Ada satu email menarik yang saya terima, meminta saya untuk bertaubat kerana menyatakan yang penganut Kristian zaman sekarang sebagai ahlul kitab. Email itu turut meminta saya bertaubat kerana tidak merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Menurut penghantar email itu, tidak ada lagi di zaman moden ini golongan yang dikatakan sebagai ahli kitab.
Oleh kerana permintaan untuk bertaubat dan merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah itu adalah seruan wajib dalam Islam, maka saya pun mengambil sedikit masa untuk merujuk ayat-ayat al-Quran mengenai ahli kitab.
Kesimpulannya, mudah sahaja. Yang dinamakan ahlul kitab itu, ialah orang Yahudi dan Kristian tanpa mengira mereka mengikuti mazhab mana, atau hidup di zaman bila. Kerana mereka berkongsi satu perkara, iaitu mensyirikkan Allah, dalam keadaan mereka pernah didatangkan dengan kitab Allah terdahulu. Semua ahlul kitab itu kafir, dan tiada langsung di dalam nass yang menyatakan ahlul kitab yang kafir itu hanyalah ketika di zaman nabi sahaja. Ini adalah perkara yang termaktub di dalam nas. Ulamak bersepakat terhadap perkara ini. Cuma yang menjadi perselisihan ialah status pengikut Majusi, kerana terdapat riwayat lemah yang menganggap mereka sebahagian ahli kitab juga.
Implikasinya mudah sahaja. Bagi mereka yang mengaku Kristian baik Orthodox, Catholics atau Protestant, dan juga Yahudi baik zaman dahulu atau zaman sekarang, baik yang menyokong Zionisme atau yang menyokong Palestin, selagi mana hidup mereka secara beragama dan menolak sekular atheisme, maka mereka adalah ahlul kitab. Daging sembelihan mereka adalah halal buat kita. Wanita mereka juga halal bagi Muslim lelaki. Kenapa perlu kita berlebih-lebihan untuk mengharamkan yang halal? Sekiranya hati tidak mahu untuk makan makanan mereka, atau berkahwin dengan wanita mereka, janganlah pula menolak status mereka sebagai ahlul kitab.
Cuma sekiranya anda tinggal di negara mat saleh, anda perlu berhati-hati kerana kebanyakan mat saleh sekarang ini ialah masyarakat sekular yang tidak beragama. Golongan begini bukannya termasuk di dalam ahli kitab, justeru tiada keistimewaan mereka dalam aspek haiwan sembelihan serta wanita mereka. Akan tetapi sekiranya anda ternampak tanda Kosher sebagai contohnya, maka ianya halal untuk dimakan oleh kita. Pastinya, makanan halal Muslim itu adalah yang utama untuk dipilih.

Dalam tahun 1991, Syeikh Muhammad al-Hanooti, ulamak Palestin lepasan al-Azhar yang pernah dituduh terlibat dalam serangan WTC tahun 1993 pernah mengeluarkan fatwa menyatakan semua daging di Amerika Syarikat dan Canada adalah halal kecuali khinzir. Beliau juga penah menyatakan bahawa semua gelatin walaupun asasnya khinzir, adalah halal. Syeikh al-Hanooti amat dihormati sebagai rujukan Muslim di Amerika Utara. Saya kurang bersetuju dengan pandangan beliau kerana implikasinya ialah menghalalkan semua daging tanpa mengira ianya disembelih oleh ahlul kitab atau sekadar di’mati’kan oleh manusia tidak beragama.
Untuk memudah rujukan pembaca, saya sertakan sekadar dua contoh ayat al-Quran yang boleh membantu pendefinisian ahli kitab yang sebenar.
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آمَنَ تَبْغُونَهَا عِوَجًا وَأَنْتُمْ شُهَدَاءُ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Katakanlah: “Wahai ahli Kitab! mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? “Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
(Ali Imran:99)لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنْفَكِّينَ حَتَّى تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ
Oorang-orang yang kafir dari ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.
(Al-Bayyinah:1)
Adalah jelas di dalam ayat di atas, golongan ahlul kitab itu adalah kafir belaka, tanpa mengira mereka dari zaman atau mazhab mana. Mereka mempunyai status yang istimewa dalam konteks hubungan dengan Muslim. Tetapi tidak pula bermakna Islam mendiskriminasi mereka yang bukan ahli kitab.
Allahua’lam bis sowab.