Apabila berbicara mengenai pengorbanan, biasanya kita akan merujuk kepada kisah Nabi Ibrahim dan Ismail AS. Akan tetapi, jarang-jarang sekali kita mengaitkan pengorbanan dengan perjuangan Nabi Lut AS. Sempena Zulhijjah 1439 ini, dalam persekitaran negara Malaysia yang baru, saya ingin berkongsi sedikit kisah pengorbanan Nabi Lut AS, berdasarkan al-Quran.

Kisah Lut disebut beberapa kali, dalam 14 surah yang berbeza dalam al-Quran. Ada sebahagian kisahnya disebut secara jelas, kadang-kadang disebut ringkas sahaja, sementara sebahagiannya disebut bersama dengan nama nabi-nabi yang lain.

KALIMAT LIWAT BUKAN BERASAL DARIPADA NAMA LUT: 

Kalimat liwat (لواط), biasanya disebut termasuklah dalam beberapa kitab, kononnya berasal daripada nama nabi Lut (لوط) itu sendiri. Pandangan ini ditolak oleh sebahagian sarjana, seperti Sheikh Dr Solah al-Khalidi (al-Qasas al-Quraniy, jilid 1, 1998:489-490). 

Menurut beliau, Nabi Lut bukan berketurunan Arab, dan tidak bertutur dalam Bahasa Arab. Oleh yang demikian, tiada kaitan antara kalimat liwat dengan namanya. 

Akan tetapi, liwat ialah kalimat baru, yang memang berasal daripada Bahasa Arab (لاط يلوط لوطا و لواطا), bermaksud (اللصوق) iaitu melekap. Ada hadith yang berbunyi:

الولد ألوط بالقلب

Anak-anak adalah makluk yang paling melekap di hati.

Dinamakan perbuatan homoseksual itu sebagai liwat, kerana merujuk perbuatan melekapnya lelaki dengan lelaki. Oleh yang demikian, janganlah dikaitkan kalimat liwat itu kononnya berasal daripada nama Nabi Lut. 

LUT MERUPAKAN NABI, PENGIKUT IBRAHIM AS

Nabi Lut merupakan pengikut Nabi Ibrahim. Firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 26:

فَآمَنَ لَهُ لُوطٌ ۘ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَىٰ رَبِّي ۖ إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: “Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

Nabi Lut juga turut bersama-sama berhijrah dengan Ibrahim, dari Iraq ke Palestin. Firman Allah dalam Surah al-Anbiya’ ayat 71:

وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطًا إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِينَ

Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.

Selepas beberapa ketika duduk di Palestin, bersesuaian dengan tanggungjawab seorang Rasul, akhirnya beliau diutus untuk berdakwah kepada penduduk satu kampung yang terletak di Tenggara al-Quds. 

DAKWAH YANG PENUH RANJAU DAN PENGORBANAN

Nabi Lut mempunyai misi yang agak berbeza dengan nabi-nabi yang lain. Antaranya, ketika Ibrahim dan Ismail bahkan nabi-nabi yang lain, hanya diutus kepada kaum mereka sendiri, tetapi Nabi Lut diutuskan kepada manusia yang bukan terdiri daripada bangsanya. Bahkan bukan juga berasal dari kampung halamannya. Baginda, menjadi Rasul yang begitu asing, kepada manusia yang asing. 

Selain itu, nabi lain memulakan tugas menyebarkan risalah mereka, dengan mengajak manusia kepada tauhid. Firman Allah dalam Surah al-A’raf ayat 65:

قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۚ

Nabi Hud berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.

Akan tetapi, nabi Lut memulakan misi dakwah baginda dengan terus mengajak kaumnya itu supaya meninggalkan perbuatan liwat yang dianggap sebagai fahishah. Firman Allah dalam Surah al-‘Araf ayat 80:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

NORMALISASI LIWAT SECARA TERBUKA DALAM MASYARAKAT

Selain melakukan liwat, nabi Lut juga berhadapan dengan beberapa kerosakan lain dalam kaumnya, seperti menyekat jalan (usaha) supaya perbuatan keji mereka dicegah, dan berjuang untuk menjadikan budaya liwat itu sebagai sesuatu yang boleh diterima secara terbuka dalam masyarakat. Firman Allah dalam Surah al-‘Ankabut ayat 29:

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنكَرَ ۖ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّهِ إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

“Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?” Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar”

LIWAT ADALAH FAHISHAH; KEROSAKAN NEGARA

Ulama’ membahaskan mengapa nabi Lut terus melawan liwat, dan tidak menyeru kaumnya supaya mentauhidkan Allah. Ini disebabkan kerana perbuatan liwat adalah perbuatan yang amat songsang. Adalah mustahil merawat akidah seseorang sekiranya mereka masih terjebak dengan perbuatan songsang. Liwat disebut sebagai fahsha’/ fahishah, sama seperti kerosakan lain seperti berlaku zalim dalam sesebuah negara, korupsi, melakukan zina, dan lain-lain. Sekiranya seseorang bersungguh-sungguh melawan korupsi dan kezaliman, maka sepatutnya al-Qur’ān mengajar bahawa liwat juga perlu dibanteras. Liwat adalah perbuatan merosakkan. Ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, walaupun diberikan kelebihan untuk berfikir dan merenung kerosakannya (basor). Firman Allah dalam surah al-Naml ayat 54-55:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ
أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. 

KAUM PELIWAT SOMBONG DAN BONGKAK

Setelah mendapat rahmat menerusi seruan dakwah Nabi Lut, malangnya kaum peliwat ini bersifat sombong dan bongkak. Mungkin kerana pemikiran mereka telah songsang, sama seperti songsangnya nafsu dan perasaan mereka.

Mencabar Diturunkan Azab

Mereka mencabar Nabi Lut untuk menurunkan azab segera. Firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 29:

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنكَرَ ۖ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّهِ إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

“Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?” Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar”

Mengejek Lut Kononnya ‘Orang Suci’

Kesombongan mereka dapat disaksikan menerusi hinaan dan kutukan yang dilemparkan kepada nabi Lut. Antaranya, mereka menuduh nabi Lut kononnya ‘orang suci’. Firman Allah dalam Surah al-A’raf ayat 82:

وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri”

Mengusir Nabi Lut Keluar

Mereka juga terus bongkak dengan menghalau Nabi Lut keluar dari kampung halaman mereka. Firman Allah dalam surah al-Shu’ara’ ayat 167:

قَالُوا لَئِن لَّمْ تَنتَهِ يَا لُوطُ لَتَكُونَنَّ مِنَ الْمُخْرَجِينَ

Mereka menjawab: “Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!”

MALAIKAT DIUTUS UNTUK MENURUNKAN AZAB

Nabi Lut, hidup sezaman dengan Ibrahim. Oleh kerana maksiat kaum Lut adalah terlalu berat dan tidak dapat diselesaikan oleh nabi Lut, akhirnya Allah mengutus Malaikat, yang terlebih dahulu berjumpa dengan nabi Ibrahim, untuk menurunkan azab kepada kaum Lut. 

Firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 31-34:

وَلَمَّا جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَىٰ قَالُوا إِنَّا مُهْلِكُو أَهْلِ هَٰذِهِ الْقَرْيَةِ ۖ إِنَّ أَهْلَهَا كَانُوا ظَالِمِينَ # قَالَ إِنَّ فِيهَا لُوطًا ۚ قَالُوا نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَن فِيهَا ۖ لَنُنَجِّيَنَّهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ # وَلَمَّا أَن جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالُوا لَا تَخَفْ وَلَا تَحْزَنْ ۖ إِنَّا مُنَجُّوكَ وَأَهْلَكَ إِلَّا امْرَأَتَكَ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ # إِنَّا مُنزِلُونَ عَلَىٰ أَهْلِ هَٰذِهِ الْقَرْيَةِ رِجْزًا مِّنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

Dan ketika datang (malaikat) utusan kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang mengembirakan), mereka berkata: “Sebenarnya kami hendak membinasakan penduduk bandar ini), sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim”. Nabi Ibrahim berkata: “Sebenarnya Lut ada di bandar itu”. Mereka menjawab: “Kami mengetahui akan orang-orang yang tinggal di situ. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) – kecuali isterinya, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan”. Dan ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya); dan (setelah melihatkan halnya yang demikian), utusan-utusan itu berkata: “Janganlah engkau takut dan janganlah berdukacita, sesungguhnya kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta pengikut-pengikutmu) – kecuali isterimu, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan. “Sesungguhnya kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)”.

LUT BERDAKWAH SECARA BERHIKMAH

Malaikat tersebut akhirnya melawat rumah Lut dengan jelmaan manusia. Semasa di rumah Lut, kaumnya mengetahui ketibaan malaikat dengan jelmaan manusia yang kacak. Mereka cuba untuk merapati dan menganggu ‘lelaki’ tersebut. Sungguh, bernafsu besar kaum lelaki nabi Lut dengan manusia sejenis mereka. 

Akan tetapi nabi Lut terus berdakwah kepada mereka supaya kembali kepada fitrah. Nabi Lut berdakwah secara berhikmah. Baginda memujuk kaumnya, sekiranya ingin melempiaskan nafsu, maka salurkanlah melalui jalan yang fitrah dan halal. Baginda mengajar lelaki kaumnya supaya berkahwin dengan anak-anak gadis yang ada di kampungnya. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 78:

وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِن قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ ۚ قَالَ يَا قَوْمِ هَٰؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي ۖ أَلَيْسَ مِنكُمْ رَجُلٌ رَّشِيدٌ

Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: “Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?”

AMARAN AZAB

Firman Allah dalam Surah al-‘Ankabut ayat 33-34:

وَلَمَّا أَن جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالُوا لَا تَخَفْ وَلَا تَحْزَنْ ۖ إِنَّا مُنَجُّوكَ وَأَهْلَكَ إِلَّا امْرَأَتَكَ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ # إِنَّا مُنزِلُونَ عَلَىٰ أَهْلِ هَٰذِهِ الْقَرْيَةِ رِجْزًا مِّنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

Dan ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya); dan (setelah melihatkan halnya yang demikian), utusan-utusan itu berkata: “Janganlah engkau takut dan janganlah berdukacita, sesungguhnya kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta pengikut-pengikutmu) – kecuali isterimu, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan. “Sesungguhnya kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)”.

ANTARA ISTERI YANG DERHAKA DAN KEBENARAN YANG NYATA

Antara ujian kepada Nabi Lut juga, ialah keengganan isterinya untuk bersama-sama menolak perjuangan homoseksual dalam kalangan kaumnya. Akhirnya, isteri baginda turut ditimpa azab seksaan di dunia lagi. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 81:

قَالُوا يَا لُوطُ إِنَّا رُسُلُ رَبِّكَ لَن يَصِلُوا إِلَيْكَ ۖ فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِّنَ اللَّيْلِ وَلَا يَلْتَفِتْ مِنكُمْ أَحَدٌ إِلَّا امْرَأَتَكَ ۖ إِنَّهُ مُصِيبُهَا مَا أَصَابَهُمْ ۚ إِنَّ مَوْعِدَهُمُ الصُّبْحُ ۚ أَلَيْسَ الصُّبْحُ بِقَرِيبٍ

(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: “Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?”

Allah juga berfirman dalam Surah al-Tahrim ayat 10:

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ

Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.

KAUM YANG DIBINASAKAN DAN TIDAK DIKENALI

Sesungguhnya, gaya hidup homoseksual adalah terlalu songsang dan jijik. Ia tidak dapat diterima baik dalam agama atau dalam masyarakat yang bersih. Kaum Nabi Lut itu dibinasakan, dalam keadaan tiada siapa pun mengetahui nama kaum tersebut, melainkan dirujuk sebagai kaum Lut. Berbeza dengan umat derhaka yang terdahulu, mereka dikenali sebagai, contohnya, ‘Ad, Thamud, pengikut Firaun dan lain-lain. Akhirnya, seluruh kaum Lut yang homoseksual tersebut, dan juga isterinya yang tua, telah terkorban dalam azab yang Allah turunkan di dunia. Firman Allah dalam Surah al-Shu’ara’ ayat 172-173:

ثُمَّ دَمَّرْنَا الْآخَرِينَ # وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَسَاءَ مَطَرُ الْمُنذَرِينَ

Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut). Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.

Tidaklah mereka itu dikenali pun, melainkan dalam al-Qur’ān dipanggil sebagai al-Mu’tafikat – yang songsang dari kebenaran kepada kebatilan, diterbalik, dan dihancurkan. 

Advertisement