Saya rasa amat bertuah kerana dapat berada di dalam dewan utama bersama-sama dengan Duta Jerman ke Malaysia Dr Gunter Georg Gruber. Bersama-sama dengan orang Jerman sekali lagi mengingatkan saya kepada kunjungan ringkas saya ke Frankfurt memenuhi jemputan pelajar di situ. Saya masih ingat lagi apabila turun di lapangan terbang, saya terus rasa teruja melihat kenderaan yang berada di kawasan parkir. Semuanya hebat-hebat belaka, berbeza sungguh dengan UK yang mungkin penduduknya tiada masalah untuk memakai kereta lama. Apabila naik bas, keretapi dan LRT di sekitar Jerman pun, saya dapati teknologi mereka jauh ke hadapan. Lebih selesa, dan menepati masa.

Di dalam kunjungan tersebut, saya telah melawat beberapa masjid di sekitar Frankfurt. Alhamdulillah Muslim diraikan di sana. Bahkan ada sebatang jalan di tengah bandar yang mempunyai 3 buah masjid yang berbeza. Keadaan di sekitar bandar Frankfurt juga amat bersih. Mereka berbangga bertutur dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Susah juga untuk berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris. Penduduknya juga mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab ke atas alam sekitar. Ramai yang berbasikal sahaja untuk mengurangkan cetak karbon. Disiplin mereka juga tinggi. Saya berjalan kaki di awal pagi sekitar bandar Frankfurt. Jalan masih sunyi tanpa kenderaaan. Saya lihat orang Jermah tidak akan melintas jalan begitu sahaja walaupun jalanraya kosong daripada kenderaan. Mereka akan pergi ke lampu isyarat untuk pelintas jalan, menunggu lampu hijau, kemudian barulah bergerak.

Dengan sebab itulah mereka menjadi bangsa yang maju. Dr Gunter di dalam ucapannya yang banyak mempromosi kehebatan negara Jerman, seolah-olah memberikan sindiran kepada rakyat Malaysia. Dia berkata dalam keadaan negaranya tidak langsung mempunyai sumber bumi, tetapi mereka mampu menjadi negara yang kaya, GDP antara yang teringgi di dunia, mempunyai researcher antara yang paling ramai di dunia dan seumpamanya. Mereka tiada minyak untuk dijual, tetapi mereka ada otak untuk digunakan.

Rasa bertanggungjawab mereka terhadap alam sekitar juga amat saya kagumi. Saya difahamkan mereka mengambil masa 20 tahun untuk mendidik rakyat supaya mengasingkan sampah kertas, kaca, dan lain-lain kategori di dalam bekas yang berbeza untuk tujuan kitar semula. Teknologi kenderaan yang diterajui hebat oleh mereka juga semuanya menuju kepada teknologi hijau. Dr Gunter sendiri berbasikal daripada kediaman beliau di KL untuk pergi ke bangunan Kedutaan Jerman.

Sebagai Muslim, saya amat bercita-cita agar semua sifat dan sikap positif ini dapat diterajui oleh kita. Harap-harapnya semua yang mengikuti Hari Jerman di UMP dapat mengambil iktibar terhadap peranan mereka sebagai manusia di bumi Allah ini.

Advertisement