, Bait Muslim, Baiti Jannati, Tazkirah, Ulasan Isu

Tags: , , ,

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: