Ramai generasi baru yang mungkin tidak ambil serius ilmu mengenal Allah. Bagi sebahagian mereka, cukuplah mengucap, dan mengaku kewujudan serta keesaan Allah. Mungkin sebahagian rasa loya dengan perdebatan tidak sihat sebahagian sarjana ilmu kalam, antara sifat 20 dengan tauhid tiga serangkai.

Ilmu mengenal Allah amat penting, kerana itulah antara perisai utama buat umat akhir zaman berhadapan dengan masih al-dajjal.

Cerita dajjal tidak penting? Tidak signifikan untuk ekonomi negara? Baiklah, ianya perkara yang berbeza. Tetapi nabi Muhammad berpesan, semua nabi-nabi terdahulu, memberikan amaran kepada kaumnya mengenai dajjal, walaupun mereka tahu dajjal adalah fenomena akhir zaman yang berlaku bukan pada zaman mereka.

Lalu apa kaitan ilmu mengenal Allah sebagai perisai ke atas Dajjal? Kaitannya, diajar oleh nabi seperti riwayat al-Bukhari berikut:

صحيح البخاري ٦٨٥٩: حَدَّثَنَا حَفْصُ بْنُ عُمَرَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ أَخْبَرَنَا قَتَادَةُ قَالَ سَمِعْتُ أَنَسًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا بَعَثَ اللَّهُ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا أَنْذَرَ قَوْمَهُ الْأَعْوَرَ الْكَذَّابَ إِنَّهُ أَعْوَرُ وَإِنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ

Shahih Bukhari 6859: Telah menceritakan kepada kami Hafs bin Umar telah menceritakan kepada kami Syu’bah telah mengabarkan kepada kami Qatadah berkata, aku mendengar Anas radliyallahu’anhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidaklah Allah mengutus seorang nabi pun melainkan telah mengingatkan kaumnya terhadap si buta sebelah dan si pendusta, ingatlah bahwa dajjal adalah buta sebelah, sedang Rabb kalian tidak buta sebelah, tertulis diantara kedua matanya KAFIR.”

Jawapannya:

Dajjal nanti akan berlagak sebagai Tuhan. Menawarkan itu dan ini kepada manusia. Kepada yang tak kenal Allah, maka akan percaya bahawa Dajjal itu adalah tuhan. Tetapi bagi yang ada ilmu mengenal Allah, maka akan terselamat kerana mereka mengetahui mustahil bagi Allah bersifat dengan kekurangan, iaitu antaranya, buta sebelah mata.

Itulah makna, ilmu mengenal Tuhan, sebagai benteng umat akhir zaman menolak seruan dajjal.

GLOSARI:
Dajjal: bermaksud kacau bilau
Masih: Dirujuk kepada Dajjal, bermaksud penghapus perkara yang haq. Dirujuk kepada Isa al-Masih, bermaksud penghapus kebatilan.

Advertisement