Menyambut Kelahiran

Nabi Muhammad berbangga dengan ramainya umat baginda di hari akhirat kelak. Justeru, kelahiran bayi adalah sesuatu yang perlu disambut dengan adab Islam sebagai permulaan terhadap proses pembentukan mereka menjadi insan yang berguna. Sebagai nota khususnya untuk diri sendiri serta barangkali boleh dijadikan perkongsian dengan pengunjung blog saya, saya akan menulis secara ringkas adab dan cadangan Islam untuk menyambut bayi.

1. PENYAMBUT BAYI.

Orang yang terbaik untuk menyambut bayi ialah bidan atau doktor Muslimah. Sekiranya tiada, maka keutamaannya boleh diserahkan kepada perempuan non-Muslim, seterusnya kepada Muslim, dan akhir sekali kepada lelaki non-Muslim. Ini semua adalah merujuk kepada fiqh aurat wanita di dalam Islam.

2. PERSEKITARAN TEMPAT BERSALIN

Bilik bersalin adalah tempat si ibu berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan anak. Justeru, pastikan tempat tersebut bersih. Selain itu, galakkan si bapa untuk berada sekali semasa persalinan sebagai sokongan moral. Si bapa bolehlah memainkan peranan mengurangkan kesakitan si ibu, dan juga membaca doa atau sekadar memasang alunan bacaan al-Quran. Biar si ibu sentiasa teringat Allah, dan biarlah si bayi mendengar kalam Allah sebagai kalimah pertama ketika mula mengunjungi alam dunia ini.

3. MENGHEBAHKAN DAN UCAPAN TAHNIAH TANDA GEMBIRA

Adalah disunatkan untuk menghebahkan kelahiran anak terutama kepada si bapa dan juga kepada kaum keluarga dan rakan taulan. Dalam a-Quran, ketika Allah mengkhabarkan cerita mengenai kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan menggembirakan atau memberitakan berita gembira (rujuk Ali Imran:39 dan Maryam:7)

Abu Lahab adalah antara orang yang amat gembira, bahkan memerdekakan hambanya Thuwaibah ketika mendengar berita kelahiran nabi Muhammad. Menurut hadith sahih riwayat al-Bukhari, walaupun status Abu Lahab itu sehingga dikutuk secara kekal di dalam satu surah al-Masad di dalam al-Quran, akan tetapi kegembiraan beliau mendengar berita kelahiran nabi Muhammad melayakkan Abu Lahab mendapat minuman setelah mati daripada celah ibu jari dan telunjuk nabi. Menurut riwayat daripada al-Abbas, Abu Lahab akan mendapat minuman tersebut setelah mati pada setiap hari Isnin, iaitu hari kelahiran nabi.

Di dalam kitab Tuhfatul Maudud karangan Ibn al-Qayyim, dilaporkan yang Hasan al-Basri mencadangkan ucapan doa tahniah kepada ibu bapa yang baru mendapat anak. Sebahagian menyatakan doa ini adalah riwayat Imam al-Hasan r.a. Doanya seperti berikut:

بورك لك بالموهوب و شكرت الواهب و رزقت بره و بلغ اشده

Buurika laka bilmauhub, wa syakarta al-Wahib, wa ruziqta birrahu, wa balagha ashuddahu.

Moga engkau diberkati dengan anugerah (kelahiran bayi) ini, dan bersyukur kepada yang Maha Pemberi (Allah), dan moga engkau diberikan ketaatannya, dan dia (bayi) akan membesar (dewasa)

Ibu dan bapa diajar untuk menjawab:

بارك الله لك و بارك عليك و رزقك الله مثله

Baarakalahu laka, wa baaraka ‘alaika, wa rozaqakallahu mithlahu

Moga Allah memberkati kamu, dan berkat-Nya ke atas kamu, dan moga Alah mengurniakan rezeki seperti ini (mendapat anak juga)

4. AZAN DAN IQAMAT

Sejurus selepas kelahiran anak, si bapa atau walinya disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak. Ini berdasarkan sepotong hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi menyatakan yang nabi berbuat demikian ketika kelahiran al-Hasan bin Ali. Ada yang mengkritik hadith ini kerana statusnya dho’if. Akan tetapi Ibn al-Qayyim tetap menggalakkannya kerana menurutnya biarlah si anak mendengar ucapan yang membesarkan Allah, syahadah, serta seruan ke arah solat dan kejayaan sebagai ayat-ayat pertama didengar di muka bumi ini.

5. TAHNIK ANAK

Tahnik digalakkan selepas anak itu dilahirkan. Orang Melayu biasa menyebutnya dengan istilah membelah mulut. Caranya ialah dengan mengunyah tamar, lalu diletakkan tamar yang sudah lumat dikunyah itu ke hujung jari, dimasukkan perlahan-lahan ke mulut anak, dan diratai tamar tadi ke seluruh bahagian dalam mulut anak tadi terutamanya di lelangit. Ketika ketiadaan tamar, bolehlah digantikan dengan apa jua makanan lembut yang manis.

Hikmahnya ialah untuk menguatkan urat mulut bayi serta menggalakkannya untuk minum susu ibu. Digalakkan tahnik itu dilakukan oleh orang yang soleh supaya berlaku aliran barakah. Pengulangan tahnik oleh beberapa orang di masa yang berbeza juga tidak menjadi halangan.

Sunnah tahnik adalah berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim. Dilaporkan Abu Musa r.a. berkata:

Aku pernah mendapat seorang anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah SAW maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnik dengan tamar, lalu didoakan keberkatan kepadanya. Kemudian diserahkannya kepadaku.

6. MENCUKUR RAMBUT BAYI

Sunat dicukurkan rambut bayi secara licin pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian ditimbang rambut tersebut dan disedekahkan nilai beratnya berbanding perak kepada faqir miskin. Menurut Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitab Tarbiyatul Aulad, ada dua hikmah galakan mencukur rambut bayi. Pertamanya, untuk menguatkan kepala si anak, dengan cara membuat lubang rambutnya dan sekaligus mengukuhkan panca indera berhampiran. Keduanya, ialah hikmah sosial iaitu bersedekah dan saling bantu-membantu kepada yang memerlukan.

Ini berdasarkan sepotong hadith yagn diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.:

Bahawasanya Rasulullah SAW telah mengarahkan untuk mencukur rambut al-Hasan dan al-Husain pada hari ketujuh mereka, rambut mereka telah dicukur, lalu disedekah timbangannya dengan perak.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika menggunting rambut anak ialah larangan qaza’. Qaza’ bermaksud mencukur atau memendekkan sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain panjang. Contoh qaza’ ialah rambut punk. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim:

Rasulullah telah melarang qaza’.

7. MEMBERIKAN NAMA ANAK

Ibu dan bapa disunatkan memberikan nama anak sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh. Khilaf ini berdasarkan hadith yang melaporkan Rasulullah memberi nama anak baginda dengan nama moyang baginda Ibrahim sejurus selepas kelahirannya, sementara dalam hadith yang lain Rasulullah memberikan nama al-Hasan dan al-Husein serta ramai yang lain pada hari ketujuh.

Digalakkan untuk memberikan nama anak dengan makna yang baik. Antara cadangannya ialah berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:

Berikanlah nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith (حارث) dan Hammam (همام) manakala yang buruk ialah Harb dan Murrah.

Sebahagian ulamak menyatakan bahawa sebaik-baik nama ialah nama yang dipuji seperti Ahmad, Muhammad, Mahmud dan Hamadah, serta nama yang disembah seperti Abdullah, Abdul Basit, Abdul Razak dan lain-lain.

Diharamkan memberi nama anak dengan nama hamba selain Allah, seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama Allah tanpa didahulukan Abdul sebelumnya. Begitu juga memberikan nama yang buruk maknanya.

Dimakruhkan memberi nama anak sempena orang Islam terkenal yang fasiq. Dimakruhkan juga memberikan nama dengan perkataan yang bombastik. Ini berdasarkan hadith nabi, antaranya:

Orang yang dimurkai Allah di hari Qiyamat dan sangat dibencinya ialah seorang yang dipanggil Malikul Malik (raja sekalian raja). Tiadalah raja yang memiliki melainkan Allah.
(Riwayat Muslim)

…Janganlah engkau namakan anak dengan nama Yasar (yang sangat bertuah), Rabah (yang sangat beruntung), Najih (yang sangat berjaya) atau Aflah (yang paling berjaya). Kerana engkau akan tertanya nanti, betulkah anakku itu seperti makna namanya. Sesungguhnya nama yang aku tegah itu empat sahaja, janganlah engkau tanya banyak lagi.
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi).

Contoh nama bombastik lain yang turut dilarang (ulamak hanya sekadar memakruhkannya sahaja) ialah nama yang disandarkan kepada Din atau Islam, seperti Izzuddin, Nuruddin, Salahuddin, Nasiruddin, Muhyiddin, Saiful Islam dan lain-lain. Menurut Syeikh al-Albani, nama tersebut dilarang kerana membawa kemegahan terlampau. Ada pun nama pejuang Islam seperti Salehuddin al-Ayyubi, Nuruddin Zinki dan Izzuddin Zinki, sebenarnya itu semua hanyalah nama gelaran sahaja. Nama sebenar mereka adalah berbeza.

Sunat juga dikun-yahkan nama anak sebagai gelaran kita, contohnya sekiranya nama anak ialah Kifah, maka si bapa digalakkan memakai gelaran Abu Kifah. Antara hikmahnya menurut Abdullah Nasih Ulwan ialah menghadirkan rasa hormat anak kepada si bapa serta beberapa kesan psikologi yang lain. Yang disunatkan ialah kepada anak yang sulung. Boleh juga si bapa menggelar dirinya dengan kun-yah nama lain, seperti Abu Bakar al-Siddiq yang tiada pun mempunyai nama anak bernama Bakr serta Abu Hafs bagi Umar al-Khattab yang tidak mempunyai anak bernama Hafs.

8. AQIQAH

Secara literal, maksudnya ialah memutuskan. Daripada sudut syara’, maksudnya ialah menyembelih haiwan untuk anak yang dilahirkan kerana Allah. Hukum aqiqah adalah khilaf di kalangan ulamak. Majoritinya termasuk mazhab Shafie menggalakkannya (sunat). Sementara mazhab Hanafi pula tidak mewajibkannya.

Haiwan aqiqah juga menjadi khilaf akademik ulamak. Majoriti menyatakan untuk anak lelaki, dua ekor kambing, sementara anak perempuan seekor kambing. Sebahagian ulamak menyatakan menurut zahir hadith, memadai anak lelaki itu aqiqah dengan seekor kambing sahaja.

Masa untuk aqiqah disunatkan pada hari ketujuh. Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya aqiqah ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika usia dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.

Makruh mematahkan tulang aqiqah. Penyembelih dan pembantu digalakkan memotong haiwan aqiqah pada sendinya sahaja. Sunatnya ialah untuk menzahirkan kesungguhan melalui kesempurnaan anggota haiwan aqiqah ketika agihan, dan semoga anak itu mendapat barakah sihat dan sempurna tubuh badan.

9. KHITAN / SUNAT

Hukum khitan atau bersunat juga adalah khilaf sama ada wajib atau sunat. Di dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Maliki, hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki. Imam Ahmad turut mewajibkannya untuk anak perempuan. Mengenai waktu berkhitan, digalakkan untuk melakukannya sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran. Akan tetapi ianya boleh dilaksanakan sehinggalah ke umur mukallaf. Berkhitan mempunya hikmah yang pelbagai, antaranya ialah sebagai tanda keseriusan Islam terhadap kesucian anak.

10. DOA

Anak-anak perlu dilihat sebagai saham kita untuk masa hadapan. Ini kerana ketika kita meninggal dunia nanti, doa anak yang soleh ialah antara amalan yang akan berterusan sampai kepada diri kita. Justeru, janganlah putus daripada mendoakan anak kita menjadi anak yang soleh. Doa yang terbaik ialah seperti yang diajar oleh Allah sendiri di dalam surah al-Furqan ayat 74:

ربنا هبلنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين وجعلنا للمتقين إماما

Tuhanku, kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku sesuatu yang menjadi penyejuk mata, dan jadikanlah kepada imam kepada orang yang bertaqwa.


Advertisements

8 thoughts on “Menyambut Kelahiran

  1. Ustaz,
    camana pulak kalau berita kelahiran bukan lagi berita gembira…cthnya baby ada masalah, atau baby tiada lagi? perlukah kita war2kan juga? atau cukup skdr di tempat kita shj?

  2. Salam syeikh, selamat menyambut kelahiran baby baru moga sihat2 sahaja anak dan ibunya… insyaAllah kami ni tak berani janji lagi bila nak pi melawat…takut tak tertunai janji. tp dok teringat kat enta, cuma takdan nak pi huhu… insyaAllah nanti la ada masa. by the way, hebat anta, dah empat anak, ana rasa takat tiga ni cukuplah, kami nak concentrate kat Mawaddah ni dgn keadaan di begitu… insyaAllah berkat doa semua moga hidup dia dipermudahkan.

    1. Jazakallah syeikh. Selagi tak lahir, masih bertiga. Segala ketentuan di tangan Allah. Kami kagum dengan family anta bersabar dan redha dengan ujian Allah.

  3. salam ustaz,

    bersalin adalah antara hidup dan mati si ibu. jika ibu meninggal disebabkan ini, adakah ianya dikira mati syahid?

  4. Salam uztaz…

    Alhamdulillah… Walaupun hanya golongan yang SEDIKIT sahaja yang berada dalam golongan “Orang yang berpesan-pesan kepada kebenaran” namun saya rasa teruja dengan perkongsian ilmu kepada kita semua..

    Tambahan… saya akan merasai nikmat di atas buat kali pertama…

    Dalam semua perkara diatas… ada 2, 3 perkara yang kurang diambil perhatian oleh kita iaitu Tahnik Anak, Mencukur bayi dan Memberi nama yang baik-baik yang kadangkala ada diantara kita memandai-mandai dari yang sepatutnya.

    Diharapkan lebih banyak lagi info di atas disalurkan kepada kami agar kita dapat merasai nikmat ISLAM walaupun hanya sehirup nafas…

    Wassalam

  5. Salam Uztaz…

    Walaupun hanya SEDIKIT daripada kita yang tergolong dalam “ORANG YANG BERPESAN-PESAN PADA KEBENARAN”…
    Namun saya amat teruja dengan perkongsian ilmu untuk tatapan dan renungan kita semua…

    Tambahan lagi… saya akan merasai nikmat di atas buat kali pertamanya sebagai seorang bapa kelak…

    Cuma saya ingin berkongsi kepada uztaz mengenai perkara diatas yang kurang diberi perhatian oleh kita seperti Tahnik Anak, Mencukur Rambut Bayi dan Memberikan Nama Anak dengan Nama yang Baik-Baik yang mana ada diantara kita yang lebih memandai-mandai daripada perkara yang sepatutnya…

    Harapan uztaz dapat berkongsi dengan kita berkaitan 3 perkara di atas dengan lebih terperinci lagi..

    Saya berharap.. perkongsian ilmu ini akan menambahkan lagi muhibah sesama kita… Insya Allah.

    Wassalam
    Sayonara…

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s