Dalam beberapa hari ini, ada beberapa kes yang agak berat, pada awalnya saya yakin ianya boleh diselesaikan dengan baik. Tetapi dengan sebab suka mendedahkan di media sosial, ianya akan berakhir dengan tidak baik, bahkan mengundang dosa dan pra sangka ramai pihak yang tidak berkaitan. Apa kata, kita mulakan perbahasan ini dengan firman Allah, kecaman kepada orang-orang yang kaki kepoh dan forward ini, seperti dalam surah al-Nisa’ ayat 83:
وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).
Nabi juga pernah menasihati kita semua, seperti dalam hadith Sahih Bukhari dan Muslim:
كل أمتي معافى إلا المجاهرين
Semua umatku (yang pandai menyorokkan kesilapan) adalah diampunkan, melainkan kaki kepoh (al-mujahirin, yang suka hebohkan kesilapan kepada orang lain).
Dalam kes pertama, membabitkan seorang pemanah yang membeli busur, tetapi busurnya patah. Bila dilaporkan kepada peniaga, walaupun pemanah itu mengaku menggunakan anak panah yang tidak mengikuti spesifikasi (jelas, salah sendiri, bukan salah pengilang), tetapi si penjual dengan ihsannya, berjanji untuk membantu mendapatkan ganti.
Peluang pemanah itu mendapatkan busur baru, meningkat kepada 90%. Kalau saya di pihaknya, saya akan berasa gembira. Kesedihan dan kemarahan saya akan menjunam hampir 0%. Si peniaga yang non Muslim, akan turut berpuas hati, kerana dapat membantu, dan akan melihat 100% keindahan akhlak Muslim. Saya mengenali dari jauh si penjual ini, seorang yang tegas dan ‘poyo’ dengan prinsipnya (tak salah), yang beretika, berpengetahuan, dan memang terbukti akan honor claim warranty, berdasarkan pengalaman kawan-kawan saya yang lain.
Tetapi oleh kerana bahana menyiarkannya ke media sosial terbuka, maka ianya mengundang pra sangka. Mengundang cacian pihak lain. Daripada peluang mendapat busur kepada 90%, akhirnya si peniaga (seorang manusia, bukan robot) berkecil hati, maka peluang itu menjunam kepada 10%. Si pemanah akan 100% meningkat marahnya. Si penjual akan mempunyai kemungkinan beberapa % untuk jelek dengan sikap Muslim. Entahlah…
Begitu juga dengan kes hak jagaan anak. Daripada si anak yang kebingungan, sebagai kos lepas kepada ‘perceraian’ yang diperlukan untuk kebahagian hidup si ibu dan bapanya, mungkin trauma yang dialami boleh diselesaikan beransur-ansur. Peluangnya pulih mungkin 90%. Tetapi apabila ianya disebarkan di media sosial, peluang si anak mangsa penceraian itu untuk hidup aman dan mengatasi trauma sebuah perpisahan, akan menjunam kepada 0%. Semuanya salah insan yang upload video berkenaan, dan dan forward, serta komen pra matang tanpa tahu usul periksa.
Berikut merupakan pembelaan daripada admin FB page Sahabat Mahkamah Syariah atas fitnah yang berlaku tersebut:
Isu Video Berebut Anak di Mahkamah Syariah yg Viral di Media Sosial..
Admin pada mulanya enggan ambil port pasal satu video yg viral pada 27 september 2016 berkaitan tindakan seorang bapa mengambil anaknya dari ibunya di mahkamah.
Akan tetapi rata2 komen netizen banyak menyalahkan mahkamah terutama hakim syarie yang mendengar kes tersebut.
Bila tengok video anak itu menangis, admin pun marah juga. Macam biasa, admin pun menghubungi informer di mahkamah untuk mengetahui situasi sebenar kerana admin tiada di tempat kejadian.
Kronologi sebenar..
1. KES HAK PENJAGAAN masih dalam perbicaraan dan keputusan siapa yang mendapat hak jagaan BELUM pun lagi diputuskan. (So admin rahsiakan nama pihak2 walaupun ramai dah tahu siapa yg terlibat).
2. Si anak berada di bawah jagaan ibu sementara kes di bicarakan. (Kebiasaanya memang begitu).
3. Si bapa ada mengadu kepada hakim yang si ibu tidak membenarkan si bapa bermalam dengan anaknya. (Bila satu pihak dpt hak jagaan sementara, satu pihak lagi dpt hak lawatan dan bermalam. Biasanya cuti sabtu dan ahad)
4. Untuk berlaku adil, hakim telah mengarahkan si ibu membawa si anak ke mahkamah untuk diserahkan kepada suami. Suami akan bermalam 1 malam dengan si anak dan mahkamah arahkah suami untuk bawa anak ke mahkamah untuk diserahkan kepada ibu keesokan harinya.
5. Selepas hakim memberikan arahan, maka si bapa pun mahu mengambil anaknya dan terjadilah drama seperti di video yang viral tu. (Apa yang berlaku admin taknak ulas kerana semua boleh tengok video tu).
6. Cuma yang admin mahu jelaskan, hakim syarie hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dan cuba berlaku adil kepada pihak2. (Siapa yang komen menghina hakim syarie dan mahkamah tu, admin doakan semoga dirahmati oleh Allah hendaknya dan di buka pintu hati untuk bertaubat).
7. Satu pesanan admin, hakim syarie ni bukan jenis yang mata duitan. (Ada yang dakwa hakim disogok). Semua keputusan di timbang dengan sewajarnya.
8. Pesanan terakhir, janganlah cepat kita menyalahkan sistem kehakiman syariah yang kita ada sekarang kerana untuk membina sistem ini bukanlah mudah.
Sekian..