1. Ong Tai Kim Gombak
Malam kedua di Malaysia, saya keluar untuk ke Pasaraya Ong Tai Kim. Menanti untuk dibeli di dalam senarai membeli-belah saya ialah lampin pakai buang, beras, susu strawberi dan lain-lain.
Ketika di bahagian beras, saya terkejut melihat gelagat seorang penyelia Melayu yang sedang memaki hamun pekerja-pekerjanya yang rata-rata terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh. Saya yakin mesti ada kesilapan di dalam kerja mereka, akan tetap saya amat terkejut dengan cara pekerja tersebut ditengking-hamun di khalayak pelanggan. Saya percaya yang tiada keperluan pun untuk marah mereka sedemikian rupa. Saya juga pernah bekerja sebagai buruh di UK, akan tetapi tidak pernah langsung penyelia saya meninggikan suara kepada saya.
Kejadian ini mengingatkan saya kepada kajian yang pernah dilakukan oleh sarjana Jerman Dr Bortho Scheube terhadap penyakit-penyakit di negara iklim panas. Di dalam buku The Diseases of Warm Country, beliau menyenaraikan amuk sebagai penyakit di negara panas seperti Malaysia. Ironinya, penyakit amuk ini hanya kelihatan di negara nusantara sahaja. Tidak pernah pula kedengaran bangsa lain yang mengamuk tanpa sebab. Kejahatan bangsa lain ada juga, itu jangan dinafikan. Mengamuk itu adalah kemuncak kepada kemarahan. Marah versi Melayu barangkali. Walaupun tidak mabuk minum arak, tetapi tindakannya lebih daripada kaki botol.
Sesetengah orang rasa amat berbangga sekiranya dapat memarahi orang lain. Rasa puas dan bangga diri. Kononnya itu adalah simbol kekuatan. Sedangkan mereka lupa dengan pesanan nabi Muhammad SAW di dalam hadith yang bermaksud:
Bukanlah orang kuat itu, kuat ketika berlawan, akan orang yang kuat itu ialah orang yang mampu menahan kemarahan.
Marah itu bukannya keji secara total. Ada juga marah yang terpuji. Akan tetapi sekiranya nikmat perasaan marah itu disalahgunakan, apatah lagi sekiranya dihamburkan kepada orang lain, maka percayalah tindakan kita itu sia-sia sahaja. Sam sekali mesej yang ingin disampaikan tidak akan diterima oleh orang yang kita kasari.
2. Giant Kuantan
Pada malam pertama saya membujang di Kuantan, saya pergi ke Giant untuk membeli barang keperluan. Ketika menyusuri troli saya di bahagian produk berasaskan susu, saya terdengar dialog antara seorang anak kecil dengan ayahnya.
“Abah, nak susu coklat ni.”
“Tak boleh anak, ini Nestle, kita kena boikot.”
Saya rasa kagum dengan keluarga ini. Walaupun berdasarkan penampilan diri mereka menunjukkan mereka ini keluarga susah, akan tetapi mereka bersungguh-sungguh memboikot produk yang dikatakan menyokong agenda Zionisme, seperti yang diperjelaskan secara terperinci di dalam laman web ini.
Kisah ini juga mengingatkan saya akan peladang pokok zaitun di Palestin. Mereka hidup susah kerana sekatan dan kezaliman negara haram Israel. Sumber utama mereka ialah produk zaitun, seperti minyak, jeruk dan lain-lain. Untuk menjual minyak zaiton, mereka akan pastikan yang tiada satu pun di dalam proses penghasilan produk mereka itu, membabitkan bahan bekalan Israel. Mereka sanggup membeli botol dari Itali sebagai bekas minyak tersebut, walaupun kosnya agak tinggi, dan botol daripada negara haram Israel boleh diperolehi dengan mudah dan murah. Mereka sanggup membeli kertas dan dakwat dari negara yang jauh dari mereka sebagai label produk mereka, walaupun itu semua boleh diperolehi mudah di Israel.
Itu kesungguhan mereka. Bagaimana pula dengan kita?
Ingatlah, walau sekecil mana pun sumbangan kita, ianya dinilai berganda di sisi Allah. Walau sekecil mana pun ‘sumbangan’ kita kepada musuh Islam, itu tetap merupakan saham kita kepada mereka, yang bakal digunakan untuk menzalimi rakan-rakan kita di Palestin.
“amok”- klu carik definition kat google..nnti kuar “a state of murderous frenzy, originally observed among Malays”…specifically tu utk Malays..adoiyaiii
Kenapa mesti “amuk” dijadikan sinonim dengan orang Melayu… Pelikkan??? Tengoklh betapa propaganda Barat berjaya diterapkan kepada masyarakat sejagat. Bangsa Melayu yang terkenal dengan sopan santunnya, sifat pemalu & lemah lembut wanitanya, keindahan bahasa dan kekayaan adat resamnya boleh dikaitkan dengan suatu sifat atau keadaan yang menjurus kepada pembunuhan kejam (rujuk maksud yang diberikan oleh Google & respons oleh iqa_on June 15, 2010 at 3:16 pm ). Masya-Allah…
Kalau kita renungkan betul2, amuk (atau amok) lebih banyak diperhatikan di Negara Barat contohnya Israel & Amerika yang banyak terlibat dengan pembunuhan kejam… & dilakukan secara besar2an & terancang. Ini adalah amuk yang sangat serius. Apabila ini berlaku, yang jadi mangsa… siapa? Kanak2, orang tua, wanita, & sesiapa sahaja yang berada dilaluan mereka.. telah mereka sasarkn untuk diamuk. Kononnya dengan alasan untuk mengekalkan keamanan sejagat. Puiii!!!
Jijik bila memikirkan perkara ni.
Jadi kalau mereka melabelkan Bangsa Melayu sebagai bangsa yang sinonim dengan amuk, anda fikirlah sendiri…