JENAYAH; ANTARA YANG DILAPORKAN DENGAN YANG DIHEBAHKAN (ULASAN ISU PENGENDALIAN KES PENCABULAN KANAK-KANAK OLEH SELEBRITI YANG TIDAK DINAMAKAN)

Jenayah, sifatnya pelbagai. Kesan berlakunya jenayah juga pelbagai. Jenayah shar’iy seperti mencuri, kesannya hanya terhad kepada mangsa dan juga kepada kehidupan pencuri itu sahaja. Jenayah undang-undang wad’iy (ciptaan manusia) seperti memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan, kesannya juga terhad kepada si pelaku penjenayah sahaja.

Tetapi bagi tertuduh kesalahan berkaitan seks, ianya membabitkan air muka banyak pihak. Ianya berkaitan dengan keturunan. Dengan asas ini, pertuduhan bagi kesalahan berkaitan seks, memerlukan bukti yang benar-benar solid, bagi mengelakkan kesan negatif kepada pihak yang lain. Dan dengan premis ini jugalah, Islam mewujudkan satu ‘jenayah’ terbitan lain berkaitan dengan jenayah seksual, iaitu qazaf, iaitu kesalahan menuduh perlakuan jenayah seksual tanpa bukti yang mencukupi.

Implikasi tuduhan jenayah seksual memang membebankan. Ingat kembali tuduhan yang dihadapi oleh nabi Yusuf A.S. sehingga diheret ke penjara. Ulangkaji semula fitnah khabar ifki yang dihadapi oleh Aishah.

Naluri saya sebagai seorang bapa, juga berkongsi perasaan marah dan simpati kepada mangsa kes pencabulan kanak-kanak di sebuah sekolah tahfiz (yang tidak dinamakan) itu. Kanak-kanak itu, perlu dilindungi. Tetapi cara melindungi mereka, ialah bukan dengan membuat laporan kepada selebriti untuk tujuan dihebahkan kepada orang awam terlebih dahulu, sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa. Sentimen tuduhan seumpama ini, berbeza dengan tuduhan jenayah lain. Laporkan dahulu, buat siasatan, untuk membela si mangsa dan menghukum si penjenayah.

Saya amat tidak bersetuju dengan tindakan selebriti yang tidak dinamakan ini. Sejak awal Ogos saya membaca posting beliau, antaranya dengan jelas merujuk ‘seorang ustaz selebriti yang rapat dengan sebuah parti politik di Perak’. Kemudian diheret pula ‘ke mana pergi ustaz/aktivis yang membantah Selena Gomez’. Daripada asalnya satu pertuduhan yang belum dilaporkan ketika itu, akhirnya selebriti yang tidak dinamakan ini, telah mengheret banyak pihak yang tidak terliibat tanpa beliau sedari, atau tanpa beliau akui.

Kesan tindakan menghebahkan tanpa membuat laporan terlebih dahulu:

1. orang awam tercari-cari sekolah yang terlibat.
2. berlakunya ‘generalization’ dan permusuhan.
3. anak mangsa juga dituduh sebahagian netizen sebagai anak bermasalah.
4. gangguan kepada siasatan kerana telah dimainkan dengan emosi.
5. pihak berkuasa dituduh tidak berbuat apa-apa, dan tidak boleh dipercayai.
6. sikap lapor kepada selebriti dahului, kemudian baru kepada pihak berkuasa.
7. keluarga kanak-kanak tersebut turut menjadi mangsa fitnah kebencian.
8. si pencabul yang khianat dengan amanah yang diberi, mempunyai kelebihan sekarang kerana gangguan emosi pada kes.
9. pihak tertentu boleh twist isu pencabulan yang asal, kepada isu lain, akhirnya kes ini pudar.

Alangkah cantiknya, memandangkan ini ialah jenayah berkaitan seksual, agar si selebriti ini menjaga amanah dan kepercayaan ibu bapa kanak-kanak tersebut, dengan menasihati supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa polis, pejabat agama, mahkamah, Talian Kasih dan banyak lagi agensi pihak berkuasa terlebih dahulu. Daripada laporan yang solid, barulah nasib kanak-kanak ini terbela. Dan barulah si penjenayah yang memang psikotik ini boleh disabitkan kesalahan.

Seorang selebriti yang duduk jauh di hadapan komputer di luar sana, memang boleh meraih simpati dan mencipta kesiapsiagaan, tetapi tidak mampu untuk membuat siasatan dan pertuduhan yang bersifat membela mangsa dan menghukum si penjenayah.

Allah amat membenci golongan yang suka menghebahkan terlebih dahulu sesuatu berita atau pertuduhan. Hayatilah Firman Allah:

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita yang bersifat aman atau membimbangkan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu) (4:83).

Simpati saya kepada keluarga si mangsa dan juga kanak-kanak tersebut. Harap pihak berkuasa dapat menyegerakan siasatan dan pertuduhan kepada yang terlibat.

Advertisements

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s