Ketika solat, anda melihat kekotoran di depan tempat kiblat. Sampah. Sawang. Stokin. Tahi cicak. Beg yang dicampai tidak tertutup. Kain pelekat yang tidak dilipat kemas. Tidak selesa bukan?
Nabi amat menjaga kebersihan tempat solat. Walaupun belum ada masjid dalam bentuk sebuah binaan, tetapi nabi diriwayatkan dalam Sahih Bukhari, solat di atas al-Haśīr atau al-Khumrah, seakan-akan sejadah dalam konteks zaman sekarang.
Selain itu, antara yang sinonim dengan tempat solat ialah mihrab. Mihrab ada disebut dalam al-Quran. Mihrab Zakariya dan Mihrab Maryam ada dipamerkan di al-Aqsa. Para ulama’ juga khilaf dalam membahaskan keharusan membina mihrab dalam masjid.
Pokok pangkalnya, sejadah dan mihrab, ialah tempat solat kita. Di rumah, sebagai premis terbaik untuk solat sunat, konteks mihrab dan sejadah boleh difahami sebagai tempat yang dikhususkan oleh solat.
Nabi berpesan untuk kita menjaga kebersihan dan kesucian tempat solat, baik di masjid, atau di rumah. Pernah nabi melihat kotoran di arah qiblat di tempat solat. Maka nabi membuang kotoran tersebut. Sabda nabi seperti yang diriwayatkan oleh Sahih Bukhari:
عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ، فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ، فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ ” إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ، فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ ـ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ ـ فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ، أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ ”. ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ، ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ، فَقَالَ ” أَوْ يَفْعَلْ هَكَذَا
Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW melihat kahak di dinding kiblat lalu menggosoknya dengan tangannya. Dan nampak kemarahan dari baginda, atau kebenciannya terlihat kekotoran itu. Baginda pun bersabda: “Jika salah seorang dari kalian berdiri solat, sesungguhnya ia sedang berhadapan dengan Tuhannya, atau sesungguhnya Tuhannya berada antara dia dan arah kiblatnya, maka janganlah meludah ke arah kiblat. Tetapi hendaklah ia lakukan ke arah kiri atau di bawah kaki (kirinya).” Kemudian Nabi SAW memegang tepi kainnya dan meludah di dalamnya, setelah itu beliau membalik posisi kainnya lalu berkata, atau beliau melakukan seperti ini.”


