Banyak pengalaman yang dikongsi bersama-sama dengan beberapa orang bapa Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah, semasa menghantar anak darjah 1 ke hari pertama sesi persekolahan semalam.

Antara yang terkesan di hati saya, ialah bagaimana seorang anak comel ini, yang kelihatan takut, segan dan terlalu bergantung kepada ibu dan ayahnya di sisi. Apabila saya berkesempatan bersembang dengan ayahnya yang juga merupakan kenalan saya, diceritakan yang anaknya itu mengalami fobia datang ke sekolah, kerana ‘mental abuse’ yang menatijahkan fobia/trauma, apabila hadir ke kelas.
Anak comelnya itu pernah mendapat pengalaman di tadika lamanya, apabila ada seorang rakan tadikanya yang terlalu nakal dan membuli anaknya secara berterusan. Sehingga ditegur ibu dan ayahnya, tetapi masih kerap mengganggu anak sahabat saya itu. Akhirnya, setiap pagi apabila bersiap pergi ke tadika, dan yang terkini ke sekolah, kelihatan agak berat, dan mengamuk. Kerana telah melekat di dalam memori mindanya, bahawa sekolah adalah merupakan tempat dibuli.
Kesannya, kenalan saya itu dan juga isterinya, terpaksa menemankan anaknya, berada di sisi, sepanjang hari orientasi dan juga semasa hari pertama sesi persekolahan.
Setiap anak-anak, adalah berbeza. Yang lebih mengenali anak masing-masing, ialah ibu dan ayah mereka sendiri. Saya yakin anak kawan saya itu akan ok dalam masa yang pantas, kerana guru-guru di SKTA amat berketrampilan.
PENTINGNYA PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Alhamdulillah, kami dikurniakan 6 orang anak. Setiap anak, karakternya berbeza. Kami pernah bereksperimen menghantar dua orang anak kami, beza setahun sahaja, ke Tadika Cina di Indera Mahkota XX. Yang muda, dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran pendidikan pra-sekolah Cina yang agak serius, kurang bermain. Tetapi abangnya, kelihatan tertekan, kerana kerap dimarahi cikgu (yang berbangsa Melayu). Banyak kali menangis dimarahi cikgu. Moral pun agak down. Saya pernah menghantar beliau beberapa kali ke tadika berkenaan pada waktu pagi, dan kelihatan cikgu-cikgu tadika itu menjeling dengan pandangan tajam anak saya tersebut. Dan anak saya kelihatan ketakutan. (TIADA RASIS DI SINI)
Mungkin persekitarannya tadika itu tidak sesuai untuk anak saya yang seorang ini, tetapi sesuai sangat dengan adiknya. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk bertukar ke tadika lain tahun berikutnya. Oleh kerana anak-anak kami ramai, tidak dapatlah kami menghantar ke tadika yang elit dan mahal. Anak-anak kami dihantar ke tadika berhampiran rumah sahaja, tetapi amat kena dengan jiwa anak-anak kami.
Proses untuk merawat moral anak saya yang jatuh, dengan sebab ketidaksesuaian persekitaran di tadika Cina berkenaan, mengambil masa yang agak panjang. Alhamdulillah, sekarang, anak kami itu jadi normal, bahkan paling bersemangat dan kuat bergurau, serta paling imaginatif dalam kalangan adik-beradik.
Kesimpulannya, pendidikan awal di prasekolah amat penting dalam membentuk karakter anak-anak. Ibu bapa perlu mencari persekitaran yang sesuai dengan karakter anak masing-masing. Jangan rasa segan dan silu untuk bertukar tadika bahkan sekolah yang tidak sesuai dengan anak-anak, sekiranya itu pilihan yang ada. Tiada sekolah yang tidak baik, semuanya bagus-bagus belaka. Tetapi tidak semua bersesuaian dengan anak-anak kita.
BERMAINLAH PUAS-PUAS DENGAN ANAK-ANAK
Ada satu kata-kata yang kerap didakwa, kononnya hadith nabi, yang berbunyi:
داعِب ولدك سبعًا ، وأدِّبه سبعًا ، وعلِّمه سبعًا ، ثم اترك حبله على غاربه
Bermain-mainlah dengan anak kamu semasa umur 7 tahun pertama,
Kemudian ajar adab pada 7 tahun kedua,
Dan ajarnya pada 7 tahun ketiga,
Selepas itu barulah engkau lepaskan tali ikatan daripada tempat duduknya (kinayah lepaskan tali unta daripada tempat duduk penunggangnya).
Kata-kata di atas, walaupun makna dan aplikasinya mungkin benar, tetapi tidak ditemui di dalam mana-mana kitab hadith. Sebaliknya, kata-kata itu merujuk kepada nasihat yang pernah disampaikan oleh Abdul Malik bin Marwan.
Saya amat bersetuju dengan kata-kata ini. Berdasarkan pengalaman membesarkan anak-anak, bermain bersama dengan mereka semasa kecil amat penting dalam membina karakter mereka. Ibu dan ayah boleh merapatkan hubungan dengan anak-anak, serta mengenalpasti kecenderungan, kekuatan dan kelemahan anak masing-masing.
Tanpa menafikan ramai juga tokoh Muslim, yang semasa kecil membesar dalam persekitaran yang serius, tetapi secara umumnya kanak-kanak perlu dibiarkan bermain semasa usia kecil. Biarlah sel otak mereka berhubung, bak kat orang hipster zaman sekarang ini, supaya nanti mereka bersedia untuk menerima ilmu secara lebih serius.
MELIHAT ANAK ORANG LAIN
Apabila melihat anak orang lain, mungkin ada hadir keinginan untuk membuat perbandingan. Sikap ini, boleh jadi positif, dan boleh jadi negatif. Suka membuat perbandingan akan menjadi negatif, sekiranya perbandingan itu dibuat di hadapan anak-anak, sehingga anak-anak terasa diperkecilkan oleh ibu dan ayah sendiri.
Apabila melihat anak orang lain berjaya, mari kita puji anak berkenaan dan ibu ayahnya. Kemudian kita doakan anak itu berjaya dunia akhirat. Jangan pula bersikap cemburu tidak bertempat dengan anak orang lain yang berjaya, atau rasa menyampah. Mudah-mudahan, doa kita untuk anak orang lain, Allah akan sampaikan kepada anak kita terlebih dahulu.
Semasa bersembang dengan seorang guru SKTA, ada fenomena segelintir kecil ibu bapa muda yang suka melobi kepada guru-guru mereka, agar anaknya dipilih untuk pegang jawatan itu dan ini di sekolah, dan supaya mewakili sekolah dalam pertandingan di sekolah. Maklumlah, persaingan makin hebat. Anak saya pun, kami tahu, pernah menjadi mangsa ‘potong line’ kerana sikap ibu bapa sebegini. Tetap buat apa nak gaduh-gaduh kan, kita layan aje la. Kalau anak kita mampu dan berketrampilan, satu hari nanti Allah akan zahirkan juga.
Begitulah juga apabila melihat anak-anak orang lain yang nakal, atau kerap menangis kerana ‘chengei’. Daripada kita menjeling atau mengumpat anak sebegitu, lebih baik kita elakkan daripada memandang, dalam keadaan hati kita mendoakan mereka.
Senakal-nakal atau sechengei bagaimana pun anak-anak kecil, tiada siapa tahu karakter sebenar mereka apabila dewasa kelak.
Mudah-mudahan Allah membantu semua ibu dan ayah, menjadi orang yang soleh dan musleh, mampu untuk mengislahkan anak masing-masing. Tahniah untuk ibu bapa yang berjaya bersabar mendidik anak. Tahniah untuk isteri saya kerana menjadi mama yang cemerlang untuk anak-anak saya.
Jangan pandang remeh pendidikan awal anak-anak.