Panas betul petang hari ni. Lebih panas lagi, ada rakan-rakan yang mula memanjangkan mesej amaran cuaca panas disebabkan ekuinoks, seperti ini:
Dear all, krn fenomena Equinox yg akan mempengaruhi Malaysia, Singapura dan Indonesia mulai hr ni hingga minggu depan.. Pls tinggal dalam rumah terutama dari jam 12 th hingga 3 ptg setiap hari. Suhu akan meningkat hingga 40 derajat Celcius. Hal ini boleh menyebabkn dehidrasi dan stroke haba (Ps:. Fenomena ini adalah krn matahari berda pd posisi tepat di atas garis khatulistiwa pd 20 Mach
Harap menjaga diri agar tdk dehidrasi. Setiap orang harus minum kira2 tiga liter air masak setiap hari. Memonitor tekanan darah. Kemungkinan mendapatkan serangan stroke haba
Mandi air sejuk sekerap mungkin. Kurangkn mkn daging, perbanyakn mkn buah & sayuran.
Tempatkan lilin tdk terpakai di luar rumah. Jika lilin boleh cair, berarti udara dlm suhu yang berbahaya.
Selalu letakkn baldi berisi air di ruang tamu & di setiap bilik utk menjaga suhu tetap lembab.
Pengalaman pertama di Malaysia dan Singapore. Heat stroke yg tdk memiliki gejala indikasi. Setelah pengsan, yg serius berbahaya seperti kegagalan organ dalaman.
Hari menjadi lebih serius mungkin lebih dari 2 minggu ajn datang. Bioleh sampai 9 darjat lebih tinggi dari biasanya !
http://www.straitstimes.com/singapore/warmer-days-likely-over-next-2-weeks-nea
Yang saya lega, mesej peringatan tersebut tidak diselitkan dengan ayat Quran dan Hadith pada konteks yang salah.
Saya bukan saintis. Latar belakang saya adalah pengajian agama, secara tradisional, yang ketika itu memisahkan antara sains dan agama. Saya tiada locus standi untuk bercakap dengan kebenaran maklumat di atas daripada perspektif sains.
Cuma ada beberapa elemen yang saya pertikaikan, seperti letak lilin di luar rumah sebagai peranti tabii untuk mengetahui paras bahaya suhu, letak baldi berisi air di setiap bilik, ini macam saya ragui. Apatah lagi dakwaan ‘pengalaman pertama’. Sedangkan ekuinoks berlaku setiap tahun.
Nasihat lain seperti jangan terdedah dengan kepanasan, minum air banyak dan makan sayuran, itu musim sejuk pun perlu dilakukan.
Oklah, saya serah kepada saintis untuk menjawabnya. Bila saya melihat carian Google dengan kata kunci ekuinoks + kepanasan, macam-macam yang dipaparkan. Ada yang datang dari pihak berautoriti negara, ada juga yang main rembat sahaja, seperti menyatakan ekuinoks tidak melanda negara kita (dalam portal berita, mungkin setelah hari ekuinoks itu tidak panas seperti jangkaan).
Ekuinoks merupakan fenomena astronomi, apabila Matahari boleh diperhati tepat di atas khatulistiwa (خط الاستواء- garis tengah) Bumi, sekitar 20 Mac dan 22 Mac setiap tahun. Di Malaysia pada tahun ini, fenomena ini berlaku tepat jam 6:29 petang, 20 Mac 2017. Di tempat lain, sudah tentu berbeza mengikut pergerakan matahari dan juga waktu tempatan. Tetapi tarikhnya sekitar 20-23 Mac.
Di negara hemisfera utara, ia menandakan masuknya musim bunga. Lalu dikenali sebagai ekuinoks musim bunga / vernal. Sementara pada bulan September pula, sekali lagi akan berlaku ekuinoks, di Malaysia pada 23 September jam 4:02 pagi. Ia dikenali sebagai ekuinoks musim luruh / autumnal, sebagai petanda masuknya musim luruh.
Apakah aktiviti kajian sains dan falak yang boleh dilakukan pada hari-hari ekuinoks ini?
- Sukat masa siang dan malam. Secara teori, panjang siang dan panjang malam adalah sama. Siang 12 jam, malam 12 jam. Tetapi secara realiti, tidak. Tak percaya, cuba tengok jadual waktu solat, antara Subuh dan Maghrib (jawapan mudah seorang bukan saintis).
- Cari sebab kenapa tidak ada tempoh siang dan malam yang sama dari sudut astronomi, khususnya negara berhampiran khatulistiwa seperti Malaysia?
- Tetapi di negara bermusim, pada bulan ekuinoks inilah waktu solat, tidak terlalu ekstrem, kerana siang dan malam tempohnya sama. Cuba cari contoh jadual waktu solat di Aberdeen, UK, bandingkan jadual solat pada bulan 12 dengan bulan 3. Tumpukan pada waktu Subuh dan Maghrib.
- Bagi peminat ilmu miqat, ini masa untuk lihat fenomena tanpa bayang-bayang. Biasanya menjelang waktu zohor/zawal, bayang-bayang objek masih wujud, pada saiz yang paling pendek. Tetapi tidak pada hari ekuinoks ini. Hari tanpa bayang-bayang. Di Pontianak, kebetulan mereka berada betul-betul pada garis khatulistiwa, hari bayang-bayang dijadikan festival. Baca artikel FalakOnline untuk mengetahui kaedah mengetahui hari tanpa bayang-bayang di tempat anda. Cuba buat eksperimen ini, perhatikan bayang-bayang objek seperti bangunan, atau tiang lampu, 15 minit sebelum dan selepas Zohor, pada 19, 20 dan 21 Mac. Bandingkan dan rekodkan gambar.
- Ekuinoks Mac merupakan petunjuk masuknya musim bunga (bagi negara hemisfera utara). Musim bunga, adalah simbolik kepada ‘permulaan’ dan ‘kehidupan’. Bukankah lebih mudah sekiranya pengasas kalendar solar/Gregorian yang kita guna secara meluas sekarang ini, menjadikan musim bunga sebagai permulaan tahun baru mereka? Apa kata, buat kajian kenapa Januari dijadikan sebagai bulan pertama, dan bukannya bulan Mac. Menarik kajian ini.
- Ia juga permulaan bagi kalendar berasaskan bintang, dikenali sebagai kalendar zodiak. Pada hari ekuinoks, masuknya titik 1 hamal iaitu tahun baru zodiak. Apa kata, buat kajian, ada tak mana-mana tamadun moden dunia sekarang ini, yang masih menjadikan musim bunga sebagai rujukan sambutan tahun baru mereka? Jawapannya ada. Tapi di mana ye? (hint: Iran)
Dalam kesempatan ini, mungkin perlu juga untuk saya memperingatkan yang antara tanda-tanda sesebuah sebaran berita itu adalah palsu, ialah penggunaan bahasa yang kelam kabut, mengharapkan sandaran daripada pihak luar yang berautoriti, atau merujuk kepada sumber tahun lepas, dan yang lama-lama, untuk dikitar semula.
