Baru-baru ini Malaysia kepoh dengan pendedahan mengenai lebih 41% daripada penjawat awam pernah terlibat di dalam rasuah. Selain itu, kajian Transparency International juga mendapati skor Malaysia di dalam indeks perspesi rasuah dunia agak memalukan. Berbanding dengan negara membangun yang lain, Malaysia sedikit ketinggalan di belakang.
Gejala rasuah sebenarnya telah terlalu lama berakar di dalam masyarakat Malaysia. Sama ada di pemimpin atasan negara, kakitangan awam di pelbagai peringkat, mahupun rakyat biasa, rasuah telah menjadi kebiasaan, bahkan berlaku tanpa kita sedari. Sama seperti dosa yang lain, sekiranya telah lama berakar menjadi amalan masyarakat, maka pelakunya tidak akan rasa bersalah melakukannya.
Salah seorang Menteri Besar di Malaysia pernah menyifatkan yang rasuah itu sebagai tahi. Sedangkan dadah di sini digelar sampah dan najis masyarakat, rasuah sebenarnya lebih teruk daripada dadah. Bagi penagih dadah, sekurang-kurangnya skala kecelekaan hasil ketagihannya tidaklah terlalu besar. Paling tidak pun, membahayakan dirinya, atau mungkin si penagih terpaksa mencuri harta orang lain untuk mendapatkan dadah.
Sedangkan rasuah, skala kecelakaannya amat besar. Dengan rasuah, yang tidak layak untuk menguruskan projek, akan mendapat projek. Akhirnya, kualiti pun entah ke mana. Jalan berlubang dan beralun, bangunan pula cepat roboh dan retak. Ramai yang menerima celaka akibat rasuah itu. Ini hanya satu contoh. Banyak lagi contoh-contoh yang lain yang boleh kita lihat.
Banyak kajian telah dilakukan untuk menganalisa mengapakah rasuah di Malaysia semakin membimbangkan. Sebagai ahli akademik dan orang awam, saya kerap berbincang dengan beberapa orang rakan mengenai persoalan ini.
Antara yang menarik, berkebetulan pernah dialami oleh diri saya sendiri, ialah di sektor awam, ketua jabatan diberikan kuasa yang terlalu besar untuk membuat keputusan. Banyak keputusan terserah kepada budibicara ketua jabatan. Luasnya kuasa budibicara (discretion) sebenarnya mendorong kepada jenayah pejabat yang lain, seperti diskriminasi (discrimination) dan rasuah (corruption).
Saya tidak membantah seratus peratus kuasa budi bicara ketua jabatan di sektor awam. Kuasa budibicara terbukti mempunyai signifikan yang tersendiri di dalam menggalakkan produktiviti dan kreativiti di peringkat bawahan. Di peringkat organisasi, amalan ini dipanggil sebagai memberi kuasa autonomi kepada organisasi bawahan. Amalan ini juga terbukti efektif di dalam mengangkasakan keseluruhan jentera organisasi.
Akan tetapi persoalannya, sekiranya kuasa budibicara ini diberikan di dalam dasar yang kelabu dan kabur, maka ketika itu lahirlah hasutan untuk melakukan rasuah. Rasuah merupakan ibu dan punca kepada jenayah kolar putih. Dengan rasuah, ramai yang akan teraniaya menjadi mangsa diskriminasi.
Sebagai contoh, saya pernah berurusan dengan salah sebuah agensi kerajaan Malaysia di luar negara. Pada peringkat awal, saya berurusan dengan Mr X. Secara kebetulan, Mr. X tidak dapat meneruskan proses saya kerana mempunyai keuzuran, lalu kes saya dimajukan kepada Mr Y. Terkejut saya apabila mendapati yang permohonan saya ditolak oleh Mr Y berkenaan, atas alasan discretion atau budibicara yang beliau miliki. Sedangkan semua senarai semak untuk permohonan itu telah saya penuhi seratus-peratus. Bila saya bertanya lanjut, dengan mudah beliau menjawab ini ialah budibicara saya.
Fenomena beginilah sebenarnya membusukkan sektor awam. Adakah Mr Y berkenaan menanti saya menghulur dan menjanjikan sesuatu? Adakah Mr Y rasa puas hati kerana dapat menunjukkan kuasanya yang kononnya diperuntukkan kepadanya untuk ber’budibicara’. Adakah Mr Y merasakan sama ada melulus atau tidak meluluskan permohonan saya, akan memberikan penambahan kepada imej dirinya? Adakah Mr Y merasakan yang sektor awam ini milik peribadi dia?
Itu ialah contoh di peringkat pertengahan sektor awam. Di peringkat atasan, cerita sebegini memang sudah tidak boleh disembunyikan lagi. Arwah bapa saya pernah bekerja di sektor swasta, di bahagian yang bertanggungjawab meluluskan projek berkaitan kerajaan. Beliau sendiri banyak kali disogok. Saudara saya seorang kontraktor, pun mengakui budaya ini memang berlaku secara serius di peringkat tertinggi di sektor awam. Sekiranya ingin projek diluluskan, maka perlulah menjanjikan persen yang tertentu, dan mengisi borang keahlian organisasi tertentu. Akhirnya, kerja tak buat, tetapi hanya sub-kon kepada kontraktor lain. Kualiti pun entah ke mana.
Di peringkat pekerja sokongan, contohnya, berapa ramai antara kita dipaksa menyogok polis trafik? Pengalaman saya ditahan kerana memandu laju di Lebuhraya Utara Selatan. Polis trafik berkata kepada saya sama ada ingin ‘settle’ sekarang atau ingin bayar di balai sahaja. Naif ketika itu, saya memilih untuk ‘settle’ sekarang. Rupa-rupanya yang saya bayar itu ialah rasuah.
Mengapa mereka langsung tidak rasa bersalah? Sebabnya ialah kerana mereka ini diberikan kuasa di dalam dasar yang kabur, atau merasakan diri mereka berkuasa penuh. Dengan kerapnya mereka berbuat demikian, maka hilanglah rasa bersalah. Hilanglah rasa bertuhan. Hilanglah rasa kehambaan, diawasi setiap waktu.
Penyelesaiannya pada pandangan saya agak mudah. Mudah untuk diperkata, tetapi sedikit mencabar untuk dilaksana. Kurangkan kuasa budibicara kepada ketua jabatan, sebaliknya diganti dengan dasar dan peraturan yang kemas dan bersistematik. Ini hanyalah ikhtiar penyelesai terhadap gejala tahi rasuah yang semakin berleluasa di sektor awam.
Yang pentinglah, takutlah kepada Allah. Sentiasalah rasa bertuhan dan mempunyai sifat kehambaan. Mengapa tidak gerun dengan sabda junjungan besar yang bermaksud:
Perasuah dan penerima rasuh akan masuk ke neraka.