Jadi pelajar, memang kena meticulous. Bukan sekadar teliti dalam belajar, tetapi perlu teliti adab dan akhlak. Dalam disiplin kebanyakan institusi pengajian Islam, bab akhlak amat dititikberatkan. Dalam sistem pondok, ada kitab Ta’lim al-Muta’allim. Ada kitab al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran. Imam al-Bukhari selepas mengarang Sahih Bukhari, turut menghimpunkan hadith mengenai adab, dalam kitab al-Adab al-Mufrad. Perhatikan senario berikut:
- Pelajar menggunakan tandas guru atau pensyarah. Selepas guna, tidak flush, lantai kotor, membuang sampah merata, seolah-olah tandas itu dia yang punya. Adakah pensyarah atau guru yang guna tandas itu selepas pelajar tadi, akan mendoakannya? Atau kemungkinan besar, sekurang-kurangnya hatinya akan menyebut ‘CIS’ atau yang sewaktu dengannya.
- Pelajar universiti sekarang hebat, ramai yang berkereta. Apabila memandu di bangunan fakulti, pentadbiran atau perpustakaan, parking yang paling dekat ialah parking staf. Ramai pelajar parking di situ, tidak kurang juga yang parking mengambil ruang berlebihan. Ketika waktu puncak, adakah pensyarah yang terkial-kial mencari parking yang penuh dengan kereta pelajar, akan mendoakan pelajar, atau menyumpah seranah empunya kereta-kereta pelajar tersebut?
Ada yang tak takut dengan doa pelaknat guru atau pensyarah anda? Ingat sabda nabi:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” اتَّقُوا اللَّعَّانَيْنِ ، قَالُوا : وَمَا اللَّعَّانَانِ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : الَّذِي يَتَخَلَّى فِي طَرِيقِ النَّاسِ ، أَوْ فِي ظِلِّهِمْ “
Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Takutlah kamu dua jenis pelaknat.” Sahabat bertanya siapakah dua pelaknat itu wahai Rasululah. Jawab nabi, “1-Mereka yang membuang air di kawasan manusia berjalan, dan 2- yang membuang air di teduhan pokok.”- (Sahih Muslim)
Aplikasikanlah hadith tersebut, bersesuaian dengan konteks zaman sekarang….