“Anta jangan fitnah ana!”  – Biasa kita dengar skrip ini antara asatizah dan mutadayyin yang sedang berikhtilaf pandangan dan pendekatan. 

Orang awam bahkan yang tahu asas Arab biasanya akan memahami perkataan fitnah itu sebagai TUDUHAN PALSU/TIPU/BOHONG. Sedangkan dalam hadith, perbuatan berbohong bagi memburukkan orang lain, atau tuduhan palsu, biasanya dirujuk sebagai BUHTAN.

52475641_10157927534586037_7569897112083628032_o.jpg

Hakikatnya, asal perkataan fitnah tidak semestinya membawa kepada tuduhan palsu. Secara literal, ia bermaksud imtihan, ibtila’ dan ikhtibar.  Semua ini merujuk kepada ‘ujian dan cubaan’. 

Fitnah juga boleh bermaksud 

  • menghasut 
  • pecah belah
  • membakar sesuatu dengan api
  • harta-benda
  • anak-pinak
  • dosa
  • kufur
  • mengalihkan
  • dan macam-macam lagi

Dalam al-Quran, banyak kali perkataan fitnah digunakan, dengan maksud yang pelbagai mengikut konteks. Antaranya:

1. Syirik/kufur. 

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ
(Al-Baqarah, 2:191)

Dan fitnah (syirik) itu lebih dahsyat daripada membunuh

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ
(Al-Baqarah, 2:193)

Perangilah mereka sehinggalah tidak ada lagi fitnah (kesyirikan)

2. Ujian dan cubaan

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
(Al-Ankabut, 29:2)

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

وَكَذَٰلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُم بِبَعْضٍ
(Al-An’am, 6:53)

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin)

3. Maksiat

وَلَٰكِنَّكُمْ فَتَنتُمْ أَنفُسَكُمْ
(al-Hadid, 57:14) 

Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu (dengan perbuatan maksiat/munafik)

4. Campur-aduk kebenaran dengan kebatilan

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُن فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ
(Al-Anfal, 8:73)

Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. 

5. Perpecahan antara manusia & hasutan

لَوْ خَرَجُوا فِيكُم مَّا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا خِلَالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّاعُونَ لَهُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ
(Al-Taubah, 9:47)

Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. 

Dan ada lagi beberapa konteks kalimah fitnah dalam al-Quran yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Oleh yang demikian, selepas ini apabila anda  mendengar kalimat “fitnah’ diungkapkan, seperti ‘ana difitnah’, carilah konteksnya terlebih dahulu. Janganlah fahami ia sebagai “tuduhan palsu” semata-mata. 

Advertisement