Melihat gambar beberapa orang pemimpin politik – kerajaan / pembangkang – yang berulang kali berada di tempat maksiat dalam keadaan berbangga, apatah lagi mempromosi amalan yang membawa kepada perlakuan anti sosial seperti berjudi dan minum arak, menyebabkan saya tertanya-tanya, boleh tak baca doa seperti yang disebut di dalam al-Quran, surah al-Ahzab 67-68 ini:
وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا
رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا
Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.
“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”
Ada satu kata-kata yang dikatakan hadith, tetapi sebenarnya bukan hadith, sebaliknya riwayat Ibnu Kathir di dalam jilid 9 ms 165 kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, merujuk kepada al-Walid bin Abdul Malik:
الناس على دين ملوكهم
Rakyat akan mengikut cara hidup pemimpin-pemimpin mereka.
Semasa zaman al-Walid bin Abdul Malik, baginda suka membuat pembangunan dan binaan. Dialog yang kerap berlaku apabila rakyat bertemu sesama mereka ialah; Apakah yang telah berjaya kamu bina? Banyakkah pembangunan rumah kamu?
Sementara saudaranya, Sulaiman bin Abdul Malik pula, amat suka dengan wanita. Maka dialog yang kerap berlaku sesama rakyat ialah: Berapa orang isteri kamu? Adakah kamu mempunyai gundik perempuan?
Tetapi di zaman Umar bin Abdul Aziz, minat baginda ialah membaca al-Quran, solat dan ibadah. Maka dialog yang kerap berlaku sesama rakyat ialah: Bagaimana wirid kamu? Berapa mukasurat al-Quran telah kamu baca? Berapa rakaat solat (sunat) kamu dirikan semalam? … Dan manusia ketika itu berkata: rakyat mengikut cara hidup pemimpin-pemimpin mereka.
#silasedardiri