Dengan kelebihan yang ada pada malam nisfu Sha’ban, dan galakan berpuasa pada hari nisfu Sha’ban walaupun diperselisihkan dalam kalangan ulama’, saya kerap tertanya-tanya, bilakah tarikh sebenar HARI NISFU SHA’BAN?
Mudah-mudahan, pertanyaan saya ini tidak termasuk dalam kategori perangai bani Israel. Tetapi ia wajar ditanya kerana:
- Ada kelebihan pada malam dan siang harinya
- Ada larangan berpuasa selepas nisfu Sha’ban, mengikut hadith dan pandangan mazhab Shafi’i.

Dalam kalendar Islam, bilangan hari ialah sama ada 29 atau 30 hari. Kebiasaannya, apabila melihat angka 30, ramai orang akan menghitung bahawa pertengahannya (nisfu) adalah 15. Bagaimana pula sekiranya Sha’ban pada tahun itu, bilangannya adalah 29 hari? Adakah mungkin nisfu Sha’ban itu jatuh pada hari ke 13 dan 14?
PM Dr Baharrudin Zainal pernah mencadangkan supaya dibuat cerapan bulan penuh (waktu terbit dan terbenam) pada hari-hari berhampiran nisfu Sha’ban ini. Ini bagi memudahkan kita mengetahui tarikh sebenar nisfu Sha’ban, selain menyemak ketepatan kalendar.
Kita juga perlu mengambil kira faktor Hari Putih yang digalakkan untuk berpuasa sunat, yang jatuh setiap 13, 14 dan 15 setiap bulan. Antara sebab dinamakan Hari Putih ialah kerana bumi akan cerah pada siang dan malamnya kerana bulan mengambang. Tidak pula ia jatuh pada 14,15 dan 16. Dinyatakan dalam ‘Umdat al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari (xvii:80), antara pendapat yang menjelaskan kenapa dinamakan hari putih:
قِيلَ سُمِّيَتْ بِذَلِكَ لِأَنَّ لَيَالِي أَيَّامِ الْبِيضِ مُقْمِرةٌ وَلَمْ يَزَلِ الْقَمَرُ مِنْ غُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى طُلَوعِهَا فِي الدُّنْيَا فَتَصِيُر اللَّيَالِي وَالْأَيَّامُ كُلُّهَا بِيضًا
Eertinya, “Pendapat lain menyatakan, hari itu dinamai ayyamul bidh kerana malam-malam tersebut terang-benderang oleh bulan purnama dan bulan selalu menampakkan wajahnya mulai matahari tenggelam sampai terbit kembali di bumi. Oleh kerana itu, malam dan siang pada saat itu menjadi putih (terang)”
Memandangkan pada tahun ini (2019M/1440H), berdasarkan hisab imkan al-Ru’yah, Sha’ban hanya 29 hari sahaja, saya berpandangan ia jatuh pada siang Sabtu 20 April. Ini bermakna, malam nisfu Sha’ban ialah pada Jumaat 19 April, dan digalakkan puasa sunat pada siang Sabtu 20 April. Sebaiknya, perlu dibuat cerapan bulan, pada tahun-tahun akan datang.
Ini hanya pandangan perbibadi sahaja, terbuka untuk kritikan dan pandangan.