Sejak beberapa minggu lepas, soalan yang paling kerap ditanya kepada saya ialah mengenai sikap orang Islam terhadap pilihanraya di UK. Ada yang bertanya daripada sudut hukumnya, dan ada pula yang bertanya parti mana yang sebaiknya dipilih.
Hukum mengundi adalah berbeza mengikut negara. Di kebanyakan negara majoriti Muslim, ulamak melihat pilihanraya adalah suatu kewajiban bagi membolehkan Islam itu memerintah dan menjadi sistem yang berdaulat. Sebagai contoh, sekiranya terdapat tiga parti yang bertanding, pertamanya berhaluan kanan yang mengamalkan fahaman asabiyyah perkauman, keduanya berhaluan kiri yang mengamalkan sosialisme melampau, dan ketiganya parti yang berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Maka sudah tentu yang wajib dipilih oleh Muslim ialah parti ketiga.
Akan tetapi senario di UK adalah berbeza. Saya berpandangan pilihanraya di UK perlu dilihat oleh Muslm sebagai satu peluang untuk kita memilih calon yang boleh membantu sedikit (sudah tentu bukan sepenuhnya) kepentingan serta kebajikan Islam dan Muslim di sini, dan juga sebagai ikhtiar wajib bagi kita untuk menolak kemunkaran.
MENGUNDI ITU MEMILIH
Kehidupan manusia tidak lepas daripada ujian perlunya membuat pilihan. Banyak juga keadaan kita terpaksa memilih antara dua perkara yang tidak kita suka. Contohnya apabila anda lapar. Anda akan pergi ke kedai makan. Kebetulan menu di kedai makan tersebut semuanya tidak menepati selera anda. Akan tetapi oleh kerana anda lapar, mahu tidak mahu anda terpaksa memilih juga menu yang boleh menghilangkan kelaparan anda.
MEMILIH BUKANNYA PENGIKTIRAFAN MUTLAQ
Lalu adakah ianya bermakna yang anda mengiktiraf sepenuhnya makanan tersebut? Sudah tentu tidak.
Contoh lain yang lebih jejak, ialah sebagai ibu bapa kepada anak yang membesar di negara barat, antara kewajiban kita ialah menghantar anak kita ke sekolah. Di UK, hampir keseluruhan sekolah adalah sekular atau pun beraliran agama Kristian. Adakah bermakna sekiranya kita memilih untuk menghantar anak kita ke mana-mana sekolah tersebut, maka kita mengiktiraf keseluruhannya sistem pendidikan sekular atau Kristian tersebut?
MEMILIH YANG BERMANFAAT DAN KURANG MUDHARAT
Sudah tentu ibu bapa akan membuat pilihan terhadap sekolah yang ada di sekitar kejiranan mereka berdasarkan perkara yang memberi manfaat kepada mereka, dan kurang mudharat. Semua pilihan sekolah tersebut berpotensi untuk memberikan mudharat. Maka ada keperluan untuk menganalisa pilihan mudharat yang mana lebih ringan. Ibu bapa diuji untuk membuat pilihan, barangkali dengan mengambil kira faktor murid-murid sekolah tersebut kebanyakannya daripada keluarga yang baik-baik, atau cikgu-cikgunya adalah yang terbaik, atau kerana polisinya yang membenarkan anak kita solat Zohor di sekolah atau keluar seketika untuk solat Jumaat. Pilihan perlu dibuat, walaupun sekolah tersebut ada ketikanya memanggil paderi untuk memberikan ceramah, atau bercerita mengenai Jesus mengikut kepercayaan mereka ketika Hari Krismas atau Easter, atau sekolah tersebut penuh dengan lambang salib. Walau apa pun pilihannya, salah satu sekolah di kejiranan kita perlu dipilih juga, dan sudah tentu ianya tidak menepati semua kehendak kita.
Begitulah juga dengan mengundi di UK. Mengundi itu memilih calon terbaik mengikut neraca pandangan kita. Memilih orang sebagai wakil kawasan kita ke insitusi membuat dasar negara, tidak bermaksud yang kita mengiktiraf dan merestui dasar perjuangan mereka.
NERACA PILIHAN
Sebagai Muslim, saya meletakkan beberapa kriteria sebagai neraca pilihan saya untuk membuang undi. Pertamanya, saya akan merujuk kepada manifesto parti yang akan bertanding. Keduanya, saya akan mengkaji individu calon itu sendiri. Apa yang saya akan lihat ialah bagaimana sikap parti dan wakil parti tersebut terhadap isu yang membabitkan Islam, Muslim serta kemanusiaan. Apa sikap mereka terhadap peperangan di Iraq dan Afghanistan. Apa sikap mereka terhadap isu Palestin. Apa polisi mereka terhadap imigran dan pendatang seperti ramai Muslim di UK ini. Apakah dasar mereka terhadap peluang pendidikan terutamanya kepada pendatang seperti kita. Apakah sikap mereka terhadap kebebasan mempraktiskan agama seperti hijab dan seumpamanya. Inilah neraca bagi membuat pilihan sebagai Muslim ketika berhadapan dengan sistem pilihanraya sesama kuffar.
HUKUM PILIHANRAYA
Hukum muslim menyertai pilihanraya adalah antara isu yang diperdebatkan di dalam komuniti Islam, baik pilihanraya itu di dalam negara Muslim atau di negara non-Muslim. Sebahagian kumpulan Muslim menolak keharusan pilihanraya kerana ianya sistem demokrasi kufur. Sementara majoriti ulamak besar dunia mengharuskannya bahkan dalam keadaan tertentu, mengundi menjadi wajib.
Islam memerintah, itu semua adalah cita-cita Muslim. Pun demikian, ketika mengiktiraf al-Quran dan al-Sunnah itu perlu menjadi dasar pemerintahan, adalah kurang tepat sekiranya kita menakrifkan pemerintahan Islam seperti sistem teokrasi yang menyerahkan urusan pemerintahan dan teknikalitinya kepada Allah semata-mata. Dan kurang tepat juga sekiranya kita memahami sistem demokrasi itu membawa maksud penyerahan kuasa kepada rakyat semata-mata. Saya lebih cenderung menerima pandangan al-Maududi bahawa Muslim perlu menegakkan institusi teo-demokrasi di dalam komuniti mereka sekiranya mampu.
Dalam konteks pilihanraya di UK, saya berpandangan hukum mengundi itu amat digalakkan dari aspek membuat pilihan terhadap calon-calon yang walaupun tidak mempunyai dasar Islam atau mesra-syariah, akan tetapi berpotensi memberikan manfaat dan kebaikan kepada Islam. Atas dasar inilah para sahabat terlibat aktif di Istana al-Najasyi. Bahkan nabi Yusuf sendiri sehingga menjadi menteri kewangan dan perdana menteri di dalam pemerintahan Fir’aun.
Dalam konteks yang lain, pilihanraya di UK juga boleh menjadi tahap wajib sebagai ikhtiar kita menyatakan bantahan terhadap kemunkaran agama dan kemanusiaan. Memilih calon tertentu, membawa maksud kita menolak parti lain yang barangkali berhaluan pelampau kanan seperti British National Party (BNP) yang tidak menerima pendatang terutamanya Muslim di UK. Ianya juga membawa maksud kita mengurangkan suara calon parti di dalam Parlimen yang menyokong peperangan ke atas negara Muslim. Ianya juga bermaksud kita menolak parti yang mesra dengan jenayah kemanusiaan seperti gay, hedonisme dan seumpamanya. Ianya juga membawa maksud kita menolak parti yang bersekongkol mutlak dengan Zionisme dan memandang sebelah mata nasib yang menimpa rakyat Palestin.
Walaupun undi kita hanya satu suara, akan tetapi ianya tetap suara. Suara kita itu adalah satu persaksian, betapa caknanya kita terhadap kebajikan serta kepentingan Islam dan Muslim. Ini adalah sebahagian daripada neraca keimanan.
Atas sebab inilah terdapat beberapa kumpulan Muslim di UK yang memobilisasi kecenderungan Muslim untuk membuang undi. Di dalam pilihanraya yang lepas, kemenangan Geoge Galloway daripada Parti Respect adalah antara lain hasil sokongan daripada ramai Muslim yang berkebetulan menjadi pemimpin kepada Islamic Forum of Europe dan gerakan Islam yang lain. Walaupun terdapat beberapa tindakan Geoge Galloway yang mereka tidak persetujui seperti menyertai rancangan realiti hiburan melampau ‘Big Brother’, akan tetapi terdapat beberapa dasar peribadi dan parti beliau yang dikongsi bersama untuk kepentingan Islam. Begitu juga terdapat usaha untuk menaikkan calon daripada pemimpin komuniti Muslim di dalam Labour dan juga Lib-Dem.
Terdapat beberapa bacaan lanjut yang saya amat cadangkan kepada Muslim di UK untuk memahami isu ini, seperti di sini, di sini , di sini dan di sini.
SIAPA YANG PERLU SAYA UNDI
Justeru sekarang, persoalan akhirnya ialah kepada siapa perlu kita membuang undi. Mengundi di UK sama sekali tidak akan menjadi wasilah terdekat untuk menegakkan syariah. Justeru bagi saya, Muslim bebas untuk memilih mana-mana parti, asalkan tidak parti yang menyokong Zionisme secara mutlak, dan juga parti pelampau berhaluan kanan seperti British National Party.
Sekiranya anda cenderung untuk memilih MP yang lama, anda boleh melihat sendiri rekod dan sikap mereka termasuklah yang berkaitan dengan Islam dan Muslim di laman ini. Saya akan mengundi di Aberdeen North, kubu kuat Labour yang mesra dengan rakyat kelas pertengahan dan bahawan golongan buruh di UK. Prestasi dan sikap Frank Doran yang saya lihat di sini serta sikapnya yang amat mesra dengan pihak masjid, imigran dan lain-lain menyebabkan sehingga ke saat ini, saya cenderung untuk mengundi beliau.
Apa yang pasti, kepada seluruh Muslim di UK, pada esok hari, keluarlah mengundi. Libatkanlah diri anda di dalam usaha kecil menolak kemunkaran. Mengundilah secara taktikal. Tolak parti yang menjejaskan kepentingan Islam di UK, serta menjejaskan kemudahan yang selama ini kita nikmati sebagai pendatang di negara ini. Libatkanlah diri dalam pilihanraya yang dikatakan bakal mencatat sejarah, kerana sukar dijangka parti yang akan mendapat majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan, sehingga memungkinkan wujudnya hung parliament.