Hari ini merupakan hari pertama persekolahan setelah cuti penggal. Saya agak rasa kurang selesa apabila setelah keluar daripada simpang Indera Mahkota 14, jalan sudah mula sesak dengan kenderaan beratur panjang menanti giliran masing-masing di lampu trafik. Amat berbeza sungguh keadaannya berbanding minggu lepas.

Sejurus selepas memasuki Jalan Gambang, keadaan jalan semakin teruk. Dengan hujan yang turun membasahi bumi Kuantan, keadaan jalan bertambah sesak apabila berlaku dua kemalangan. Kalau tidak silap saya, kemalangan pertama membabitkan hampir 7 buah kereta betul-betul sebelum Restoran Zaman. Kemalangan kedua di hadapan Pengkalan Udara TUDM pula membabitkan 3 buah kereta.

Sepanjang saya beratur dengan sabarnya di dalam kesesakan lalulintas tersebut, saya hanya menggeleng kepala melihat gelagat pemandu yang tidak sabar menggunakan lorong kecemasan. Mungkin istilah lorong kecemasan kurang tepat digunakan di sini, kerana bukan semua jalan bertar, bahkan banyak juga lubang-lubang besar. Akan tetapi tidak kiralah sama ada sekecil kereta Kancil, atau sebesar 7 Series, semuanya tidak sabar memotong giliran dengan menghimpit ke kiri bahu jalan.

Itu belum kira lagi pengalaman-pengalaman memandu sebelum ini. Siapa yang pernah memandu di negara Eropah, apabila pulang ke tanah air, biasanya akan rasa sedikit bimbang, bukannya dengan keadaan jalanraya, akan tetapi dengan akhlak pemandu di Malaysia. Antaranya, suka mengekori kereta kita di belakang dengan jarak dekat yang membahayakan, melanggar lampu isyarat merah, tidak langsung memperdulikan keselamatan pejalan kaki dan penunggang motosikal, memandu tidak mengikut lane yang disediakan, dan pelbagai lagi. Yang menyusahkan pun ada juga, contohnya membawa kereta terlalu perlahan terutamanya ketika lampu isyarat hijau, berhenti sesuka hati di tengah jalan raya dan seumpamanya. Kalau nak disenaraikan, mungkin agak panjang.

Kadang-kadang kelakar, kadang-kadang rasa geram, kadang-kadang rasa kasihan. Kelakar kerana, bagi mereka yang menggila memecut dan memotong di bahu jalan, akhirnya saya bertemu juga dengan mereka di lampu trafik. Kadang-kadang ternampak juga kelibat staf UMP yang berbuat demikian, akhirnya bertemu juga di tempat letak kereta pejabat. Merugikan minyak sahaja.

Rasa geram kerana, adakah itu nilai hidup di sisi mereka. Semata-mata ingin memuaskan hati memandu laju, tidak mahu beratur, dan kononnya mahu sampai awal di tempat kerja, sanggup untuk menggadaikan hidup atau nyawa sama ada diri mereka atau pengguna jalan raya yang lain.

Rasa kasihan, kerana memikirkan bagaimana agaknya nasib keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan yang tidak berbau kepada diri mereka.

Akan tetapi, saya menerima sahaja bahawa inilah realiti di Malaysia. Terima sahajalah realitinya. Dahulu pun, saya rasa mungkin saya mungkin lebih teruk pemanduannya. Yang penting, saya perlu istiqamah dengan cara pemanduan berhemah yang dididik melalui undang-undang di UK.

Khusus untuk pemandu di Malaysia, apa kata kita memandu mengikut sunnah Rasulullah. Selain rutin memulakan setiap perkara dengan lafaz basmalah, Rasulullah dilaporkan memulakan pemanduan (dalan kes Rasulullah, menaiki unta atau kuda) dengan senyuman. Senyuman itu adalah simbolik kepada ketenangan serta kegembiraan minda dan fikiran. Sekiranya minda kita tenang dan gembira, ketika itu kita tidak akan tergamak untuk memandu dalam keadaan yang tidak berakhlak. Nampak mudah, tapi percayalah ianya berkesan. Saidina Ali pernah ditanya mengapa beliau senyum seorang diri ketika mula naik haiwan tunggangan. Beliau menjawab, semata-mata kerana ingin meniru Rasulullah SAW. Ini dilaporkan dalam hadith sohih, antaranya diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam kita al-Syama’il al-Muhammadiyyah.

Saya percaya, dengan memulakan kenderaan dengan senyuman walaupun seorang diri tanpa sebab, akan membuahkan akhlak mahmudah kepada diri pemandu. Natijahnya, kita akan bersabar, mementingkan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain, serta sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

Marilah hidup di dalam sunnah nabi. Utamakanlah keselamatan lebih daripada kepuasan diri ketika memandu. Mulakanlah kerja dengan ketenangan, agar menjadi pekerja yang produktif kepada majikan kita. Itu semua adalah ibadah di sisi Allah. Mudah kan untuk mendapat pahala?

Advertisement