Dalam masa beberapa minggu lagi, isteri saya dijadualkan untuk melahirkan anak kami yang keempat. Segala-galanya atas ketentuan Allah, insyaAllah. Pada waktu begini, seperti biasa sebagai suami dan bapa, antara tanggungjawab saya ialah kerap mendoakan kesejahteraan isteri dan anak di dalam kandungan. Sama seperti saya semasa emak melahirkan saya dahulu, anak di dalam kandungan berada di dalam kedudukan songsang dan melintang. Esok, insyaAllah isteri akan bertemu dengan doktor pakar untuk membetulkan posisi anak di dalam rahim.

Sekiranya di Malaysia, biasanya si ibu akan mencari air selusuh untuk memudahkan bersalin. Kami tiada pengalaman melahirkan anak di tanah air, justeru segala-galanya perlu dibuat sendiri. Saya rasa bersyukur kerana masih ada salinan nota zikir untuk memudahkan bersalin. Antaranya ialah dengan membaca ayat-ayat al-Quran di bawah, kemudian dihembuskan kepada air yang terbaik, sama ada air zam zam atau sekadar air kosong biasa:

i. Al-Fatihah
ii. 3 Qul
iii. Ayat al-Kursiy
iv. Al-Nazi’at:46
v. Al-Ahqaf:35

Selain itu, turut digalakkan makan tamar, sekadar mengikut sunnah Maryam ketika melahirkan Isa.Kemudian yang paling penting, berdoalah kepada Allah supaya segala-galanya dipermudahkan. Doa itu senjata mukmin, maka gunakanlah senjata yang boleh diperolehi terus daripada Tuhan yang menciptakan kita semua.

Yang terkini, emak saya memberi petua yang beliau amalkan, iaitu membaca ayat 20 daripada surah ‘Abasa. Petua ini menyebabkan saya membaca keseluruhan surah ‘Abasa yang merupakan sebahagian daripada surah juzu’ ‘Amma. Surah ini, benar-benar memberikan ketenangan dan keyakinan kepada saya, betapa kelahiran dan kematian itu sebagai tanda kekuasaan Allah.

Firman Allah di dalam Surah ‘Abasa ayat 18-21:

مِنْ أَيِّ شَيْءٍ خَلَقَهُ (١٨)
18. (tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? –

مِنْ نُطْفَةٍ خَلَقَهُ فَقَدَّرَهُ (١٩)
19. dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab;

ثُمَّ السَّبِيلَ يَسَّرَهُ (٢٠)
20. kemudian jalan (untuk hidup dan mendapat hidayah), dimudahkan Tuhan kepadanya ;

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ (٢١)
21. kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;


Surah ‘Abasa mengandungi tema yang sama seperti ayat-ayat Makkiyyah yang lain. Temanya antara lain banyak memberikan penekanan kepada aspek ketuhanan, tanda kekuasaan Allah, beriman pada hari kemudian serta asas di dalam berdakwah selain dialog jawapan kepada golongan musyrik.

Ayat-ayat Makkiyyah, terutamanya di dalam juzu’ ‘Amma, adalah himpunan ayat yang amat bertenaga. Tenaga juzu’ ‘Amma inilah yang melahirkan generasi awal para Sahabat yang punya jatidiri tinggi dan berpersonaliti unggul. Generasi itu yang digelar generasi Quran yang unik meminjam kata-kata Syed Qutb, mempunyai kekebalan diri untuk bertahan selama hampir 13 tahun sebagai pengikut awal agama Tauhid. Generasi inilah yang mampu bertahan daripada diboikot daripada segenap aspek kehidupan oleh masyarakat mereka sendiri. Generasi inilah yang mengutamakan Allah dan Rasul berbanding sanak saudara dan rakan taulan. Generasi inilah yang mementingkan kehidupan di hari kemudian berbanding kehidupan duniawi dan ganjaran kemewahan yang menanti sekiranya mereka meninggalkan ajaran Muhammad.

Generasi itulah yang dilahirkan oleh tarbiyah ayat-ayat Makkiyyah. Keunggulan mereka tidak dapat ditandingi oleh generasi terkemudian.

Mereka yang diberikan amanah oleh Allah SWT untuk melahir dan membesarkan hamba-Nya perlu menghayati ayat-ayat di atas dengan penghayatan yang mendalam.

Ayat-ayat di atas sebenarnya adalah dialog di dalam pakej stimulus untuk mencambah pemikiran musyrikin Makkah menerusi pemerhatian terhadap kelahiran dan kematian. Masyarakat Arab jahiliyyah asalnya adalah kelompok manusia yang tulen dan murni aqidah mereka mengikut ajaran al-Hanif tinggalan Ibrahim dan Ismail. Kedudukan geografi mereka yang agak kurang strategik dan jauh daripada perebutan kuasa Rom dan Parsi membantu kemurniaan aqidah mereka. Sehinggalah ketika Amru bin Luhai memperkenalkan kepada mereka akan berhala yang dibawa daripada Sham, maka bermulalah kecelaruan aqidah mereka.

Mereka menyembah berhala kerana mereka kagum dengan dakwaan karut marut Amru bin Luhai ke atas kekuasaan berhala tersebut. Hasilnya, bertambahlah binaan berhala di sekeliling Ka’bah. Kebanyakan mereka masih percaya dengan agama al-Hanif, akan tetapi telah dipersekutukan dengan sembahan berhala. Lantas Allah mengajak mereka memikir dengan melihat persekitaran mereka, antaranya dengan melihat fenomena kelahiran dan kematian. Sudah tentu berhala-berhala tersebut tiada kuasa menentukan kelahiran dan kematian manusia.

Itu adalah kisah generasi jahiliyyah dahulu. Generasi jahiliyyah moden sebenarnya tidak kurang juga kealpaan mereka. Jahiliyyah dahulu dipaparkan menerusi ‘kehebatan’ berhala. Bagaimana pula dengan jahiliyyah moden? Sekarang, amalan penyembahan berhala tidak lagi berleluasa. Akan tetapi yang mengganti tempat berhala sekarang ialah pemikiran dan falsafah sesat ciptaan manusia. Turut menggantikan mereka ialah hiburan dan khayalan di luar norma keagamaan dan ketuhanan, yang menjadikan manusia membuat keputusan di dalam kehidupan mereka dengan lebih mementingkan hiburan sebagai neraca timbang. Lebih dari itu, ramai juga manusia, termasuklah yang beragama Islam, menjadikan dunia, kemewahan dan material sebagai kayu ukur mereka membuat sebarang keputusan dalam kehidupan, lalu mengenepikan tuntutan agama. Itu hanyalah sebahagian bingkisan generasi jahiliyyah moden. Mereka lupa bahawa ‘sembahan’ dan ‘pujaan’ mereka itu sebenarnya langsung tiada kuasa untuk melahirkan dan mematikan.

Bagi yang mempunyai hati yang jernih, petikan ayat di atas mempunai nilai pukulan maut terhadap sikap manusia akhir zaman yang semakin mengenepikan agama. Setelah manusia dilahirkan, maka Allah akan mempermudahkan mereka untuk mendapat kehidupan dan juga hidayah. Kitab tafsir muktabar menafsirkan ayat ke-20 itu sebagai jaminan bahawa kekuasan-Nyalah yang mempermudahkan kelahiran, kehidupan dan juga pintu mendapat hidayah. Mungkin kerana inilah emak saya memberikan petua kepada saya dan isteri, dengan harapan supaya dipermudahkan kelahiran anak kami nanti.

Ya Allah, Engkau permudahkan jalan kelahiran anakku nanti. Kami beriman yang Engkaulah yang berkuasa melahirkan dan mematikan. Permudahkanlah, seperti engkau mempermudahkan kelahiran Isa melalui Maryam. Selepas itu Engkau permudahkanlah jalan untuk mereka mengejar dan mengecap hidayah petunjukMu.

Bilik Atif dilahirkan

Advertisement