Sengketa antara penduduk genting Gaza dan Israel berulang kembali. Kali ini, ia dilatari dengan tindakan Presiden Trump mengisytihar pemilikan mutlak Bukit Golan oleh negara haram Israel.

Untuk memudahkan kefahaman generasi muda mengenai konflik Israel-Palestin, saya cuba untuk rungkaikan beberapa fakta asas.
– Apabila terbaca ‘negara Sham’ atau Historical Syria dalam buku sejarah, ia bermaksud Syria, Jordan, Palestin (& negara penjajah Israel) serta Lubnan.
– Selepas perjanjian Sykes Picot 1916, negara umat Islam yang asalnya diperintah oleh kerajaan Uthmaniah, telah dipecahkan oleh penjajah (Syria, Lubnan, sebahagian Turki kepada Perancis), Palestin, Jordan & Baghdad kepada British). Ini hasil daripada permaianan orientalis seperti Lawrence of Arabia untuk menanamkan semangat perkauman Arab yang kononnya dijajah oleh Turki. Pecah dan perintah.
– 1917 – British (penjajah Palestin) melalui Perisytiharan Balfour telah menyatakan dasar untuk menyokong penubuhan negara bangsa Yahudi di kawasan yang dimiliki orang Arab Palestin. Itulah negara haram Israel sekarang.
– Dataran Tinggi Golan terletak antara sempadan Israel, Syria, Jordan dan Lubnan. Kedudukan berhampiran Tasik Tabariyyah (Tiberias) amat strategik untuk tujuan pertahanan negara, punca air, pertanian dan seumpamanya.
– Israel pernah menawan Bukit Golan semasa penghujung perang 6 hari 1967. Ramai orang Arab Syria terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka.
– Beberapa pertempuran berlaku membabitkan Syria dan Israel sebelum kedua-dua negara menandatangani perjanjian armistice/gencatan senjata pada tahun 1974, dan pasukan pengaman PBB dihantar untuk mengawal sempadan.
– Akan tetapi Israel terus menyatakan Golan sebagai sebahagian kawasan sempadan mereka secara unilateral pada tahun 1981, walaupun masyarakat dunia menolak.
– Malangnya pada tahun 2019, Presiden Trump, selepas menukar kedutaaan AS dari Tel Aviv ke BaitulMaqdis/Jerusalem (langkah untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai milikan mutlak Israel), telah mengisytihar kedaulatan negara haram Israel ke atas Golan.
– Orang Yahudi sejak daripada dahulu lagi kerap kali hidup dalam diaspora/buangan. Sejarah membuktikan orang Islamlah yang kerap membantu untuk menawarkan tempat tinggal untuk mereka berteduh (baca lanjut: Umar Assurance of Safety dll)
– Orang Islam tidak bermusuh dengan Yahudi secara umum. Tetapi secara umum, semua manusia menolak bangsa rasis yang secara total menolak kewujudan bangsa lain, selain merampas tanah serta kampung halaman sesuka hati. Yahudi yang bermasalah sekarang ialah Yahudi Zionis. (baca lanjut: Zionis dan pelampau kanan).